Assalamualaikum KC,
Panggil saya Z saja. Saya ada sebuah pengalaman yang saya hendak kongsikan. Ini terjadi kepada saya dan teman sepasukan saya, semasa kami menjalani perkhidmatan negara di salah sebuah akademi di mana pada lima bulan pertama, kami menjalani Kursus Asas sebelum dikerah ke unit / bahagian yang tertentu.
Kami sering diingatkan oleh instruktor kami agar pergi ke tandas berteman sewaktu waktu tidur. Kami semua tidak dibenarkan untuk pergi seorang diri. Di perkarangan akademi tersebut ada enam buah "company" dan tempat tinggal rekrut. Salah satu dari "company" ini memang terdapat banyak cerita dan bangunannya dikatakan agak keras. Nasib saya "agak baik", kerana tinggal di "company" tersebut dan sering diganggu. Tetapi, ada satu pengalaman yang seram sekali dan tidak dapat saya lupakan.
Pada satu malam, dalam pukul 1:30 pagi, saya terjaga dari tidur sebab saya sakit perut dan hendak buang air besar. Saya mengejutkan teman saya untuk temani saya pergi ke tandas, tetapi dia jenis yang tidur mati. Susah betul saya kejutkan. Akhirnya dia terbangun dan temani saya untuk ke tandas. Sambil kami berjalan ke tandas, kami nampak yang lampu tandas ternyala. Kami sangkakan ada orang di dalam kerana lampu tandas jenis yang dihidupkan dengan sendiri disebabkan fungsi mengesan pergerakan manusia.
Kami berdua pun masuk ke dalam tandas tetapi dalam tandas tidak ada orang langsung! Mungkin orang itu tadi dah masuk buang air kecil dan terus keluar agaknya. Kami berdua tidak berfikir banyak. Dalam tandas ada lima buah kubikel. Saya berada di dalam kubikel kedua dan kawan saya berada di kubikel yang terakhir. Maklumlah, tak nak rapat sangat apabila membuat transaksi besar.
Tiba-tiba saya terdengar ada orang masuk di kubikel nombor tiga, betul-betul disebelah saya. Saya boleh nampak bayang-bayang di lantai yang ada orang masok dan kuncikan pintu sambil duduk di atas jamban. Saya pon lalu bertanya pada orang sebelah, "Eh bro, you go toilet alone ah? Where's your buddy? Don't get us into trouble ah!" Tapi dia tak jawab, senyap saja. Kawan saya pon lalu bertanya juga, tapi tetap senyap juga.
Selepas kami berdua habis buang air besar, kami pun memandang antara satu sama lain dan membuat isyarat pertanyaan kenapa yang di dalam itu senyap saja? Kami mengetuk pintu kubikel itu, tetap tidak dijawab. Kawan saya pun mula tunduk untuk melihat dari bawah kalau betul ada orang ke tidak. Setelah melihat, dia pandang saya dan memberi isyarat bahawa tidak ada orang di dalam. Saya pun berkata, mungkin dia sedang menyangkung di atas jamban agaknya.
Selepas itu, saya cuba untuk membuka pintu kubikel itu dari luar. Kerana pintu tandas itu boleh dibuka dari luar dengan menggunakan duit syiling ataupun kuku. Pintu itu memang terkunci kerana isyarat pada pintu yang berwarna merah, menandakan ia telah dikunci dari dalam oleh seseorang yang telah memasuki kubikel tersebut. Saya cuba untuk membuka pintu itu dari luar kerana takut orang yang berada di dalam mungkin tertidur, nanti susah pula kami semua didenda.
Selepas berjaya membuka pintu yang terkunci itu dari luar, saya memberi isyarat kepada kawan saya bahawa saya akan menolak pintu itu untuk dibuka penuh. Saya menolak pintu itu dengan perlahan-lahan. Sambil saya menolak pintu itu, tiba-tiba terasa seperti ada orang yang menolak pintu itu balik untuk ditutup. Saya tolak lagi kuat, tapi kali itu macam betul-betul susah untuk membukanya. Saya pun lepaskan pintu itu dan berhenti menolak. Depan mata kami berdua, pintu kubikel itu tutup dengan sendirinya secara perlahan-lahan!
Selepas ditutup, pintu itu dikunci semula, seolah-olah ada orang yang mengunci dari dalam. Saya terfikir mungkin yang di dalam kubikel itu mahu mempersendakan kami berdua. Saya pun panjat dari kubikel sebelah untuk melihat ke dalam kubikel tersebut. Alangkah terperanjatnya saya, tidak ada orang di dalam! Saya toleh ke arah kawan saya, saya sedar sudah tidak ada orang. Kawan saya dah cabut tinggalkan saya seorang diri di dalam tandas itu. Saya dengan pantas lari keluar dari tandas dan masuk balik ke bilik saya, keluarkan buku Yassin dan letak di sebelah bantal saya lalu selubung diri dengan selimut dan paksa diri untuk tidur. Itu merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini. Ada lagi banyak cerita dan pengalaman yang saya alami. Sesiapa yang sedang atau sudah menjalani kursus dan menetap di bangunan tersebut tentu akan tahu dan pernah diganggu.
Sekian terima kasih dan selamat tengah malam...
Comments