Assalamualaikum KC,
Nama saya Amir Shafiq. Saya nak menceritakan sebuah kisah seram dan aneh yang terjadi pada saya pada beberapa tahun yang lepas. Ketika itu saya masih dalam lingkungan usia remaja. Saya menetap di sebuah rumah dua tingkat di Selangor. Pada waktu itu waktu senja, saya berjalan kaki untuk menuju ke sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah.
Sedang saya berjalan-jalan, saya melalui sebuah rumah usang yang telah ditinggalkan selama sepuluh tahun atas sebab pergaduhan sebuah keluarga yang berakhir dengan tragedi kematian. Pada mulanya, saya tidak berasa apa-apa. Tetapi, selepas beberapa langkah berjalan, saya terdengar seseorang memanggil nama saya dari dalam rumah tersebut. Pada waktu itu, saya tidak tahu kenapa hati saya tergerak untuk datang lebih dekat dengan halaman rumah tersebut.
Saya hanya meninjau dari luar untuk melihat gerangan siapakah yang telah memanggil saya sebentar tadi. Alangkah terperanjatnya, apabila saya menoleh ke dalam bahagian rumah tersebut, saya ternampak ada kelibat memakai pakaian serba putih seperti kain kafan, menjenguk saya dari arah dapur. Saya tak dapat berganjak dari tempat tersebut. Saya cuba mengumpul kekuatan dan terus pulang ke rumah. Saya membatalkan hajat untuk pergi ke kedai.
Pada malam itu, apabila mahu melelapkan mata, tiba-tiba saya terdengar seperti ada bunyi ketukan di tingkap rumah saya. Bilik saya terletak di tingkat dua. Saya pun rasa teramat takut, lalu saya menutup muka saya menggunakan selimut. Selepas sepuluh minit di dalam selimut, saya dapat merasakan selimut saya seperti ditarik dari bawah. Saya rasa macam nak pengsan lalu saya tutup mata serapat-rapatnya.
Tak lama kemudian, saya terdengar bunyi tandas saya dibuka secara perlahan. Saya cuba membuka mata saya untuk melihat siapa yang cuba membuka pintu tandas bilik saya. Ya Allahc, saya nampak kelibat seperti pocong sedang merenung tepat ke mata saya. Saya istighfar banyak-banyak, baca ayat Kursi dan akhirnya berjaya melelapkan mata.
Pada keesokan harinya, saya menceritakan perkara tersebut kepada ibu saya. Hairan pula beliau tidak merasakan apa-apa pada malam kejadian tersebut. Setahun selepas kejadian itu, kami sekeluarga berpindah rumah dan tinggal di sebuah kawasan yang jauh dari kawasan rumah lama saya. Syukur saya tidak diganggu lagi sehinggalah kami sekeluarga berpindah.
Sekian, terima kasih...
コメント