Assalamualaikum KC,
Nama saya Puan Habibah. Saya ingin menceritakan kisah benar yang dialami oleh saya, semasa saya berumur sembilan tahun iaitu pada tahun 1972. Pada saat itu saya tinggal di Kampung Parit Shafee, Parit Jawa, Muar, Johor Bahru bersama arwah ibu dan ayah saya. Ketika waktu sekitar dalam jam 6:45 petang menghampiri waktu Maghrib, saya terdengar bunyi seperti gigi bergesel di luar rumah dengan sangat kuat.
Saya bertanya kepada arwah ayah saya, "Pak? Bunyi apa itu Pak?" Arwah Ayah menjawab, "Entahlah, tutup tingkap tu cepat, dah nak Maghrib ni..." Saya menghampiri tingkap tersebut. Sebelum saya menutup tingkap di rumah saya itu, saya sempat melihat sesuatu kelibat putih yang berada di hadapan rumah.
Tiba-tiba tingkap tersebut tertutup dengan sendirinya dengan sangat kuat! Sudah tentu saya rasa terkejut dan terperanjat kerana tidak menjangkakan perkara yang terjadi. Berderau darah saya apabila saya cuba menjenguk di celah-celah rumah papan yang saya diami ketika itu, saya ternampak sosok Pocong sedang terapung dan ia terus menghilang sambil mengeluarkan bunyi seperti gigi bergesel di hadapan rumah.
Pada mulanya saya fikir saya seorang sahaja yang ternampak sosok Pocong tersebut. Rupanya jiran saya juga ternampak dan melarikan diri ke rumah jiran sebelah sambil meminta tolong. Anaknya pula ditinggalkan di dalam rumah bersendirian. Pada keesokan harinya Arwah Ayah saya memberitahu bahawa Pocong tersebut berlegar-legar pada waktu senja itu adalah kerana ade seseorang yang meninggal dunia di kampung kami mungkin ikatan di atas kepalanya tidak dibuka.
Pada malam itu juga tukang penggali kubur menggali semula kubur tersebut untuk membuka ikatan di kepalanya. Itulah cerita saya KC. Maaf sekiranya tidak seram tapi inilah pengalaman saya yang masih saya ingat sehingga ke hari ini...
Sekian, terima kasih...
Comments