top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Terserempak Makhluk Gula-Gula Dalam Kereta Sebelah!

Assalamualaikum KC,

Nama saya Nadz, berasal dari Seberang Tambak. Saya mempunyai pengalaman seram. Kisah ini berlaku di kawasan Highway Pantai Timur (LPT). Masa itu saya hendak pulang ke kampung bersama ibu, ayah serta adik perempuan. Saya ketika itu sedang memandu, ayah di sebelah, ibu serta adik saya duduk di belakang. Waktu ketika itu menunjukkan pukul 2 pagi. Kami dari Perak hendak pergi ke rumah makcik di Kuantan. Keadaan waktu itu gelap, di sebelah kanan dan kiri hanya pokok yang tebal. Hanya lampu jalan menerangi perjalanan kami pada malam itu. Adik dengan Ibu dah nyenyak tidur, tinggal Ayah belum tidur menemani saya memandu. Kami tidak berbual, hanya kedengaran suara juruhebah di radio sahaja yang sibuk berceloteh dengan pendengar.

Sedang saya memandu, tiba-tiba ada satu kereta Hilux memberi isyarat hendak memotong jalan. Ketika kereta itu memotong, saya memandang ke arahnya dan alangkah terkejutnya saya apabila ternampak ada benda seperti makhluk pocong di sebelah pemandu! Sebab benda itu besar sangat. ia duduk menghadap ke depan dan saya nampak ikatan di kepalanya. Saya yang terkejut, terus bertanya pada Ayah, "Ayah! Ayah! Nampak tak apa Angah nampak?" sambil memandangnya sejenak. "Nampak apa?" Ayah bertanya.

"Ada makhluk Poc kat kereta depan sedang duduk di sebelah pemandu..." Saya tidak berani hendak menyebut nama penuh makhluk itu kerana rasa terlalu takut ketika itu.

Ayah yang mendengar terus terdiam. Selepas kereta itu memotong, Ya Allah! Di bahagian belakangnya rupanya terdapat banyak lagi yang menumpang. Saya dengan Ayah terkedu. Makhluk itu ada yang berdiri, ada yang duduk berlunjur menghadap kami. Banyak sangat! Saya terus perlahankan kelajuan. Ayah yang duduk di sebelah menyuruh saya diam dan dia mula membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an.

Ibu yang tertidur di belakang terbangun dan bertanya kenapa. Kami hanya mengatakan ada lembu di tepi jalan kerana tidak mahu Ibu ikut sama rasa ketakutan yang kami rasakan. Kami sangkakan sudah tidak ada apa-apa lagi selepas itu. Semasa hendak masuk jalan susur keluar, tiba-tiba kereta saya menjadi gelap sangat, padahal saya hidupkan lampu tinggi dan lampu jalan pun ada. Rasa seperti kereta saya ditutup dengan kain hitam.

Tidak lama kemudian, ada kereta lalu. Pemandunya membuat isyarat dengan menghidupkan lampu tinggi ke arah saya. Pada mulanya saya rasa keliru, namun apabila ada kereta kedua dan ketiga lain yang melakukan perkara yang sama, ayah saya dah tidak sedap hati. Dia menyuruh saya dan ibu membaca surah. Sampai di sebuah kampung berdekatan, kami lalu di luar sebuah surau. Setelah kami lalu di situ, terus terasa keadaan sekeliling menjadi lebih terang dan kereta dah tidak terasa berat lagi. Mujur berakhir gangguan yang kami alami, namun ia menjadi satu trauma bagi saya hingga ke hari ini.

Itu sahaja pengalaman saya. Mohon maaf kalau tidak seram.

Terima kasih!

268 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page