top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Rumah Bekas Mertua

Salam KC,


Saya Yana, ingin berkongsi pengalaman saya semasa selama saya tinggal di rumah bekas mertua saya. Waktu itu saya baru saja berkahwin dengan bekas suami saya. Selepas seminggu berkahwin, saya berpindah ke rumah mereka di Jurong West. Cuba bayangkan, saya dengan beg-beg yang penuh dengan kain baju sewaktu berdiri di luar pintu rumah itu, dikejutkan dengan kata-kata dari bekas suami seperti berikut:


Bekas Suami: "Ah, nanti kalau awak dengar apa-apa ke, pintu laci di dapur terbuka sendiri semua, awak buat bodoh sajalah. Tak ada apa-apa, sini dah terbiasa macam gini..."


Bekas Mak Mertua: "A'ah buat bodoh aje... Itu semua kita dah terbiasa..." Bekas bapa mertua saya hanya tersenyum saja. Saye terdiam dan tergamam, tidak tahu nak cakap apa.


Bekas Suami: "Alah awak tak payah takutlah... 'Dia' tak buat apa-apa pun..." Lagilah saya rasa seram! Yelah baru berkahwin sedang berada di depan pintu alih-alih bercakap tentang benda ini semua. Jadi, setelah malam pertama itu, saya diamkan saja, tak hiraukan apa-apa. Mungkin mereka hanya bergurau saja.


Saya bekerja di sebuah kedai di salah sebuah pusat membeli-belah jadi kadangkala akan pulang lewat sekitar pukul 12 tengah malam. Adakala juga selewat dua pagi. Bila sampai di rumah dan setelah bersihkan diri, saya tidak dapat tidur terus lalu bermain dengan telefon bimbit saya. Satu malam itu, sewaktu saya membelek-belek telefon bimbit saya, saya terdengar seperti ada orang berlari-lari di luar bilik tidur saya, seperti ada budak kecil bermain di ruang tamu. Saya diamkan saja, dalam fikiran saya mungkin jiran atas atau budak-budak yang lepak bawah blok yang masih belum pulang.


Semakin hari, semakin menjadi-jadi. Sampaikan satu malam itu saya bertanya pada diri sendiri. Kali itu bukan orang atau budak kecil yang berlari-lari, saya terdengar suara di ruang tamu. Betul jelas saya dengar orang sedang bernyanyi. Perlahan dan sayu saja suaranya, sayu sangat. Siapa lagi yang hendak bernyanyi di ruang tamu pada malam-malam buta sebegitu? Di rumah bekas mertua saya cuma saya dan bekas ibu mertua saja yang wanita. Jadi, saya cuba kejutkan bekas suami, tetapi dia tidur mati!


Beberapa hari selepas kejadian itu, saya memberitahu bekas suami saya, tetapi dia tidak endahkan. Dia hanya berkata, "Kan saya dah bagi tahu awak, tak ada apa-apa, yang awak tak tidur tu kenapa? Biarkan saja!" Saya dah tidak boleh tahan, dah tak tahu siapa hendak bagi tahu, saya terpaksa mengadu kepada ayah saya. Mak saya pula menyuruh saya cepat-cepat pulang dan tak payah tidur di sana lagi. Jadi malam itu saya tidur di rumah mak saya. Mak saya berikan satu jahitan kain di mana dalamnya ada pisau kecil, jarum dan buku Yassin kecil. Mak saya berkata, "Kau ambil ni. Dalam ni ada jarum, pisau kecil dan buku Yassin. Kalau tidur, letak dekat dengan kau. Sebelum tidur, jangan lupa baca Ayat Kursi dan Tiga Qul..."


Keesokan harinya selepas habis kerja saya pulang ke rumah bekas mertua saya. Saya ada teringat, selama saya di rumah itu, kalau saya buka pintu bilik tidur saya, saya boleh nampak bilik bekas ibu bapa mertua saya. Apabila saya melaksanakan solat, saya sedar bekas mak mertua saya akan selalu perhatikan saya dengan muka yang garang. Ketika itu saya tidak terfikir apa-apa. Saya buat tak endah sahaja. Pernah saya bertanya pada suami saya kenapa dalam rumah ni saya tidak pernah nampak kaum keluarga lain melaksanakan solat? Jawapannya, "Buat ape nak solat? Solat macamanapun, kita mintaa bukannya dapat apa-apa! Kita semua dah dah penat nak solat!"


Astaghfirullah! Masa itu saya tergamam, hanya Tuhan saja tahu perasaan saya, macam tidak percaya seseorang boleh bercakap macam itu, lebih-lebih lagi dari suami sendiri. Selepas malam itu, masih lagi ada gangguan. Dalam tandas, hendak mandi ada saja yang ketuk pintu, atau dengar benda terjatuh. Kadang-kadang saya pulang dari kerja lewat malam sewaktu lalu di ruang tamu dan hendak masuk ke bilik tidur, saya pernah ternampak kelibat perempuan, semuanya hitam.


Lama-kelamaan ia sampai mengganggu rumahtangga saya. Mungkin sebab-sebab inilah, di mana rumah kalau dah lama sangat tiada yang melakukan solat malah tidak membaca kitab suci Al-Qur'an ataupun memutarkan bacaan surah-surah suci, benda-benda yang tidak diundang semua suka tinggal dalam rumah itu. Wallahua’lam. Alhamdulillah sekarang saya sudah berkahwin lagi dengan suami yang tidak pernah putus solatnya.


Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya...

236 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page