Hello KC,
Saya Don dari Keningau, Sabah, Malaysia. Untuk pengetahuan semua, nenek saya (sebelah bapa saya) seorang bomoh kampung yang tidak beragama. Cuma bezanya nenek saya seorang yang suka menolong orang atau mengubati orang yang terkena buatan orang. Jadi pengalaman pelik atau menakutkan memang sudah biasa saya tengok.
Ada sekali cuma ada nenek dan saya di dalam rumah. Seekor burung pipit masuk ke dalam rumah dan hinggap di atas sofa. Saya tengok burung itu dan tergerak hati nak tangkap. Belum sempat saya berdiri nenek dah tangkap burung itu. Ditutupnya burung itu menggunakan tapak tangan selama beberapa minit sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu kemudian dibukanya semula tapak tangannya. Burung pipit yang saya nampak terbang dan hinggap atas sofa dah bertukar menjadi kain kuning yang diikat tali merah!
Nenek buka ikatan tali merah itu. Saya yang ada rasa ingin tahu bercampur dengan hairan berdiri dan pergi dekat dengan nenek saya. “Apa ada dalam bungkusan tu, Nek?” saya bertanya. Nenek cuma tunjuk telapak tangannya. Saya dapat nampak dengan jelas dalam kain kuning itu ada segumpal tanah liat berwarna merah basah dan saya dapat menghidu bau busuk tanah itu. Nenek pecahkan gumpalan tanah itu, ternampak beberapa batang paku sepanjang seinci dan ianya sudah berkarat! Setiap kali benda seperti itu terjadi, nenek mesti berpesan, “Kamu selalulah berdoa mengikut kepercayaan agama kamu, baru benda yang dihantar ini tidak terkena kamu...” Nenek cakap begitu sebab ketika itu nenek saya masih belum memeluk apa-apa agama. Masih dengan kepercayaan beliau.
Berbalik kepada cerita yang saya mahu kongsikan tadi. Kejadian yang saya mahu kongsikan ini terjadi ketika saya berumur lima belas tahun. Kejadian ini boleh saya katakan kejadian yang paling menakutkan yang pernah saya alami semasa saya masih lagi duduk dengan nenek saya. Waktu itu cuti sekolah pertengahan tahun, cuti selepas peperiksaan percubaan PMR. Memandangkan esoknya hari cuti, mak saya seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai seorang guru di sekolah berdekatan kampung, mengajak saya dan adik saya untuk menonton cerita yang disiarkan di televisyen pada waktu itu.
Duduk depan televisyen pada masa itu adalah mak, Mak Su, nenek, saya dan adik lelaki saya. Kami sedang menonton filem "Fight Back To School 1" lakonan Stephen Chow. Waktu itu memang berdekah kamim sekeluarga ketawa melayan aksi-aksi lucu pelakon itu. Hampir filem itu habis ditayang, tiba-tiba nenek yang tadi ketawa dan bersama kami berdiri dari kerusi malas yang didudukinya. Maklum ah nenek dah berumur, dia ada kerusi khas untuk dia sahaja. Tiada orang lain boleh gunakan.
Nenek yang tiba-tiba berdiri tadi menarik perhatian kami semua. Dia dengan muka serius memandang ke kiri, kanan, atas dan bawah. Tiba-tiba dia memberitahu kami, “Jangan buka pintu depan rumah...” dan terus dengan pantas berjalan menuju ke bilik tidurnya dan menghempap pintu bilik tidurnya. “Kenapa dengan nenek tu?” adik lelaki saya bertanya. “Dia lupa nak buat sesuatu lah tu...” Mak saya menjawab dengan matanya dibesarkan bila menyebut perkataan "sesuatu" itu.
Kami semua faham dan membisu sekejap. Saya pula masih lagi terfikir akan kata-kata nenek tadi. “Kenapa tak boleh buka pintu? Ada siapa depan rumah?” fikiran saya bertanya. Saya terus berdiri dan berjalan ke arah tingkap. Saya selak tabir di tingkap dan lihat ke depan rumah, semuanya tenang seperti biasa. Sunyi sepi sahaja. Tapi saya tidak endahkan sunyi sepi itu sebab jam di dinding sudah menunjukkan jam 11.30 malam. “Memanglah tak ada orang kat luar dah...” fikir saya.
Saya kemudiannya pergi ke tandas untuk buang air kecil dan duduk semula depan TV dan sambung menonton sisa filem yang ditayangkan. Kami semua kembali ketawa sambil menonton filem itu. Kemudian adik saya berkata, “Esok nak tengok pula bahagian kedua filem ini. Boleh tak Mum?” tanyanya kepada mak saya. “Ok, esok kita tengok lagi sama-sama ya...” balas mak saya. Saya cuma memandang dan tersenyum gembira sebab waktu cuti selalunyamak saya tidak marah kami tidur lewat untuk menonton rancangan di televisyen.
Sehabisnya tayangan filem di televisyen itu, kami semua melakukan hal sendiri. Adik saya berdiri dan menguap panjang. Mak saya mengangkat telefon bimbit Nokia jenis model Butterfly miliknya. Mak Su saya terbaring atas kerusi panjang. Saya pula duduk bersila di atas lantai. Tiba-tiba, dari luar kedengaran suara bayi menangis. Suara bayi menangis itu betul-betul dari beranda depan rumah kami. Maklumlah rumah kami rumah kampung moden. Ada dua tingkat, tingkat bawah dah disimen, tingkat atas masih kayu binaan lama.
“Eh, ada orang buang bayi ke?” tanya Mak Su saya. Mendengar kata-kata Mak Su saya, saya pun berdiri dan bergerak ke arah pintu. Waktu itu pesan nenek tadi dah hilang dari ingatan saya. Saya sampai ke depan pintu dan pegang tombol pintu. Baru hendak pusing tombol pintu dengan niat hendak jenguk di luar, tiba-tiba terdengar suara nenek berteriak dengan garang, “Woi, Jangan buka pintu!”. Saya terus terhenti, niat hati hendak lepaskan jari-jemari yang sedang memegang tombol pintu itu, tapi tidak boleh.
Bayangkan anda sedang memegang tombol pintu tapi bila hendak lepaskan, macam dah melekat pada tombol pintu itu. Tambahan pula, tangan saya seolah-olah bergerak dengan sendiri hendak memusingkan tombol pintu rumah. “Nek, tangan saya tak boleh tarik!” saya berteriak dan cemas. Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya cuba sedaya-upaya untuk membuka tangan saya daripada terus melekat pada tombol itu, dengan kaki kanan dah ada atas pintu, tangan kiri dah bantu tarik tangan kanan saya.
Tiba-tiba nenek memegang bahu saya. “Letak kaki atas lantai...” kata nenek. Saya pun melakukan apa yang nenek katakan. Namun saya masih tak berani untuk melepaskan tangan kiri saya daripada memegang tangan kanan saya. Dari belakang saya terdengar nenek membaca sesuatu dari mulutnya kemudian ditiupnya ke arah belakang leher saya. Dari bahu saya, nenek turun ke siku dan kemudiannya ke pergelangan tangan saya. “Lepaskan cucu saya, saya yang kamu mahukan!” teriak nenek.
Dengan itu, saya merasakan ada satu kuasa yang menolak saya ke belakang. Tercampak saya ke belakang! Dengan badan yang berpeluh, nafas tercungap-cungap Mak Su saya datang dan memeluk saya. “Abang tak ada apa-apa?” tanya Mak Su. “Saya ok, Aunty...” jawab saya lega. Semasa saya tercampak ke belakang, suara bayi menangis tadi berhenti. Semasa semua kejadian tadi berlaku, suara bayi menangis tiu masih ada. Selepas saya tercampak ke belakang, suara bayi menangis tadi hilang. Saya tengok nenek menaburkan garam di ruang bawah pintu. Dia duduk bersila dan berteriak “Hoi orang luar, nyah kau dari sini!”.
Selepas sahaja nenek saya habis bercakap, beranda rumah tampat mak saya meletak kereta kedengaran seperti roboh. Bunyi kayu patah, zink terbang kedengaran di luar. Adik saya menangis sambil memeluk mak saya. Saya waktu itu memerhatikan tingkap. Dari sebalik tabir tingkap yang nipis itu, saya boleh melihat beranda rumah dalam keadaan yang baik. Tiba-tiba keadaan jadi reda. Sunyi sekejap. “Abang, tolong nenek ambil botol minyak kosong kat dapur...” kata nenek yang sedang bersila di depan pintu masuk depan.
Saya memegang tangan Mak Su dan berdiri sambil menarik Mak Su berjalan ke arah dapur. Sampainya di dapur, terdengar pula suara bayi menangis tadi. Tapi kali ini di tingkat atas rumah. Tangisan bayi itu pula diikuti dengan tangisan seorang wanita. Tangisan yang begitu sayu dengan suara lembut dan ada bunyi teresak-esak kecil. Tangisan itu saya dengar macam betul-betul ada di telinga saya. “Abang, cepat!” kata nenek. Saya terus mengambil botol minyak tanah dalam almari dan berlari ke arah nenek. Tangan saya masih memegang Mak Su saya. Mak Su saya pula mukanya cemas dan takut.
Selepas menyerahkan botol kepada nenek, tangisan wanita itu semakin menjadi kuat. Saya dan Mak Su berlari ke arah Mak dan adik saya yang dari tadi diam membisu melihat kejadian itu. Kami duduk rapat-rapat serapat yang boleh. Tiba-tiba, terasa tingkat atas rumah yang dibina hanya menggunakan kayu bergegar. Suara tangisan bayi itu semakin kurang. Namun suara tangisan wanita pula semakin kuat kedengaran. Suaranya macam betul-betul ada di sebelah kami, jelas tangisannya.
Gegaran dalam rumah masih terasa. “Hoi, berhenti takutkan anak cucu aku! Kalau tak, aku
kurung kamu dalam botol!” kata nenek yang sudah berdiri sambil memegang botol. Nenek membuka pintu depan rumah, keluar dan tutup pintu. Saya melihat ke arah Mak saya, Mak saya yang perasan saya sedang melihatnya berkata, “Mari kita bersama-sama berdoa...” Kami beragama Katolik. Jadi kami semua berpegang tangan dan membaca doa yang Mak saya arahkan untuk kami bacakan.
Semasa nenek saya berada di luar, suara tangisan itu semakin kuat dan garau. Saya sambil membaca doa mendengar bunyian yang ada di luar. Entah berapa lama kemudian, nenek saya masuk ke dalam dengan botol minyak di tangan dan ibu jarinya dijadikan sebagai penutup. Nenek tutup pintu dan terus bergerak ke pintu biliknya tanpa menghiraukan kami. Muka nenek waktu itu nampak sangat marah. Kain sarung nenek dah jadi selendang, sanggul rambut panjangnya yang dijaga rapi dengan minyak kelapa buatan sendiri nampak terurai. Dia masuk ke bilik dan terus diam.
Saya tengok jam di dinding dah pukul 2.17 pagi. Saya tengok adik saya dah tidur tapi tangannya masih memegang kemas tangan saya dan mak saya. Mak saya baringkannya dan mengarahkan saya untuk tidur. “Abang, dahlah tu, pergilah tidur sekali dengan Adik tu...”, “Ok Mum, kejap lagi lah...” saya membalas. “Sekejap lagilah Kak, takut pulak saya nak tidur ni...” kata Mak Su saya. Saya terjaga sehingga matahari tinggi dan keadaan di luar terang benderang. Saya kemudiannya tertidur di atas sofa panjang di ruang tamu.
Saya tidak ada kesempatan hendak bertanya dengan Nenek saya apa yang sebenarnya terjadi masa itu sehinggalah dua tahun selepas perkara itu terjadi. Bila ditanya apa yang
nenek nampak, dengan tenang nenek berkata, “Pontianak!”
Sekian terima kasih!
Comentários