Salam KC,
Panggil saja saya dengan nama timangan saya, iaitu Fifi. Saya ada sebuah kisah yang ingin saya kongsikan. Mungkin ia tidak seram sangat pada pengamatan mereka yang membaca. Saya dan suami berkenalan pada tahun 2017. Saya tinggal di Yishun bersama keluarga dan dia tinggal di Bedok bersama adik-beradiknya yang lain. Ibu bapanya telah pun bercerai dan duduk berasingan. Sesekali saya akan bermalam di rumah mereka, kerana saya bekerja berdekatan dengan rumah yang diduduki keluarga suami saya. Disebabkan rasa kasihan kerana perlu menghantar saya dari Bedok ke Yishun, saya keraplah bermalam di rumahnya.
Apabila saya tidur di rumah itu, suami saya yang ketika itu teman lelaki saya, akan tidur di ruang tamu. Rumah itu jenis rumah tiga bilik dan mempunyai satu bilik utiliti. Untuk pengetahuan mereka yang bukan berada di Singapura, bilik ini merupakan satu bilik yang ditambah di bahagian dapur sewaktu Pemerintah Singapura membuat perancangan untuk menambah bilik pada model rumah-rumah yang dianggap telah matang.
Satu bilik diperuntukkan untuk kakaknya yang pertama bersama keluarga beliau. Lagi satu bilik untuk kakaknya yang nombor dua dan tiga. Selalunya suami saya akan tidur bersama kakak-kakaknya yang nombor dua dan tiga. Tapi mungkin disebabkan tidak mahu saya rasa kurang selesa, dia menyuruh saya tidur di bilik utiliti. Bilik itu digunakan sebagai bilik permainan untuk anak-anak buah suami saya, dan pintu bilik itu tiada tombol pintu, atas sebab-sebab tertentu.
Mereka sekeluarga kalau tidur, akan hidupkan lampu kecil di antara dua bilik. Pada masa itu saya tidak tahu mengapa. Hari pertama saya bangun dari tidur, bila saya mandi dan sedang sabun badan, saya terperasan ada lebam-lebam di bahagian peha saya. Saya memberitahu suami saya, dia kata mungkin saya terlanggar tembok ataupun mainan ketika sedang tidur. Saya pun tidak syak apa-apa pada mulanya kerana mungkin tanpa sedar saya tidur dalam keadaan ganas pada sangkaan saya.
Namun setiap kali saya tidur di sana, saya akan ada lebam baru, yang sangat gelap dan mempunyai tompok-tompok merah di tengah-tengah lebam itu. Kadangkala satu lebam, kadang-kadang ada dua. Kadang yang lama masih belum hilang, sudah ada yang baru. Tapi saya rasa pelik, kenapa setiap kali di bahagian peha dan bukan di bahagian lain? Saya pernah juga memberitahu emak saya, dia menyuruh saya membaca Ayatul Qursi sebelum saya tidur.
Pernah sekali sedang saya tidur, saya tak ingat pukul berapa saya terbangun dan terdengar seperti orang sedang menangis di ruang tamu. Saya terus telefon bekas teman lelaki saya yang sedang tidur di ruang tamu sebab tidak berani hendak keluar dan tengok. Dia angkat telefon dan saya terus berkata, "Saya tak sedap hati, duduk dalam bilik dengan saya..." Dia memarahi saya kerana mengganggunya tidur dan tidak mahu masuk ke dalam bilik saya kerana kurang manis dan tidak sepatutnya kami sebilik kerana kami belum bernikah.
Saya terus berkata, "Awak masuk sekarang atau saya balik rumah mak saya. Tak payah tidur sini terus!" Bila saya berbual dengannya, saya masih terdengar bunyi suara yang sedang menangis itu. Bila saya dengar orang tolak pintu bilik, lega rasanya dan bunyi suara itu tidak kedengaran lagi. Paling seram, apabila kami sudah berkahwin, kami masih tinggal dan tidur di bilik itu. Adakalanya sedang kami duduk berbual, pintu akan terbuka dengan sendirinya!
Untuk pengetahuan semua, suami saya telah menampal penampal dan kertas pada pintu itu, supaya ia ketat sedikit. Hendak tolak pintu, perlu tolak dengan kuat sebab takut pintu terbuka dengan sendirinya bila saya tukar baju atau bila kami tidur. Jadi angin yang bertiup dengan kuat dari luar macamanapun, pintu itu tidak akan mudah terbuka.
Sedang saya berbual dan bergurau senda bersama suami sekitar jam satu lebih pagi, terdengar seperti orang sedang menolak pintu. Kami berdua melihat ke arah pintu tapi tidak nampak sesiapa. Ingatkan kakak-kakak ipar saya marah sebab bising, tapi kakak-kakak atau abang ipar saya, selalu akan mengetuk pintu terlebih dahulu. Apabila terbuka, suami saya tutup semula. "Mungkin angin agaknya..." Saya cakap dalam hati, padahal sedang rasa tidak sedap hati.
Kami sambung berbual, terbuka lagi. Saya tengok muka suami saya, dia tengok muka saya. Saya cakap dengan nada yang kurang selesa, "Tolaklah pintu ni sikit. Angin tolak mestilah terbuka..." Suami diam saja. Saya bangun, tolak pintu dan hempas dengan kuat untuk memastikan saya benar-benar tutup dengan rapat. Belum sempat saya duduk di atas katil semula, pintu terbuka lagi! Kali itu saya betul tidak sedap hati dan tergamam. Saya menyuruh suami saya meletakkan beg yang penuh mainan di depan pintu. Malam itu kami berdua tidur tidak matikan lampu.
Sekarang rumah itu telahpun dijual. Setelah dijual baru suami ceritakan tentang kisah rumah itu. Dari permulaan mereka tinggal di situ, banyak kisah-kisah misteri yang mereka sekeluarga alami. Lagi-lagi tentang bilik uiliti yang kami tidur itu. Hendak diceritakan memang terlalu banyak tapi sejarah rumah itu memang dengar-dengar ia bekas kepunyaan seorang perawat tradisional yang telah meninggal dunia. Mungkin ada peninggalan yang masih tertinggal di situ.
Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya.
Assalamualaikum KC...
Comentarios