Assalamu'alaikum,
Nama saya Amin. Saya tinggal di Johor dan sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Di sini ingin saya kongsikan sedikit pengalaman tinggal di rumah sewa yang pernah saya diami. Rumah yang saya sewa terletak di daerah Kulai dan rumah tersebut adalah rumah yang baru siap dibina. Kawasan perumahan rumah sewa itu mempunyai empat buah rumah dalam satu baris atau satu lot tanah. Memang sebelum ini tiada orang lain yang saya menyewa rumah itu.
Cerita ini baru dapat saya kongsikan apabila isteri saya baru membuka mulut setelah kami berpindah dari rumah tersebut. Memang ada pengalaman yang sama-sama kami lalui di rumah tersebut tapi mungkin saya akan selitkan nanti kisah-kisah yang lain yang berlaku di rumah sewa saya dahulu. Kami mula berpindah di rumah tersebut pada pertengahan isteri saya mengandungkan anak kami, kira-kira usia kandungan lima bulan.
Pada awal mula duduk di rumah tersebut tiada apa perkara pelik yang berlaku tetapi selang beberapa bulan, isteri saya baru berani tidur di rumah tersebut pada waktu malam ketika saya bertugas pada waktu malam. Semasa baru pindah saya risaukan tentang isteri saya sebab sedang mengandung dan keluarga kami yang pertama sewa di situ. Keempat-empat rumah sewa yang sederet dengan kami belum ada penyewa yang lain lagi. Ini yang isteri saya ceritakan kepada saya.
Pernah satu malam di mana saya sedang bertugas dan waktu itu isteri hendak tidur, dalam keadaan mamai, dari pintu bilik dia ternampak kelibat saya berkain pelikat berjalan menuju ke arah ruang tamu. Dalam hatinya berkata mungkin saya balik rumah awal dan rehat agaknya. Esoknya dia bertanya pada saya samada saya ada balik rumah tak semalam? Saya jawablah tidak.
Dia terus terdiam, jadi saya masih tak tahu keadaan dan apa yang terjadi waktu itu di rumah. Justeru itu, isteri pun berkata malam itu dia nak tidur rumah mak, tak kisahlah mak saya ke atau mak mentua saya. Saya pun tidak ada apa-apa halangan sebab saya hanya fikirkan keselamatannya dan kandungan dalam perutnya. Memang ketika itu saya tak terfikir ke arah yang ghaib.
Memang baru-baru berpindah abah saya berpesan, sebelum masuk rumah, beri salam dan bacalah Ayatul Kursi, azan di dalam rumah sebagai permulaan. Semua itu saya lakukan. Perkara ini tak terungkap sampailah isteri melahirkan anak dan ketika itu anak kami berusia enam bulan. Biasalah budak baru belajar berdiri memapah sambil pegang dinding. Tempat yang dia papah itu berdekatan dengan bilik kedua rumah sewa tersebut. Bilik tersebut memang tidak digunakan dan dibuat seperti bilik stor. Lampu di bilik tersebut tak tahu apa masalahnya, tetapi memang tidak boleh menyala. Dah ditukar lampu pun sama. Panggil orang yang mahir tentang membaiki lampu pun hanya bertahan selama dua hari. Selepas itu gelap semula.
Mulalah kejadian di mana anak saya sering demam. Macam pelik pula timbul dalam fikiran saya. Anak saya seakan-akan demam terkejut. Pernah waktu itu saya bercuti dan berada di rumah, sedang saya berbual dengan isteri pada sekitar waktu Maghrib, tiba-tiba perbualan kami terhenti gara-gara mainan anak kami berbunyi dengan sendirinya. Untuk pengetahuan semua, mainan ini hanya akan berbunyi sekiranya ditekan dengan kuat. Mustahil ia berbunyi dengan sendirinya kalau tiada sesiapa yang menekan.
Dari kejadian itu, barulah isteri buka cerita yang mana bila saya bertugas malam, sudip yang digantung di dinding dapur akan jatuh dengan sendirinya hampir setiap malam. Kalau nak ikut secara logik dan katakan jiran sebelah yang menghentak dinding, tak mungkin, sebab rumah sewa tersebut rumah batu. Kadang-kadang pintu rumah depan dan belakang diketuk dan pernah ada yang kejutkan isteri bangun seakan-akan suara adiknya yang tumpang tidur di rumah kami. Bila ditanya pada keesokan harinya, adik ipar saya akan berkata, "Mana ada aku bangun?" Semuanya terjadi apabila saya bertugas malam.
Cerita tersebut telah kami sampaikan kepada kedua ibu bapa kami. Mereka cadangkan pergi bertanya pada pakcik kepada isteri untuk tengok-tengokkan rumah sewa kami. Apabila beliau datang ke rumah, beliau memberitahu bilik yang kedua itu ada yang duduk dan anak kami kena sergah dengan benda itu sebab ia hendak bermain dengan anak kami. Saya terus beristighfar. Pakcik isteri menyuruh saya ambil air yang telah dibaca dengan ayat-ayat suci, ditambah dengan satu baldi air dan renjis ke seluruh dinding rumah sambil membaca surah Al-Kautsar serta selawat.
Bukan itu saja. Pakcik isteri berkata apabila sampai dalam bilik yang kedua itu saya harus memberitahu makhluk itu yang saya hendak duduk di sini dan kalau ia hendak duduk sama, jangan mengganggu saya sekeluarga. Rupanya makhluk itu dah duduk situ sebelum rumah sewa itu dibina. Rumah yang saya sewa tersebut berada dekat dengan rumah mak abah saya. Tapak asal rumah itu merupakan tempat rumpun buluh yang besar. Mungkin ia hendak memberitahu yang ia penduduk asal situ.
Selepas membuat apa yang disuruh gangguan pun berkurangan tetapi tetap masih ada, namun ia tidak mengganggu anak saya lagi. Cerita semasa isteri sedang mengandung tadi, dia baru ceritakan tadi pagi sebab kami menonton rancangan kendalian KC di YouTube.
Assalamualaikum dan terima kasih...
コメント