Assalammu'alaikum Abang KC,
Nama saya Gif. Saya seorang peminat setia Malam Seram berasal dari Tampines. Kejadian seram ini berlaku tahun lepas, dan ceritanya terjadi semasa saya naik keretapi gerak cepat atau kita kenali dengan singkatan panggilan MRT, dari stesen Tampines menghala ke stesen Tampines East. Waktu itu dah lewat tengah malam, tak silap pukul 12:10 tengah malam.
Semasa saya naik gerabak keretapi ini, saya ternampak seseorang yang sedang duduk di tempat duduk yang dikhaskan untuk wanita hamil / orang-orang tua atau kurang upaya / kanak-kanak kecil. Orang yang duduk ini seperti wanita biasa, memakai tudung, berbaju serba hitam dan kulitnya memang putih sangat, tapi putihnya bukan macam orang Melayu ataupun macam orang Cina, bukan juga macam orang yang berkulit putih seperti mereka di Amerika atau Eropah. Saya duduk menghadap wanita ini.
Semasa keretapi bergerak, mata saya hanya terpandang pada wanita yang saya ceritakan tadi. Semasa keretapi hendak berhenti di stesen Tampines East, dia pun berdiri dan berjalan menghala ke pintu keretapi berdekatan dengan saya, betul-betul di sebelah kiri saya. Pada masa yang sama, saya masih menghadap tempat duduk yang dia duduk tadi selama beberapa saat. Kemudian saya toleh ke kiri, saya terperanjat, “Eh mana wanita tadi? Tadi berdiri sebelah saya, aaah mungkin dia pergi ke pintu lain agaknya...”
Secara logika, kalau orang lain berjalan ke pintu keretapi lain atau berlari ke arah pintu yang lain, dah tentu kita masih boleh lihat kelibat mereka kan? Ini takde, saya cuba mencari di mana wanita itu pergi tetapi tidak jumpa. Di dalam keretapi hanya dia seorang saja yang memakai baju hitam. Semasa pintu keretapi terbuka di stesen Tampines East, saya keluar dari keretapi kerana saya tinggal di kawasan ini dan cuba mencari wanita itu kerana saya cuba fikir secara positif, “Mungkin itu manusia atau mungkin dia keluar dari arah pintu yang lain agaknya”.
Sewaktu saya keluar, saya cuba melihat setiap satu penumpang yang keluar dari keretapi itu. Yang menghairankan dan memeranjatkan, kelibat wanita itu tetap tidak ada. Seolah-olah dia ghaib atau halimunan dari pandangan.
Terima kasih dan selamat tengah malam...
Comments