Assalamualaikum KC,
Saya Apit dari Penang, Malaysia, ingin berkongsikan sedikit pengalaman unik bagi saya dan mungkin tidak dapat saya lupakan. Cerita ini terjadi pada tahun 2017. Ketika itu saya baru sahaja melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta di utara Malaysia. Saya baru sahaja satu bulan setengah dari tarikh mendaftarkan diri di kolej tersebut.
Kami disediakan sebuah apartment yang dihuni oleh beberapa orang pelajar lain. Apartment saya sangat dekat dengan kolej. Jalan kaki tidak sampai sepuluh minit dah sampai kolej. Pada waktu itu, apartment tersebut cuma ada saya seorang diri disebabkan pelajar lain masih lagi bercuti semester. Biasalah budak baru, kena masuk awal sedikit sebelum semester baru bermula. Sebab ada orientasi pelajar baru dan taklimat tentang kolej.
Pada minggu itu, kami pelajar baru dalam minggu orientasi yang dianjurkan oleh beberapa orang senior serta staff kolej. Ada satu bahagian orientasi, kami perlu melakukan aktiviti luar. Pelbagai aktiviti dilakukan sehinggakan kasut, seluar, baju semua habis kotor sangat disebabkan terkena tanah liat dan lumpur. Dipendekkan cerita, petang itu dalam pukul 4 petang, setelah selesai sahaja orientasi tersebut, saya segera pulang ke apartment saya untuk mencuci pakaian sekaligus membersihkan diri.
Sebaik sahaja tiba di apartment, saya mendapatkan satu baldi untuk direndamkan terlebih dahulu kasut, seluar dan baju yang sangat kotor. Jadi, saya membasuh baldi tersebut kemudianletakkan sedikit sabun pencuci dan merendamkannya. Sambil menunggu pakaian dalam baldi, saya menyalakan sebatang rokok di balkoni untuk berehat seketika. Setelah lebih kurang lima belas minit, saya kembali ke bilik mandi untuk mencuci pakaian saya yang kotor.
Apabila saya mengangkat pakaian-pakaian saya, mestilah air yang kotor tersebut masih ada dalam baldi, kan? Saya menuangkan air yang kotor tersebut. Apabila air tersebut dituang, alangkah terkejutnya saya apabila terdapat banyak gumpalan rambut seakan-akan rambut wanita kerana sangat panjang yang turut keluar daripada dalam baldi itu. Bukan sedikit, tetapi sangat banyak seperti yang kita lihat di lantai kedai gunting rambut. Begitulah banyaknya.
Saya tidak mahu berfikir panjang dan bukan-bukan, saya segera membersihkan rambut itu, dan memberus pakaian saya dengan berus. Setelah selesai saya memberus dan membersihkan pakaian, saya perlu merendamkan sekali lagi dengan menggunakan pewangi pakaian. Maklumlah tiada mesin basuh. Kali kedua merendam, saya dah mula terfikir tentang rambut tadi. Lantas, saya membersihkan baldi tersebut sebersih-bersihnya untuk pastikan tiada langsung rambut walaupun sehelai.
Setelah baldi dibersihkan, saya segera memasukkan pakaian-pakaian saya dan menuangkan sedikit pewangi pakaian. Sekali lagi, saya menyalakan sebatang rokok di balkoni rumah sambil cuba berfikir dari manakah datangnya helaian rambut itu tadi? Saya yakin dan pasti tiada rambut yang melekat di pakaian saya sebelum saya membasuh. Kemudian saya berkata di dalam hati, "Ahhhh tak payah fikirlah. Mungkin tersalah tengok kot..."
Setelah habis rokok, saya kembali ke bilik mandi untuk membilas pakaian buat kali terakhir. Saya mengangkat pakaian-pakaian saya, saya menuangkan air yang terdapat dalam baldi, kemudian mata saya terbeliak. Rambut, bilangan, warna dan panjang yang sama, keluar daripada baldi tersebut. Saya tiba-tiba terkedu tak tahu nak buat apa. Saya dah mula fikir yang bukan-bukan. Kemudian saya kawal minda saya untuk tidak berfikir benda yang bukan-bukan, saya segera membersihkan pakaian dan setelah itu mandi membersihkan diri, siap memakai baju dan keluar rumah pergi melepak sekejap.
Setelah seminggu lebih daripada hari yang saya diganggu tersebut, kolej saya kecoh dengan kejadian-kejadian misteri seperti histeria, pelajar perempuan ternampak wanita berambut panjang di hujung koridor dan pelbagai lagi kisah-kisah misteri yang terjadi. Saya yang mendengar kisah-kisah tersebut mula terfikir, adakah kejadian-kejadian ini mempunyai kaitan dengan apa yang saya alami? Wallahu'alam.
Rupa-rupanya, setelah saya selidik tentang latar belakang dan sejarah daerah atau kawasan kolej dan apartment saya itu, barulah saya tahu bahawa di kawasan kolej dan apartment saya itu dahulunya adalah tempat orang membuang saka kerana tempat itu dahulunya adalah hutan tebal.
Sekian, daripada saya. Terima kasih!
Comments