Assalamualaikum KC,
Nama saya Taufik, berasal dari KL. Kisah yang saya ingin sampaikan ini berlaku pada tahun 1998. Masa itu saya merupakan seorang pelajar yang menuntut di salah sebuah universiti di Shah Alam. Kisah ini sampai sekarang saya masih teringat, dan sentiasa menjadi misteri hingga ke hari ini. Ia berlaku pada malam selepas saya dan beberapa orang rakan sedang lepak di dalam bilik dorm sambil bermain gitar.
Saya dan tiga orang rakan saya memang gembira sangat malam itu selepas habis peperiksaan jadi kami raikan dengan bermain gitar sambil menyanyi bersama-sama. Salah seorang kawan saya ada memiliki sebuah alat pita radio yang mempunyai fungsi memutar lagu menerusi kaset. Radio zaman dulu kan boleh rakam suara, jadi kami rakam suara kami dan nyanyi beramai-ramai sambil bergelak ketawa.
Selepas habis bernyanyi, kami ulang semula putaran kaset untuk mendengar hasil rakaman kami pada awalnya. Pada mulanya ok, sedang kami sedap mendengar tiba-tiba terdengar suara seperti perempuan sedang mengilai di dalam rakaman itu. Suara itu seperti sayup-sayup terdengar bersama-sama dengan bunyi gitar serta nyanyian kami. Kami terkejut bila terdengar suara itu dan terus mendengar.
Dalam rakaman itu selain dari mendengar suara kami sedang ketawa terbahak-bahak, dia macam membalas balik dengan berkata, "Hihihi... Ketawalah puas2, nanti tahulah nasib korang hahahahahaaaaaaaaaaaaa..." Panjang ketawanya. Kami terperanjat sambil melompat dari mendengar rakaman dari radio itu. Masing-masing pandang sesama sendiri dan rakaman itu masih berjalan tanpa ada sebarang bunyi yang menakutkan buat seketika. Kami terus mendengar dan mendengar. Di akhir rakaman itu terdengar pula suara menangis teresak-esak. Gemersik suara itu bertukar menjadi sayu dan sedih. Suara itu berkata, "Keluarkan aku boleh? Aku di dalam bilik sebelah..."
Kami apa lagi angkat kaki keluar dari bilik dorm kami. Untuk pengetahuan semua, bilik dorm di sebelah bilik dorm kami dah lama terkunci dan khabarnya memang tidak dibenarkan sesiapa untuk menginap di situ atas sebab-sebab tertentu. Dikhabarkan bahawa pada masa dahulu, kolej asrama kami dahulunya dihuni oleh pelajar perempuan dan bilik sebelah kami dahulu dihuni seorang pelajar perempuan yang dikatakan membunuh diri disebabkan terlanjur dengan teman lelakinya sampai hamil. Gangguan semakin lama semakin teruk pada masa itu. Yang menceritakan oleh pelajar senior yang pernah menginap di asrama tersebut.
Ada yang mengatakan pihak universiti siap panggil ustaz untuk menghalau jin-jin yang berada dalam bilik itu. Bukan saja roh perempuan itu, segala macam jin dah beranak-pinak di dalam bilik tersebut sehingga memerlukan sebuah bas untuk "membawa mereka" keluar dari kawasan kampus. Sampai sekarang saya tidak tahu ke mana bas ini pergi untuk membuang jin-jin tersebut. Hanya ustaz itu yang tahu.
Itu saja KC dan Selamat Malam Seram!
Yorumlar