Assalammualaikum KC,
Saya ingin menceritakan kisah seram yang dialami oleh saya sendiri 13 tahun yang lalu. Ketika itu saya masih bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh di Melaka dan berada di tingkatan 3. Kejadian yang berlaku semasa saya sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan besar tingkatan 3 iaitu PMR, terpahat kuat di ingatan saya kerana ini adalah pengalaman yang saya rasa agak menakutkan untuk saya.
Peperiksaan akan berlangsung lagi beberapa hari. Oleh sebab itu, cikgu-cikgu giat mengadakan kelas tambahan sehingga lewat malam. Maklumlah, semua pelajar di sekolah kami tinggal di asrama, oleh sebab itu cikgu boleh sahaja mengadakan kelas malam sehingga lewat malam. Lagipun peperiksaan hanya tinggal beberapa hari. Jadi kami pun tak kisah untuk mengambil peluang mengulangkaji sehingga lewat malam bersama cikgu.
Saya ingat lagi sewaktu malam kejadian, kami ada kelas Geografi yang terakhir. Kelas kami habis agak lewat dari biasa iaitu lebih kurang jam 1.15 pagi. Setelah selesai kelas, saya dan rakan-rakan pulang ke aspuri (asrama puteri) sambil berborak seperti biasa. Sampai saja di dorm saya yang terletak di lantai paling bawah, saya meletakkan beg dan barangan lain saya di atas katil dan terus duduk berbual dengan rakan saya. Setelah itu, baru saya teringat yang saya belum mengambil tuala mandi saya di ampaian. Untuk pengetahuan, kami tidak dibenarkan menggantung apa sahaja pakaian atau kain di dalam dorm semasa kami tiada di dorm. Oleh itu, kami perlu menggantung tuala atau pakaian kami di ampaian sebelum keluar asrama.
Ampaian asrama kami ada dua bahagian. Satu ampaian terletak di bahagian koridor di mana ia menghadap ke dalam asrama kami yang berbentuk empat segi. Jadi blok-blok asrama di sini akan mengadap antara satu sama lain. Manakala, satu lagi ampaian berada di luar, di bahagian belakang ampaian yang di koridor tadi. Ampaian luar ini hanya berbumbungkan zink dan merupakan ruang terbuka. Ampaian luar ini juga menghadap dan betul-betul berhampiran dengan satu jalan kecil di belakang asrama yang menjadi laluan untuk kenderaan keluar untuk menuju ke pagar utama sekolah. Manakala, di sebarang jalan kecil ini, ada kebun kelapa sawit. Sekolah kami memang dikelilingi kelapa sawit dan sangat terpencil. Di sebelah bahagian padang di hadapan sekolah, ada sebuah kuil kecil untuk penganut Hindu. Betul-betul bersebelahan dengan kawasan sekolah kami merupakan kuil itu.
Berbalik kepada cerita saya tadi. Apabila saya teringat yang saya belum mengambil tuala mandi saya, saya bergegas keluar dorm dan ternampak kawan saya dari dorm sebelah menuju ke tandas. Disebabkan waktu itu sudah lebih dari 1.30 pagi, saya terus memanggil kawan saya dan minta dia teman ke ampaian. "Eh, Paa, jom teman aku pergi ampaian. Aku terlupa ambil tuala..." Saya kata kepadanya. "Alah, kau ni tadi tak nak ambil ramai-ramai..." katanya dalam nada yang penat dan mengantuk. "Alah, sorry lah. Lupa, busy borak tadi..." Saya balas sambil tersengih-sengih menarik tangannya.
Kasihan dia ditarik oleh saya. Agak jauh juga ampaian itu, selang satu tandas besar dan dua buah dorm yang memuatkan enam belas orang pelajar. Kami berdua terus menuju ke ampaian di hujung koridor. Semua dorm sudah gelap dan sunyi sepi. Agaknya semua dah tidur atau ada yang masih berjaga untuk membuat kerja rumah, meminjam biasan lampu dari koridor luar dorm. Setibanya di ampaian saya mencari tuala saya, tapi hairan saya tak jumpa. Setelah itu baru saya teringat saya meletakkannya di ampaian luar kerana ampaian telah penuh petang tadi. Saya sebenarnya sangat-sangat jarang meletakkan pakaian saya di ampaian luar. Tapi pada hari itu saya terlewat dan ampaian dah penuh. Saya meminta rakan saya tunggu di dalam sahaja sementara saya keluar sebentar untuk mengambil tuala.
Saya berjalan keluar menuju ke ampaian luar. Suasana sunyi dan agak dingin. Semasa saya ingin mencapai tuala mandi saya, secara tiba-tiba ada sesuatu yang jatuh di atas zink ampaian luaran itu. Benda terjatuh atas atap zink, sudah pasti bunyinya agak kuat. Saya amat terkejut lantas saya terpalingkan muka saya ke jalan dan kebun kepala sawit di belakang asrama itu. Dan semasa itu juga saya terpandang satu susuk tubuh berpakaian seperti pakaian tradisional kaum India, sari sedang berjalan atau saya pun taktahu nak sebut macam mana. Kaki dia tidak jejak tanah. Saya terpaku sambil memandang susuk tubuh itu yang juga sedang memandang terus ke arah saya.
Saya rasa takut yang teramat sangat. Serentak itu juga saya terbau satu bau yang kurang menyenangkan, seperti bau bangkai. Saya tersedar apabila saya mendengar nama saya dipanggil oleh kawan saya dari ampaian di kawasan dalam. "Eh, kau dah ambil belum tuala? Buat apa lagi tu lama sangat? Tak jumpa ke?" Bertalu-talu soalan dia. "Okay jap-jap. Dah jumpa..." Terus saya berlari sambil memeluk tuala saya. "Kau kenapa ni macam nampak hantu pula gayanya?" Kawan saya menyoal sejurus dia nampak saya berlari seperti dalam ketakutan. "Eh, kau ni cakap apa malam-malam macam ni..." saya marah dia kerana mulut cabul. Padahal memang saya nampak benda itu tapi saya diamkan sahaja tidak mahu takutkannya.
Saya terus tarik tangan dia dan cepat-cepat beredar dari situ dan kami terus ke tandas untuk mencuci muka. Saya memang tak mahu keluar dari dorm dah selepas ini. Saya mahu terus tidur dan melupakan cepat kejadian tadi. Tapi malangnya, sehingga hari ini saya tak boleh melupakan kejadian itu. Semasa tidur malam itu, akibat ketakutan, saya terbawa-bawa termimpikan susuk yang saya nampak sebelum itu ke dalam mimpi saya. Saya bermimpi yang perempuan bersari itu datang mendekati saya dengan wajah yang menakutkan. Saya bersyukur saya cuma melihat wajahnya di dalam mimpi. Saya lebih bersyukur lagi wajahnya hanya samar-samar sahaja dan dia tidak datang mendekati saya sewaktu saya melihat dia di belakang asrama. Kalau tidak entah apa lah nasib saya malam itu. Dengan peperiksaan yang bakal menjelang lagi beberapa hari selepas itu.
Selepas kejadian itu, baru saya teringat bahawa saya pernah mendengar kisah dari senior saya semasa saya di tingkatan 1, bahawa sekolah kami ini adalah bekas tapak memandikan mayat untuk penganut Hindu. Entah betul entah tidak kisah itu. Saya pun tidak tahu adakah perempuan bersari itu ada kaitan dengan bekas tempat memandikan mayat di kawasan sekolah kami. Apa yang pastinya, saya tidak akan sesekali meletakkan pakaian saya di ampaian sebelah luar. Walaupun penuh, saya akan cuba juga ampaian di bahagian dalam. Itu sahaja kisah dari saya. Sekian, terima kasih...
~Meklin~
Commentaires