Assalamualaikum KC, Nama saya Shazwan. Saya ingin menceritakan pengalaman yang berlaku sekitar tujuh tahun lalu bersama teman wanita saya ketika itu yang kini sudah pun menjadi isteri saya. Pengalaman seram yang kami alami ini berlaku di taman yang terletak bersebelahan dengan pusat pertukaran bas lama di kawasan Woodlands. Bagi mereka yang berada di luar Singapura, pusat pertukaran bas ini antara yang terakhir yang akan anda nampak sekiranya anda ingin meninggalkan Singapura untuk ke Johor Bahru melalui pusat kastam di Woodlands.
Kawasan ini memang terkenal dengan pusat makanan dan penjualan barang-barangan yang murah dan berpatutan. Memang tempat ini sentiasa dipenuhi dengan mereka yang berulang-alik ke Johor. Namun tidak pula taman yang terletak di seberang kawasan ini. Agak sunyi dan tidak ramai yang menggunakannya mungkin atas sebab kurang prasarana seperti tempat meletak kereta mahupun kios menjual minuman ringan.
Apabila tiba waktu malam, jangan cakaplah, ada beberapa kawasan yang memang agak gelap kerana lampu tidak dihidupkan atau lampunya malap. Rasanya pernah juga diceritakan beberapa kisah tentang taman ini oleh beberapa orang pendengar / penonton Malam Seram sebelum ini, di antaranya ada yang pernah diganggu dengan kehadiran Kakak Cantik, ataupun yang pernah ternampak "Si Dia" sedang terbang dan sosok tubuhnya putih seperti itik serati.
Pada malam itu sekitar jam 10 malam, kami berdua sedang berjalan pulang dari bersenam di sebuah pusat gym berdekatan. Kami melalui taman tersebut untuk dan kemudian kami beristirehat di sebuah pondok lalu kami duduk berbual selama setengah jam. Tidak lama kemudian teman wanita saya terhidu wangian, namun dia tidak menegur, cuma membuat isyarat seperti sedang menghidu sesuatu dengan kuat sambil mengangkat keningnya pada saya.
Nasib baik saya seolah-olah dapat tangkap isyarat yang diberi kerana saya juga ada terbau juga. Beliau pun mengajak saya pulang dan saya ikut bersetuju, lalu kami pun bergerak dari tempat berkenaan. Semasa kami berjalan menuju ke lampu trafik isyarat, teman wanita saya tiba-tiba menggenggam tangan saya dengan kuat dan menutup matanya selepas dia terpandang ke arah kiri saya. Kami terus berjalan lebih pantas. Saya pada mulanya tidak nampak apa-apa tapi di masa yang sama di bahagian kiri saya boleh rasakan bulu roma saya meremang.
Semasa kami berjalan dan dia mula tenang (tenang dalam ertikata, mengurangkan erat genggaman tangannya), saya pun bertanya kepadanya apa yang berlaku. Dia memberitahu yang bila kami sedang menuju ke arah lampu trafik isyarat dan bila dia terpandang ke arah kiri saya, betul-betul di sebelah saya dia ternampak bentuk tubuh manusia yang berbalut (Pochong) dan benda itu pandang ke arahnya sambil tersenyum, mukanya hodoh sangat!
Namun kisah itu tidak berakhir di situ. Selepas kami menuju ke arah tempat menaiki teksi berdekatan, tiba-tiba dia genggam tangan saya lagi dengan sekuat-kuatnya dan kali ini dia tidak berselindung, terus memberitahu saya, "Awak! Benda itu ikut kita kat belakang!" Mujur ada teksi yang sedang tiba, kami pun menahan teksi dan terus masuk ke dalam sambil membaca surah-surah suci yang kami tahu. Nasib baik tidak ada benda yang tidak baik berlaku selepas itu atau benda itu ikut kami pulang pada malam itu.
Sekian! Selamat Malam Seram!
Comments