Salam KC,
Saya suka mendengar kisah-kisah seram rancangan Malam Seram. Nama saya Kins, saya hendak berkongsi kisah seram ketika masih belajar di kolej swasta yang terletak di Kajang, Selangor. Kisah seram ini berlaku sekitar tahun 2014 ketika saya masih lagi mengambil jurusan arkitek lanskap atau Landscape Architecture dalam Bahasa Inggeris.
Hostel yang saya tinggal ini bercampur dengan warga asing dan di hostel ini mempunyai lapan tingkat. Setiap satu tingkat mempunyai tiga bilik air iaitu di kiri, tengah (berdekatan dengan lif) dan kanan. Bilik saya ketika itu berada di bahagian kanan tingkat tujung di penghujung sekali. Saya sering tidur larut malam, adakala tidur pukul 3 pagi atau 4 pagi, sebab biasalah sibuk dengan kerja sekolah, rekabentuk contoh lanskap dan sebagainya. Saya mulakan kisah seram pada malam tersebut.
Pada malam itu saya memang tidak membuat apa-apa, tidak ada kerja sebab semua kerja saya sudah dihantarkan untuk pemeriksaan guru. Jadi saya ambil keputusan untuk tonton filem menerusi telefon bimbit, dari pukul 1 pagi sampailah pukul 3 pagi. Sebaik saja saya selesai menonton filem tersebut, saya hendak ke tandas dan teman sebilik saya pula sudah tidur nyenyak, tetapi mata saya ketika itu masih lagi belum mengantuk.
Saya jalan menuju ke tandas seorang diri, tiada kelibat seorang pun yang ada pada masa itu. Sewaktu saya hendak masuk ke dalam tandas, saya ternampak satu sosok tubuh berdiri tercegat. Saya pun tercengang dan kaki saya pula berhenti melangkah seketika apabila saya ternampak sosok tubuh tersebut. Saya ternampak sosok seorang lelaki yang berada di hujung tandas kiri tapi sosok tersebut membelakangi saya dan sukar melihat wajahnya.
Saya terangkan dengan lebih terperinci bagaimana rupa sosok ini, ia kelihatan seperti sosok lelaki, berambut pendek, berbaju lengan panjang dan tanpa berkaki. Tanpa kaki! Sosok tubuh lelaki ini tidak berdiri tetapi seperti terapung-apung. Saya teruskan niat saya, saya cuci kaki, muka dan sosok itu pun hilang sebaik saja saya keluar dari tandas. Akhirnya saya terus jalan menuju balik ke bilik. Mungkin ada yang tertanya kenapa saya tidak lari tadi, sebab saya pernah merasai pengalaman tersebut sebelum ini. Saya pernah mendengar, melihat dan merasai. Hati kena kental, bro!
Terima kasih KC dan para pembaca blog Mama Seram...
Comments