Assalammualaikum KC,
Nama saya Nadiya. Saya ada satu pengalaman yang saya ingin kongsikan yang terjadi pada tahun 2015. Saya pernah bertugas sebagai seorang Pembantu Linen di sebuah tempat penginapan di Pulau Sentosa.
Tugasan saya bukan mudah, agak berat juga. Apabila pekerja hotel membersihkan bilik dan segala cadar, alas kaki, tuala ditukar, mereka akan humban semua yang kotor ke satu pelongsor, jadi cadar dan barang-barang lain yang disebutkan awal tadi semuanya akan jatuh di lantai bawah sekali dan saya akan mengasingkan bahagian bahagian yang tertentu. Ada cadar yang kering, ada yang basah, ada yang berbau arak, ada masa terjumpa duit, anak patung dan benda-benda yang pelik.
Tempat tugas saya terletak di bahagian besmen. Tingkat paling bawah sekali di mana hanya pekerja hotel sahaja yang mempunyai akses. Selalunya saya adalah orang yang paling pertama untuk sampai ke tempat tugas. Sudah menjadi rutin harian, saya akan letak beg saya dalam bilik linen dan keluar hisap rokok untuk tunggu kawan-kawan yang lain datang. Bilik linen ini, akan dikunci bila kita sudah habis kerja dan akan dibuka pada waktu pagi oleh pegawai perkhidmatan bilik.
Sedang saya menuju ke bilik tersebut, saya ternampak lembaga hitam sedang berdiri tegak dan besar matanya merah sedang memandang ke arah saya di celah-celah kotak yang berhabuk. Bila saya nampak, saya apalagi, tak jadi letak beg, saya pusing ke belakang, jalan dan duduk di kawasan memunggah sambil hisap rokok sehingga tiga atau empat batang untuk tenangkan diri saya yang sedang terkejut. Apabila kawan saya datang, saya memberitahunya apa yang terjadi. Dia dengan tenang berkata tak apa, kita datang untuk bekerja, bukan ganggu "mereka", jadi saya mulakan kerja saya sampai ke petang.
Namun ketika hendak pulang, tiba-tiba saya demam panas. Saya sempat berkongsi pengalaman saya kepada salah seorang pegawai perkhidmatan bilik sebelum saya beredar pulang. Dia pun bercerita, pernah ada satu kes bunuh diri di hotel ini di tingkat lapan kerana kalah judi. Ada jugak budak mati lemas di kolam renang hotel yang bersebelahan. Lagi menyeramkan, pernah ada seseorang yang sedang menghisap rokok di tangga di besmen yang sunyi, dia ternampak sosok kepala sedang menghendap beliau dari belakang sambil senyum.
Ya Allah, seram betul! Nama saja tempat penginapan untuk seisi keluarga tetapi ada juga kisah seram yang dialami beberapa pengunjung dan pekerja di sini. Bila difikirkan, memang pulau ini punya kisah-kisah mistiknya yang tersendiri, di mana ia dikaitkan dengan peristiwa dan kejadian sewaktu Perang Dunia Kedua dan penjajahan tentera Jepun di Singapura.
Sekian terima kasih KC...
Comments