Assalamualaikum KC,
Saya berasal dari Perak, Malaysia. Nama saya Fiza, berumur 34 tahun sekarang.
Peristiwa ini berlaku ketika umur saya enam belas tahun (Tingkatan 4) di salah sebuah sekolah asrama di Perak. Biasalah, bila kita tinggal di asrama ini, kita akan makan secara berkumpulan, belajar pun berkumpulan, berjalan pula ramai-ramai, kadang-kadang sampai pergi tandas pun ramai-ramai sekali. Hihihii...
Kami sekumpulan kawan-kawan seramai lima orang. Kami ada urutan untuk ambil makanan di kantin sekolah dan giliran untuk membeli ais untuk membuat minuman. Dipendekkan cerita, tiba giliran saya untuk membeli ais di rumah cikgu kami yang terletak bersebelahan dengan asrama. Saya ingat lagi, masa itu waktu sudah dekat waktu Maghrib. Jadi saya minta kawan saya (Zue) temankan saya. Semasa sampai di rumah cikgu, kami pun memberi salam.
"Assalamualaikummm... Cikguuu oooo Cikguu... Assalamualaikummm... Cikguuu... Oooo Cikguuu..." Zue kemudian berkata, "Tak ada orang pun..." Saya cakap dengan Zue mungkin mereka pulang ke kampung agaknya. Kami pun pulang semula ke asrama. Semasa kami pusing hendak balik, di belakang rumah cikgu saya ada paip air dan airnya mengalir perlahan, jadi saya pun dengan baiknya tolong tutupkan paip itu sambil saya berkata, "Membazir aje air tak tutup paip..."
Selepas saya tutup paip, tiba-tiba kedengaran satu suara seperti orang yang menggigil dan dalam kesejukan. Saya pun terkejut dan berkata pada Zue supaya beredar dari situ. Kami terus berlari masuk ke dalam bilik asrama kami. Sampai di asrama, kami buat seperti biasa saja. Malam itu kami ada sesi mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan. Kami belajar di satu tempat tidak jauh dari rumah cikgu kami tadi.
Semasa mengulangkaji pelajaran, kami pun sambil-sambil bersembang dan bercerita tentang apa yang terjadi pada kami berdua pada awalnya tadi. Tiba-tiba terdengar bunyi cicak (mengikut kepercayaan orang tua, kalau sedang bercerita dan terdengar cicak berbunyi, itu tandanya cerita itu betul), kemudian disusuli dengan bunyi yang sama kami dengar, iaitu bunyi seperti orang yang menggigil dan dalam kesejukan, betul-betul di sebelah dengan tempat kami belajar.
Kami berlima pun apalagi menjerit terus melompat dan lari menuju ke bilik pelajar senior. Kami melompat sebab masa itu kami belajar di lantai dan bukan di meja. Pelajar-pelajar senior yang lain pun cuba tenangkan kami, ada yang menangis, ada yang terdiam kaku. Masing-masing sedang berfikir macamana bunyi yang sama berada di sebelah kami. Seram sangat...
Terima Kasih KC...
Dari: Hafidzah, Perak
Comments