top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Tiga Kisah Kak J Kuantan (Bahagian Kedua)...

Kisah kedua akak berlaku semasa akak bekerja di ibu kota. Semasa itu akak berusia awal 20an tahun. Satu ketika akak dan kawan-kawan berpindah menyewa ke sebuah unit pangsapuri yang baru. Pangsapuri yang baru siap dan tersedia untuk diduduki. Rumah tersebut memiliki tiga bilik sebaris. Akak memilih bilik yang tengah sekali, bilik utama didiami dua orang kawan dan bilik terakhir seorang lagi kawan. Semasa tinggal di rumah tersebut, akak perasan yang akak selalu mendapati kesan lebam pada kaki.

Mulanya lebam ini akan muncul pada kaki, biasanya di bahagian peha. Kemudian akan hilang. Lama-kelamaan, kesan lebam tersebut semakin kerap terjadi, dari peha ke betis dan semakin banyak sampai tiga hingga empat kesan lebam. Lebam itu kemudian bertambah hingga ke lengan tangan. Akak ada menceritakan pada kawan-kawan dan mereka cakap mungkin ada makhluk yang telah gigit akak.


Semasa kejadian lebam semakin serius, akak juga perasan yang akak menjadi semakin penakut. Pada sebelah malam, akak tidak boleh tidur dalam gelap. Mesti hidupkan lampu. Rumah sewa itu tidak besar pun, bilik lebih kecil, jadi bila lampu dihidupkan, tidur tidak lena sebab terganggu dengan cahaya. Satu malam akak cuba untuk tidur dengan memadam lampu. Kerana akak tidak memiliki lampu meja, maka akak pasang lilin sahaja.


Cahaya lilin cukup terang, apatah lagi untuk bilik yang saiznya kecil sahaja. Lebih kurang 6.5 kaki lebar. Cukup untuk sebuah katil diletak melintang di dalam bilik. Sedang tidur akak terasa seperti dihimpit, tidak boleh bergerak. Oleh kerana kawan akak pernah berkongsi petua, katanya kalau malam sedang tidur terasa seperti dihempap, boleh dilepaskan dengan mengerakkan semua jari pada sebelah tangan. Tidak kisahlah tangan yang mana, asalkan kelima-lima jari dapat digerakkan. Memang susah tapi akak berjaya.


Masa itu akak terus menoleh ke bahu kanan sebab akak tidur mengiring kiri. Akak dapat melihat satu bentuk gelap. Bentuk gelap itu pada mulanya seperti sudut yang gelap. Pelik sebab bilik kecil, tiada yang terlindung. Sudut gelap itu lama-kelamaan mula membentuk seperti tubuh badan dan berkepala botak. Akak rasa sangat takut dan tidak mahu tunggu sehingga rupa gelap itu menjadi sesuatu yang lebih jelas, jadi akak pun terus loncat dan hidupkan suis lampu.


Akak tidak dapat tidur, dan di sebelah siangnya akak terus mengambil cuti. Dengan pertolongan rakan, kami pergi berjumpa dengan seorang pakar. Semasa berjumpa pakar itu, selepas akak bercerita kepadanya, dia cuma tersenyum dan menerangkan bahawa itu adalah jin yang tinggal menumpang di rumah, khususnya di dalam bilik akak. Pakar itu berkata mungkin dahulu kawasan itu memang rumahnya kerana kawasan perumahan tersebut asalnya kawasan hutan belukar yang dimajukan menjadi taman perumahan.


Pakar tersebut hanya menulis dan memberi akak sepotong ayat quran (maaf akak tidak ingat ayat yang mana kerana ketika itu akak masih muda. Sepatutnya akak bertanya ayat dari surah mana agar boleh dikongsi). Pakar menyuruh akak nanti bila sampai di rumah, untuk baca ayat tersebut dan kalau akak berniat untuk membunuhnya, akak bolehlah menggoreng beras dan ditabur keliling bilik untuk memasung jin tersebut dan membaca ayat tersebut berulangkali.


Pakar juga mengingatkan akak, sekiranya akak ingin membunuhnya, setelah dipasung dia tidak dapat lari keluar dari bilik, jin tersebut mungkin akan dapat didengari suaranya, mahupun mungkin dapat dilihat dan dihidu apabila hangus. Namun tetapi akak tidak buat kerana akak takut. Sampai sahaja di rumah, akak terus membaca berulang kali sambil berkata, sila keluar dari rumah ini, kalau tidak aku akan membunuhmu.


Alhamdulillah, akak cuma buat pada waktu pulang dari rumah pakar dan selepas itu kejadian lebam pada badan terus tidak berlaku dan akak boleh tidur dengan lampu yang tidak dihidupkan.


(Bersambung...)

599 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page