Assalamualaikum KC,
Nama saya Shah, berumur tiga puluh tahun. Saya ingin berkongsi tentang pengalaman saya. Kejadian ini terjadi sekitar lapan tahun yang lalu semasa saya menjalani perkidmatan negara di Pulau Tekong. Saya sebenarnya percaya bahawa alam makhluk ghaib ini wujud, tapi kalau boleh selama hidup dikandung badan, kalau boleh tak nak terkena apa-apa. Pada pendapat saya, kalau kita tak kacau dia, dia takkan kacau kita.
Kejadian ini berlaku pada dua minggu pertama permulaan perkidmatan negara. Pada masa itu, kami di Pulau Tekong sedang melalui "Confinement Week", bermakna kami tidak dibenarkan pulang ke rumah, untuk menyesuaikan diri kami dengan kehidupan sebagai seorang anggota pasukan tentera Singapura. Dalam dua minggu itu memang sungguh penat, sampai kadang-kadang saya akan terlalu penat untuk mandi selepas latihan, cuma tukar baju basahan dan cuci muka, terus tidur.
Saya orangnya suka tidur tiarap dan kedua-dua tangan saya akan dilebarkan seperti berkepak lurus. Kadangkala lengan saya akan terkeluar dari hujung katil. Pada satu malam, saya terlalu penat dan rasa mengantuk sangat. Jam sudah pukul 10:45 malam, lagi lima belas minit lampu perlu dimatikan. Saya terasa malas hendak berebut dengan yang lain untuk mandi dalam masa yang singkat. Saya hanya cuci muka, berus gigi dan tidur. Tak salah saya, hari itu merupakan hari Khamis malam Jumaat.
Saya terbangun di tengah-tengah malam. Bilik sudah gelap, semua orang sudah pun tidur. Saya tersedar tangan kiri saya sedang ditarik oleh sesuatu sampaikan badan saya mereng dan beralih ke sebelah kiri sampai ke hujung katil. Lagi sedikit akan jatuh ke bawah. Pada ketika ini, saya masih dalam keadaan mengantuk dan masih dalam keadaan mamai lagi. Saya ingatkan tangan yang menarik tangan kiri saya adalah tangan kanan saya.
Saya pun menggoyangkan tangan kanan saya dan baru tersedar. Dalam hati saya berkata, "Takkanlah tangan aku panjang sangat sampai boleh memegang tangan kiri di bawah seolah olah seperti memeluk katil ini?" Tangan yang jari jemarinya menggenggam jari saya semakin lama semakin erat menarik tangan kiri saya ke bawah katil.
Ada dua benda yang sangat menyeramkan pada tangan yang menarik itu. Walaupun saya tidak berani jenguk apa yang berada di bawah katil, saya dapat merasakan bahawa pertama, kulit makhluk yang menarik itu sangat sangat kasar, seperti permukaan jalan raya. Sangat kasar! Kedua, kuku jarinya sangat sangat tajam! Seperti menikam tangan saya!
Bila saya tersedar bahawa itu bukan tangan saya, saya terus membaca Bismillah, terus tarik semula tangan saya balik ke atas katil. Dalam keadaan mengantuk, saya berkata, "Sudahlah, sudahlah, aku lagi tiga empat jam nak kena bangun balik, jangan kacau aku boleh? Aku kat sini tak nak kacau kau tau! Sudah-sudah lah..."
Masih dalam keadaan ketakutan, saya mengejut teman saya di katil sebelah dengan alasan hendak pergi ke tandas. Sebelum itu saya memberitahunya, "Bro, boleh tolong aku? Aku rasa telefon bimbit aku terjatuh di bawah katil tapi lengan aku pendek tak sampai." Teman saya seorang yang tinggi dan lengannya panjang. Dia cuba mencapai di sebelah bawah katil dan berkata tidak ada telefon bimbit pun.
Selamat pada malam itu hanya terjadi gangguan sampai di situ sahaja.
Sekian selamat malam KC!
Comments