top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Pontianak Berdiri Di Sebelah!

Assalamualaikum DJ KC,


Nama saya Wani, berasal dari Singapura. Cerita yang ingin saya kongsikan tidaklah begitu seram, tetapi peristiwa ini tidak akan pernah saya lupakan. Peristiwa ini berlaku dua belas tahun yang lalu sewaktu musim cuti sekolah. Waktu itu umur saya baru sepuluh tahun. Salah seorang makcik saya (isteri kepada adik ibu saya) meminta izin dari ibu untuk membawa saya pergi ke kampungnya yang berada di Muar, Johor.


Makcik saya ingin mengajak saya supaya anak perempuannya yang juga adalah sepupu saya, Rita, tidak akan merasa keseorangan. Jarak umur kami hanya dua tahun dan saya yang lebih tua di antara keduanya. Kalau saya pergi, Rita tidak akan merasa bosan dan ada kawan untuk bermain bersama. Saya pun rapat dengan Rita dan ingin juga meluangkan masa bersamanya. Waktu itu pun saya rasa seronok dan tidak sabar untuk pergi ke kampung kerana itu kali pertama pengalaman saya ke kampung. Jadi kami berempat iaitu, makcik dan pakcik saya dan Rita, bercuti di situ selama tiga hari dua malam.

Perjalanan ke kampung makcik agak jauh dan dalam. Boleh katakan rumahnya berada di atas bukit. Perjalanan ke kampung tersebut banyak naik turun bukit. Tiba sahaja di kampung makcik saya, saya mula rasa gembira. Ada banyak pokok-pokok teduh, ayam berkeliaran, sungai, dan bermacam lagi. Dari luar, rumah kampung makcik saya nampak besar dan panjang. Keadaan di dalam rumah pula ruang tamunya besar, di belakang sekali ada dapur dan tempat makan. Tetapi keadaan sekeliling rumahnya semuanya hutan. Kalau ada rumah jiran pun, agak jauh.

Hari pertama, saya dan Rita bermain kejar-kejar antara satu dengan lain. Kadang-kadang kami tolong membersihkan perkarangan rumah yang penuh dengan daun-daun yang gugur dari pokok ataupun kejar ayam. Memang seronok sangat masa itu. Sebelah malamnya, kami tidur di ruang tamu. Keempat-empat kamim tidur sederet. Pada mulanya sukar untu saya tidur sebab terganggu dengan bunyi suara cicak dan anjing yang menyalak. Saya tidak tahu bunyi salakan anjing datang dari mana. Angin pula agak kencang pada malam itu, namun sebab kepenatan, akhirnya saya tertidur juga.

Malam kedua, kami pergi ke pasar malam di pekan. Selepas waktu Maghrib kami keluar dari kawasan perkampungan dan pulang semula sejurus selepas pukul 9.30 malam. Sampai di depan pintu rumah kampung, kami sekeluarga mengetuk pintu beberapa kali tetapi tidak ada orang yang tolong membukakan pintu. Sekian lama kami mengetuk dan tidak ada jawapan. Akhirnya, makcik saya menyuruh saya dan Rita pergi ke belakang rumah itu sebab kemungkinan orang-orang rumah berada di dapur belakang


"Saya rasa mereka tak dengar ketukan kami. Kamu berdua pergi belakang sekejap dan periksa. Mungkin mereka semua sedang makan malam...'' kata makcik saya. "Tu lah, pergi sekejap kita banyak makanan ni kena angkat, masuk dari belakang terus bukakan pintu depan ni. Jangan terlupa pulak kita dekat luar ni..." gurau pakcik saya.

Saya rasa terkejut. Kenapa kita yang kecil yang harus pergi ke belakang? Yang tualah sepatutnya yang pergi. Saya ingin mengatakan sesuatu untuk megelak tapi takut untuk bersuara. Biasalah masa umur semuda itu, saya memang pemalu. Rita setuju dan menarik tangan saya. Rita orangnya memang mengikut kata ibu bapanya. Sangat mendengar kata dan tidak berani menjawab balik.


Waktu kami berjalan ke belakang rumah kampung, makcik dan pakcik saya dari jauh sedang memerhatikan kami. Saya boleh nampak Rita sebenarnya pun takut tapi cuba beranikan diri. Saya dari awal lagi dah rasa takut. Macam mana tak takut kalau sebelah kiri hutan gelap-gelita? Jarak dari depan pintu ke belakang pintu tidak jauh sangat. Apabila kami sampai di belakang rumah pintu, pintu kayu terbuka tetapi pintu pagar sahaja yang terkunci. Keluarga makcik saya sedang menjamu selera.

"Ahhhhh... Dah sampai pun. Bukalah pintu. Maaf eh tangan kotor..." kata seorang pakcik di situ yang duduk berdekatan dengan pintu. Dia memberi kunci belakang pintu kepada Rita. Rita dengan lekas mengambil kunci itu dan membuka pintu belakang rumah. Pintu itu dikunci mengunakan mangga. Jadi untuk membuka pintu memang susah sedikit kerana mangga itu berada dari sebelah dalam. Saya yang sedang berdiri di belakang Rita, merasa amat takut. Saya sempat memandang ke belakang yang gelap-gelita. Kegelapan hutan di belakang itu membuat saya rasa seram sejuk. Sepantas kilat saya pandang ke hadapan dan menyocok-nyocok pinggang Rita.


"Cepatlah buka pintu! Cepatlah! Cepatlah!" kata saya sambil menyocok Rita. Rita yang sedang membuka pintu itu, tiba-tiba membuka pintu dengan perlahan-lahan. Saya rasa pelik tetapi tidak pedulikan dan mula memarahinya, "Lambatlah kau ni! Cepatlah sikit!" Saya masih fokus ke hadapan, tidak berani memandang ke arah lain. Rita tidak membalas. Dia masih membuka kunci pintu dengan perlahan. Saya nampak caranya membuka pintu, daripada saya tanya kenapa, saya memarahinya untuk cepat membuka pintu.


Bila pintu terbuka, mukanya masih memandang ke hadapan sambil menarik pintu itu, membuka seliparnya dan cepat-cepat masuk. Saya pun ikut sekali masuk dengan cepat lalu menutup pintu. Rita berlari masuk ke dalam rumah depan pintu dan buka pintu untuk ibu bapanya. Ibu bapanya pun masuk. Saya tak terfikir pasal kejadian tadi dan terus siap-siap untuk bersihkan diri kerana hendak tunaikan solat Isyak. Selalunya saya dan Rita akan solat bersebelahan, tetapi kali ini tidak. Selepas kami solat, baru saja saya ingin bangun, Rita memegang tangan saya untuk mengajak berbisik. Saya pun tanya, "Apa dia?"


Dia kata dengan berbisik, "Kau tahu kan kenapa tadi aku bukaa pintu dengan perlahan?" Saya pun menggelengkan kepala dan bertanya kenapa. Rita tidak puas hati dan memarahi saya pula, "Kau tak nampak ke?!" Saya dengan keadaan terpinga-pinga bertanya, "Nampak apa?" Rita berbisik lagi, "Tadi dekat sebelah kita ada pontianak berdiri betul-betul dekat sebelah aku sambil tengok aku..." Saya terkejut gila, "Kau biar betul ni?" Rita berbisik lagi, "Sumpah Lillahita'ala! Rambut dia hitam, panjang menutup muka. Bajunya panjang putih. Aku nampak lah! Sebab itu aku buka pintu dengan perlahan. Aku takut dan macam terpaku tadi. Takkan aku nak tegur dekat situ juga, kan nanti apa-apa terjadi?"

Saya hanya mengangguk kepala dan menyuruhnya lupakan. "Besok sambung cerita eh?" saya kata kepada Rita. Saya pun sebenarnya takut, lagi-lagi si Rita berkongsi cerita pada malam itu juga. Saya pun takut kalau asyik terfikir nanti malam itu saya termimpikan hantu. Sebelum kami tidur, kami sempat bermain permainan papan, kongsi cerita kelakar untuk lupakan apa yang telah terjadi. Mujur tidak ada apa-apa yang pelik berlaku pada malam itu dan saya pun tidur dengan tidak bermimpi yang buruk.


Keesokan paginya, Rita masih menceritakan tentang peristiwa semalam.nya Saya cuba ingat semula dan dalam pemikiran saya, saya seolah-olah boleh teringat bahawa benda itu berada di sebelah kanan kami. Cuma ketakutan saya membuat saya fokus ke hadapan dan tidak memandang ke arah kanan. Dia pun ada berkata yang pontianak semalam itu berada berdekatan kami sewaktu kami tidur di ruang tamu. Dia sempat menunjuk ke arah sebelah tempat tidur kami. Saya cuba sedapkan diri dan berkata, "Aku rasa kau mimpi lah..." Padahal saya percaya kerana makcik saya ada pernah mengongsi cerita mengatakan yang Rita kadang-kadang boleh nampak benda-benda ghaib seperti ini, cuma saya tidak mahu terfikir-fikirkan sangat. Nasib waktu itu kita dah nak balik ke Singapura.


Alhamdullilah, tidak apa-apa yang berlaku selepas kejadian itu. Saya rasa bersyukur kerana tidak memandang kanan pada malam kejadian itu. Saya rasa jikalau saya memandang ke arah kanan, saya tak tahu apa yang akan terjadi kepada saya dengan keadaan takut waktu itu. Sekitar lapan tahun lepas, makcik saya memberitahu saya yang penduduk rumah kampung itu sudah pindah ke rumah lain kerana mereka kata keadaan kampung itu semakin 'keras'. Makcik saya kata dia sebenarnya baru ingin mengajak saya ke sana lagi tetapi apakan daya, mereka sudah berpindah. Nasib baik juga dah berpindah.


Itu sahaja kisah saya, maaf kalau kisah ini tidak menyeramkan. Terima kasih kerana mengetengahkan kisah saya di blog Malam Seram...

255 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page