Assalammu'alaikum KC,
Saya Wong, berasal darii Jengka, Pahang. Pengalaman seram yang saya ingin ceritakan ini terjadi ketika saya bekerja di kilang kelapa sawit di Sungai Tengi di negeri Selangor. Namun kejadian seram ini berlaku bukan di kilang kelapa sawit tetapi di rumah staf kilang yang saya dan kawan kerja menginap. Kisah seram yang saya lalui ini berlaku pada tahun 2004. Ceritanya begini.
Setelah saya dan kawan mendapat arahan dari bos untuk pergi ke kilang tersebut, kami bertolak dari Jengka untuk ke kilang mengambil masa dalam lima hingga enam jam untuk sampai. Kami bertolak sekitar jam 11 malam dan kami pergi seramai lima orang, iaitu diri saya sendiri, Semi, Kanda, Belalang dan Andak. Kami sampai di depan kilang dalam pukul 5.30 pagi.
Kami pun tunggu hari cerah dan jumpa pengurus kilang untuk memaklumkan kerja yang kami akan lakukan serta meminta rumah staf kilang yang kosong untuk kami menginap sampai kerja kami siap. Selesai saja jumpa bos kilang, kami pun memulakan kerja. Bila waktu dah lewat petang, sedang asyik kami bekerja, tiba-tiba bos datang mengarahkan kami supaya pulang dan sambung kerja pada keesokan hari. Waktu itu saya terpinga-pinga memikirkan kenapa kami diarahkan pulang dengan cara seolah-olah sedang marah.
Kami pun pulang ke rumah yang diperuntukkan buat kami. Bila kami sampai di rumah itu, kami lihat keadaannya memang menyeramkan. Dengan pokok menjalar dari tanah ke dinding rumah. Tepi rumah itu, ada pokok besar yang mati. Bila kami masuk dalam rumah itu, keadaan dalamnya berhabuk. Rumah itu ada dua bilik tidur. Sedang kami memeriksa dalam rumah, tiba-tiba kawan kami, Belalang, memanggil saya. Saya pun pergi padanya. Waktu itu dia berada di dalam bilik. Bila saya masuk bilik itu, saya terus terdiam tanpa berkata apa-apa. Mana tidaknya, keadaan salah satu bilik itu bersih. Ada katil, cadar, bantal, bantal peluk, almari, serta alat mekap. Semua bersih. Macam ada penghuni. Saya pun panggil semua kawan saya melihat keadaan bilik itu. Semua tak berani tidur dalam bilik itu.
Kami tinggal di situ selama dua minggu. Tiada apa-apa yang pelik berlaku. Namun bila tiba hari Jumaat yang kedua, sedang saya berjalan meronda kawasan kilang, saya terjumpa seorang pekerja kilang di bilik enjin. Saya dengan dia pun bersembang. Dalam asyik berborak, tiba-tiba dia bertanya pada saya, "Kamu duduk di rumah itu tiada apa-apa yang berlaku ke?"
Bila dia tanyakan soalan begitu, saya pun terdiam seketika, namun saya berkata tiada apa yang pelik terjadi. Dia pun bertanya lagi, "Betul ke rumah itu ada bilik sepertimana yang saya pernah dengar?" Saya terdiam lagi. Sebelum kami habis berborak, pekerja kilang itu berkata pada saya agar berhati-hati duduk di rumah itu. Selepas dia berkata begitu, saya mula rasa tak sedap hati. Tapi saya cuba kuatkan semangat.
Bila tiba waktu malam. kami bergilir-gilir mandi. Waktu itu Andak yang sedang mandi tiba-tiba menjerit, "Siapa tutup paip air ni?" Saya pun berkata, "Siapa yang tutup? Kita semua ada dalam rumah!" Si Belalang pergi ke meter air yang terletak di luar rumah. Ternyata ia tertutup tetapi siapa yang tutup? Kami semua terdiam. Waktu itu saya mula teringat kata-kata pekerja kilang itu. Tapi saya masih tidak menceritakan pada kawan-kawan saya.
Bila giliran saya sedang mandi, tiba-tiba air paip tiada lagi. Saya pun menjerit pada kawan-kawan yang lain, "Siapa tutup paip air ni?" Giliran Kandar pula yang pergi periksa meter air, ternyata memang tertutup sekali lagi. Selesai saja semua mandi, kami pun pergi makan malam di Bandar Batang Berjuntai. Siap makan, kami pun pulang ke rumah. Kami pun baring di tempat masing-masing. Kami semua tidur di ruang tamu ramai-ramai. Dalam bilik yang bersih itu, tiada seorang pun yang berani nak tidur di dalam.
Sedang asyik kami menonton televisyen dan jam pula menandakan waktu 12.30 malam, bos kami pun sampai dari Jengka. Masuk saja ke dalam rumah berserta dengan beg pakaian, terus menuju ke bilik yang bersih itu. Dia berkata, "Rugilah tak tidur atas tilam!" Saya pun berkata, "Kalau berani, tidurlah!" Yang lain hanya mendiamkan diri. Bila semua dah tidur, tiba-tiba saya terdengar jeritan dari bos kami, "YA ALLAH! YA ALLAH! YA ALLAH!" Kami yang tidur di ruang tamu hanya mampu tertawa. Dalam fikiran saya masa itu mungkin bos ditindih dengan makhluk yang ada dalam bilik itu. Mungkin dia marah.
Selepas itu saya ternampak bos kami merangkak dari dalam bilik tidur ke ruang tamu dan menyertai kami. Saya hanya diamkan diri saja. Bila semua dah tidur, pasti ada yang berdengkur. Dalam masa itu juga saya rasa nak terbuang air kecil. Saya tengok jam di telefon menunjuakkan pukul 3.30pagi. Saya cuba tahan. Sebab perasaan saya waktu itu rasa macam ada sesuatu yang tidak kena. Waktu itu juga terlalu sunyi.
Dalam saya sedang menahan diri dari membuang air kecil, tiba-tiba terdengar bunyi burung hantu di luar rumah. Mungkin burung itu ada di atas pokok mati sebelah rumah kami. Waktu itu saya rasa bulu roma saya berdiri tegak. Makin saya rasa takut, semakin kuat saya rasa hendak buang air kecil. Akhirnya saya ambil keputusan untuk lepaskan hajat juga. Sebab dah tak boleh tahan lagi. Saya pun menyelak kain selimut dari seluruh tubuh saya. Waktu itu saya rasa memang ada yang akan berlaku pada saya malam itu. Saya pun ambil keputusan untuk tidak berjalan. Sebab tak mahu pandang ke depan.
Saya pun mula merangkak dan melangkah kawan-kawan saya yang sedang tidur. Bila saya dah melangkah mereka, saya harus turun tangga dan menuju ke bilik air melalui ruang dapur. Saya turun tangga pun dalam keadaan mengesotkan tubuh saya dalam keadaan duduk. Waktu itu pandangan saya hanya ke bawah dan masih tak berani lihat ke depan. Bila saya turun tangga tersebut dan sampai ke bawah, tiba-tiba saya terpaku tanpa suara. Waktu itu badan saya rasa menggigil. Pandangan saya tepat pada tingkap rumah yang tiada cermin. tetapi saya boleh nampak belakang rumah yang gelap. Waktu itu saya ternampak makhluk seperti seorang perempuan berbaju putih yang kotor dan lusuh, rambutnya panjang sangat!
Yang buat badan saya makin terketar, saya lihat ia tiada mata, hidung dan mulut, wajahnya kosong tiada apa-apa. Berdiri depan tingkap menghadap ke dalam rumah. Seolah-olah memandang tepat pada saya. Saya rasa sangat takut, hingga peluh keluar menjurai dari kepala. Waktu itu saya rasa nak menjerit sekuat hati. Tapi suara ini tak nak keluar. Saya pun undur ke belakang untuk kembali ke tempat tidur semula.
Bila saya berada di tempat tidur, saya terlihat makhluk itu mengangkat tangannya menunjuk ke arah saya. Saya pun terus baring dan berselubung dengan selimut seluruh badan saya. Saya menggigil waktu itu dan ketika itu juga saya terdengar suara perempuan menyanyi dalam bilik yang bersih itu. Saya cuba pejamkan mata sampai saya terlena. Tak sampai sepuluh minit saya tertidur, saya rasa sesuatu menindih atas badan saya. Saya cuba lawan dengan membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an.
Saya berjaya terlepas dari makhluk yang tindih saya waktu itu. Dalam waktu itu juga saya terdengar suara mengilai di luar rumah. Bunyi mengilai itu seolah-olah jauh. Bunyi hilaian itu agak lama juga. Kesemua yang lain serentak terbangun dari tidur. Salah seorang bertanya,"Bunyi apa tu?" Saya hanya mampu menunjuk isyarat senyap di bibir dan jangan menegur. Salah seorang kawan saya melaungkan azan dalam rumah itu. Seraya melaungkan azan, suara hilaian itu pun hilang. Kami semua terus tak boleh tidur hingga ke pagi.
Itulah kisah yang benar-benar saya dan teman-teman lalui. Selepas kejadian itu, keesokan harinya, kami ambil keputusan untuk pindah rumah. Kami tinggal di Felda Sungai Tengi sampai kerja kami siap dan tiada apa-apa perkara pelik yang berlaku. Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya ini di blog Malam Seram!
Comments