Kisah ketiga pula berlaku selepas akak berkahwin dan berpindah mengikut suami. Rumah kami, rumah teres yang dibangunkan di kawasan yang asalnya dahulu sebuah paya. Jiran belakang rumah akak mendiami rumah yang angker, tetapi mereka memang berani kerana kekal tinggal di rumah untuk tempoh yang lama dan hanya berpindah apabila suaminya ditukar kawasan bertugas.
Suaminya seorang penjawat awam, jadi perkara biasa apabila setelah sampai satu tempoh tertentu, akan berpindah kerana urusan kerja. Kisah rumah tersebut memang ramai yang maklum kerana sudah beberapa pakar dipanggil tetapi gagal menghalau keluar makhluk yang menghuni rumah tersebut. Kata orang, makhluk itu adalah hantu raya yang telah ditinggalkan oleh tuannya lama dahulu di kawasan paya tersebut sebelum kawasan itu bertukar menjadi taman perumahan.
Banyak kisah yang mereka kongsi termasuklah sedang tidur di bilik, bila terbangun sedar-sedar diri telah berada di dapur. Adakala jiran akak tinggal seorang diri di rumah kerana suami dan anak-anak keluar bekerja / sekolah (anaknya sudah dewasa) dan tiba-tiba akan terdengar bunyi atau melihat kelibat orang cuci pingganlah, masuk bilik airlah, terdengar bunyi berlari di atas siling dan banyak lagi. Cuma kata mereka, walau terganggu sedemikian, mereka tidak pernah dirasuk, atau dicederakan.
Dipendekkan cerita, satu malam akak ketika itu tidak boleh tidur. Waktu dah pun menunjukkan sekitar pukul 1 pagi. Sebab tidak boleh tidur, akak pun terfikir, dari baring saja baik akak buat kerja. Rumah akak ada dua bilik air. Satu di bilik tidur utama dan satu lagi di dapur. Kebetulan akak ada merendam kain buruk. Kain buruk ini akak biasanya mencuci dengan tangan sebab tidak banyak basuhan jadi tidak perlu menggunakan mesin pencuci.
Akak rasa elok juga memandangkan akak tidak boleh tidur jadi bolehlah siapkan kerja tersebut malam itu. Suami akak dah masuk alam tidur. Akak belum memiliki anak lagi pada ketika itu. Sedang akak memberus kain dalam bilik air, akak boleh dengar dengan jelas di belakang rumah ada bunyi seperti orang sedang mencuci longkang. Dapur akak, di luar ada sedikit ruang tanah lebih kurang sepuluh kaki lebarnya. Kemudian ada pagar dan jalan kecil yang boleh memuatkan sebuah kereta lalu kemudian pagar rumah jiran belakang. Jadi di kiri dan kanan jalan ada longkang.
Dengan jelas kedengaran, bunyi macam cangkul pun ada, macam alat besi ditarik dalam longkang atau atas jalan tar. Akak pun terfikir, "Takkanlah jiran aku ni malam-malam cuci longkang. Gelap sebab belakang rumah, tiada lampu jalan. Hanya lampu dapur yang tuan rumah letak di belakang untuk memberi cahaya. Ada rumah yang matikan lampu, ada yang dihidupkan. Macam kami sekeluarga, memang tidak suka hidupkan lampu belakang sebab berjimat.
Bila akak berhenti memberus, sebab hendak mendengar bunyi di luar, bunyi itu terhenti, Bila akak kembali memberus, kemudian mesti terdengar semula. Mula-mula agak jauh, lama-lama semakin dekat dan kuat. Akak pun dalam hati terfikir, "Lebih baik aku masuk tidur sajalah. Esok boleh selesaikanan kain ini.." Takkan nak tunggu sampai ada bunyi yang tidak sepatutnya pula haha. Akak ni seorang yang suka berfikir jauh. Contoh dalam kes ni akak fikir kang dibuatnya tiba-tiba ada bunyi atau orang beri salam dari dapur atau orang ketuk pintu mesti lebih menakutkan. Sebelum ia terjadi lebih baik angkat kaki. (better safe than sorry J)
Ini saja tiga kisah yang akak hendak kongsikan, diharap KC dan pembaca blog Malam Seram lain turut terhibur ya. Sekian terima kasih!
Comments