Assalamulaikum KC,
Panggil saya Z sahaja. Saya ada sebuah pengalaman yang saya nak kongsikan. Ini terjadi kepada saya dan teman saya semasa kami menjalani perkhidmatan negara di salah sebuah akademi perkhidmatan negara di Singapura. Di akademi ini kami menjalani kursus asas sebelum dihantar ke unit atau jabatan tertentu.
Kami sering diingati oleh pelatih kami agar pergi ke tandas bersama teman sekiranya ingin membuang air besar atau kecil setelah waktu lampu diwajibkan dimatikan. Tidak dibenarkan untuk pergi seorang diri. Dalam akademi ini ada lebih kurang enam kompeni. Ada salah satu kompeni ini memang banyak cerita dan dikatakan sungguh keras. Entah apa nasib saya, saya ditempatkan di kompeni tersebut dan sering diganggu, tetapi ada satu pengalaman yang seram sekali dan tidak dapat saya lupakan hingga hari ini.
Pada satu malam, sekitar pukul 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur sebab sakit perut dan hendak membuang air besar. Saya mengejutkan teman saya untuk temankan saya pergi ke tandas, tapi dia jenis orang yang tidur mati. Susah hendak saya kejutkan. Akhirnya dia bangun dan temankan saya ke tandas. Sambil kami berjalan ke tandas, kami nampak lampu tandas menyala, lantas kami sangkakan ada orang di dalam, kerana lampu tandas dihidupkan menerusi aktivasi sensor. Bila ada yang masuk baru lampunya dihidupkan secara automatik. Kami pun masuk ke dalam tandas. Di dalam tandas ada lima buah kubikel. Saya berada di dalam kubikel kedua dan kawan saya berada di dalam kubikel yang terakhir.
Sedang kami berada di dalam kubikel masing-masing, saya terdengar seperti ada orang masuk di dalam kubikel bersebelahan dengan saya. Saya boleh nampak bayang-bayang di lantai dan bunyi orang mengunci pintu sambil duduk di atas jamban. Saya pun lalu bertanya, "Eh bro, you go toilet alone ah? Where's your buddy? Don't get us into trouble ah?" Tapi dia tak jawab, senyap saja. Kawan saya di hujung lalu bertanya yang sama, tetapi tetap senyap juga.
Selepas kami berdua selesai melaksanakan hajat dan sambil mencuci tangan di sinki yang berada di luar kubikel masing-masing, kami memandang antara satu dengan lain dan membuat isyarat bertanya kenapa yang di dalam itu senyap saja? Kami pun ketuk pintu kubikel itu, bertanya dan memanggil tapi orang yang kami sangkakan berada di dalam itu tetap tidak menjawab.
Kawan saya mula tunduk untuk melihat dari bawah kalau betul ada orang atau tidak. Dia tengok lantas memandang saya dan beri isyarat bahawa tiada orang di dalam. Saya pun berkata, mungkin dia sedang menyangkung di atas jamban. Saya pula cuba untuk membuka pintu kubikel itu dari luar kerana pintu kubikel boleh dibuka dari luar dengan menggunakan syiling ataupun kuku. Saya cuba membuka pintu itu dari luar kerana takut mungkin dia tertidur di dalam, nanti susah pula kami semua boleh didenda.
Selepas berjaya membuka pintu itu, saya memberi isyarat kepada kawan saya yang saya akan menolak pintu itu untuk dibuka. Saya tolak pintu itu perlahan-lahan. Sambil saya menolak pintu itu, tiba-tiba rasa seperti ada orang di dalam menolak pintu itu semula untuk ditutup. Saya tolak lagi kuat, tapi susah betul buka pintu kubikel itu. Saya pun lepaskan pintu itu dan berhenti menolak. Depan mata kami berdua pintu itu tutup sendiri secara perlahan-lahan. Selepas ia ditutup, mangga pintu itu berpusing dari warna hijau ke warna merah, seolah-olah ada orang yang pusingkan mangga itu dari dalam. Saya sangkakan mungkin ada yang ingin mempermainkan kami. Saya pun panjat dari kubikel sebelah untuk lihat ke dalam kubikel tersebut.
Alangkah terperanjatnya, tidak ada orang di dalam kubikel tersebut! Saya pun menoleh ke arah teman saya, tapi tandas sudah tidak ada orang. Teman saya dah cabut tinggalkan saya seorang diri di dalam tandas itu! Saya dengan pantas lari keluar dari tandas dan masuk balik ke bilik bunk saya, keluarkan buku Yassin dan meletakkan sebelah bantal saya lalu selubung dalam selimut lantas memaksa diri saya untuk tidur.
Sekian terima kasih dan selamat malam...
Comments