Assalammu'alaikum,
Nama saya Ayu. Saya mahu kongsi pengalaman saya yang telah berlaku beberapa tahun yang lalu apabila umur saya masih 15 tahun. Waktu itu, aktiviti luar darjah saya telah mengadakan program pertukaran di Johor Bahru untuk 3 hari 2 malam. Saya dan kawan-kawan menyertai untuk belajar. Di Johor Bahru, kita menginap di sebuah hotel yang berdekatan dengan City Square Mall. Saya lupa nama hotel di sana, tapi saya ingat kawasannya terletak berdekatan City Square Mall.
Pengalaman saya tentang apa yang berlaku dalam hotel itu. Cikgu sudah menentukan bilik-bilik kami. Saya berkongsi bilik dengan seorang kawan saya, Zah. Saya perasan ruang koridor untuk ke bilik kami amat gelap. Lampu di situ tak berapa terang sangat jadi nampak malap. Bilik kami di hujung. Saya paling tak suka bilik yang di sebelah hujung sebab takut wifi bermasalah dan jauh dari lif. Apabila kami ingin masuk dalam bilik, meremang bulu roma saya apabila saya melangkah masuk sambil memberi salam. Tapi saya tidak mahu berkata apa-apa kepada kawan saya. Saya buat macam biasa saja. Selepas meletak beg di dalam bilik, kami pun keluar bersiar-siar dengan cikgu.
Selepas bersiar-siar, kami pun pulang ke hotel untuk rehat kerana hari pun sudah malam. Saya dan kawan saya bertukar giliran untuk mandi. Selalunya kalau saya berkongsi bilik dengan sesiapa, saya okay sekiranya saya berseorangan dalam bilik. Saya akan menonton televisyen, makan dan sebagainya. Tetapi bila kawan saya pergi mandi dan saya seorang diri di luar, saya dapat merasakan yang saya bukan keseorangan diri. Saya merasakan seperti ada yang memerhatikan saya dalam bilik itu. Saya tidak mahu berfikir apa-apa. Saya terus menonton televisyen. Selepas giliran saya, kawan saya tiba-tiba berkata, "Ayu, nak tidur dengan yang lain tak? Jom kita pergi ke bilik mereka..." Dengan tidak banyak soal, saya pun setuju.
Jam sudah pukul 12 malam. Koridor yang saya sebutkan tadi nampak lebih malap. Meremang bulu saya bila kami jalan untuk menuju ke bilik kawan yang lain. Apabila kami sampai depan bilik kawan kami, kami boleh mendengar jelas mereka sedang tertawa sambil berborak. Sudah jelas, mereka belum tidur. Kami pun mengetuk pintu mereka. Tiba-tiba senyap. Daripada mereka ketawa dengan kuat, tiba-tiba senyap selepas kami ketuk pintu. Mereka tak buka pintu.
Saya pun berkata dengan kawan saya, "Zah cuba ketuk lagi. Mereka tak dengar agaknya?" Kawan saya ketuk lagi. Baru kawan saya buka pintu. Tetapi kami terperanjat sebab dia buka pintu dengan mukanya seperti baru bangun tidur. Saya pun bertanya, "Eh kau baru bangun tidur?" Dia jawab sambil menguap, "Ahah, kita penat sangat. Tadi balik terus tertidur. Kenapa?"
Meremang bulu roma saya. Saya tengok kawan saya, kawan saya pun tengok saya. Siapa yang ketawa dan berborak tadi? Betul2 kami mendengar mereka sedang ketawa. Betul-betul suara mereka. Saya pun berkata, "Eh takpelah kita nak pergi bilik yang lain. Kau nak ikut kita?" Dia pun mengangguk. Kami berjalan dengan cepat dan terus ketuk bilik pintu kawan yang lain minta izin masuk, baru kami beritahu dia apa yang berlaku. Tak berani kami balik bilik sendiri sampai keesokan pagi.
Itulah pengalaman yang tidak boleh saya lupakan. Minta maaf kalau tidak seram sangat. Tapi ini pengalaman yang benar. Terima kasih dan selamat malam :)
Comments