Assalamualaikum KC,
Waktu itu sudah agak lama, sekitar dalam tahun 2011. Umur saya waktu itu baru masuk 13 tahun. Sahabat ibu saya telah menghadiahkannya penginapan percuma di salah sebuah unit chalet di kawasan Changi yang berdekatan dengan Hospital Lama Changi selama tiga hari dua malam. Sahabat ibu menghadiahkannya kerana tahu yang ibu punya ramai anak dan rasakan kami lebih sesuai untuk menginap dan lebih berbaloi berbanding dengannya yang tidak punya ramai anak. Chalet itu adalah rumah teres dua tingkat. Di kawasan tersebut ada dalam lima atau enam unit chalet dalam separuh bulatan dan di tengah ada taman permainan. Kini kawasan itu telah pun diperbaiki dan kelihatan lebih cantik dari dulu.
Hari pertama, memang saya sekeluarga rasa seronok dan tidak sabar kerana itu pertama kali kami menyewa chalet yang sebesar dua tingkat. Ibu saya menjemput saudara-mara kami yang terdekat sebab terdapat banyak bilik kosong di chalet tersebut. Jadi ibu saya memang kalau ada lebih bilik, beliau suka meriahkan lagi dengan menjemput orang-orang terdekat. Tangga untuk ke tingkat dua direka bentuk berpilin atau dalam bahasa Inggerisnya "spiral". Apabila naik atau turun tangga, pasti akan nampak Hospital Lama Changi betul-betul di hadapan pada waktu siang. Nasib pada waktu malam memang tidak nampak langsung, sebab berdekatan situ tidak ada tiang lampu. Ada bagus juga lah...
Pada hari pertama dan pada sebelah petangnya, sudah dua kali pintu tandas di tingkat dua, terkunci sendiri. Kami tertanya-tanya satu sama lain kalau ada yang kunci dari dalam sebelum keluar tapi tidak ada satu pun yang mengaku. Tetapi siapa yang hendak buat kerja menyusahkan orang lain seperti itu? Nasib ada kunci tandas yang kita boleh buka pintu tandas itu.
Pada malam tersebut, pakcik saya bercadang untuk solat jemaah beramai-ramai di ruang tamu. Pakcik saya ingin melakukan jemaah untuk kebaikan kami dan dia juga merasa tidak sedap hati lagi-lagi waktu petang pintu tandas sering dikunci sendiri. Jadi pada waktu Maghrib, kami pun mula berjemaah. Pintu hadapan merupakan pintu lungsur yang bercermin. Kami menutup langsir dan bersolat di sebelahan pintu hadapan tersebut sebab berdekatan situ ada ruang besar. Senang untuk melakukan jemaah beramai. Sebelum pakcik saya ingin mengalunkan iqamah sejurus sebelum solat jemaah dimulakan, tiba-tiba kami semua terdengar bunyi tapak kaki seperti orang sedang berlari dengan laju di tingkat dua. Kami tidak hiraukan dan terus memulakan solat.
Sedang kami berjemaah, masih kedengaran lagi bunyi tapak kaki seperti orang sedang berlari. Saya memang tidak fikir apa-apa tentang makhluk atau benda-benda yang pelik. Sebab mungkin chalet sebelah dihuni oleh penginap lain yang mungkin bermain kejar-kejar. Kenapa saya fikir begitu kerana pada sebelah petangnya memang kami nampak penginap di unit sebelah bermain permainan belon yang diisi air dan mungkin mereka punya aktiviti susulan pada sebelah malamnya. Bunyinya masih jelas dan tidak henti-henti dan kami yang ingin solat pun jadinya tidak khusyuk.
Seusai kami solat, kami teruskan dengan berzikir. Daripada bunyi orang berlari bertukar bunyi seperti ada orang sedang membongkar barang-barang kami. Pakcik saya berzikir lebih kuat, dan bunyi barang-barang terbongkar itu pun semakin kuat dan semakin kuat. Saya memandang kakak-kakak saya dan ibu saya dengan mengangkat kening seperti isyarat, "Perasan tak bunyi atas seperti makin kuat?'" Sekuat mana bunyi bongkaran itu, kami tetap meneruskan membaca dengan kuat. Yang pelik, apabila bacaan zikir kami berhenti, bunyi bongkaran kuat itu pun terhenti.
Bunyinya tidak berhenti di situ saja. Sebelum mengakhiri bacaan wirid kami, kami membaca doa. Sedang pakcik saya membaca doa, daripada bunyi orang membongkar barang kami, bertukar pulak ke bunyi seperti orang melompat-lompat dengan kuat di tangga berpilin. Bunyinya serentak dan kuat, membuat kami semua yang sedang menghadap hadapan sambil membaca doa untuk menoleh terus ke sebelah kiri kami yang adanya tangga tersebut. Yang ini bunyinya jelas bukan orang sebelah tapi di dalam chalet kami!
Bunyinya bukan seperti orang sedang berlari turun. tetapi bunyinya lebih kepada orang meloncat satu persatu langkah. Bunyinya seperti biasa apabila bacaan semakin kuat, bunyinya pun semakin kuat. Abang saya yang duduk dekat dengan celahan langsir itu menyelak sedikit untuk mengintai ke luar. Dia terdiam lalu menoleh ke arah ibu saya di belakang dengan senyuman kecil. Apabila kami semua bersalaman dan melipat sejadah, saya pergi ke abang saya dan bertanya, "Kau nampak apa?" Dia kata semua orang di chalet sebelah kami sedang barbeku di luar sambil bersembang. Dia membuka pintu hadapan dan saya pun nampak mereka semua sedang berborak-borak sambil barbeku. Jadi boleh katakan bunyi kuat-kuat itu, bukanlah perlakuan mereka. Kami pun semak barang-barang kami seperti beg pakaian dan sebagainya. Semuanya rapi, tidak terbongkar.
Pada malam kedua, kami semua kecoh apabila pintu tandas tingkat dua sekali lagi terkunci. Keluarga saya masing-masing memanggil satu sama lain. Mana tahu saya, adik saya, atau sepupu saya ada di dalam, terpengsan ke apa, kita tidak tahu. Kali ini pakcik saya susah hendak buka pintu tandas tersebut, entah kenapa. Apabila pintu itu berjaya dibuka, pakcik saya pun berkata, "Hah, nasib baik! Sekarang jangan ada sesiapa pun biar pintu ni tertutup lagi. Nanti terkunci pula, susah nanti kena cari kunci lagi. Biar pintu ni terbuka saja...''
Saya, adik saya, dan sepupu saya turun tangga ke tingkat satu sambil tertanya-tanya sesama sendiri siapa yang kunci pintu tandas tersebut. Sedang kami tertanya sesama sendiri sambil berdiri di ruang tamu, kami bertiga terus terpandang ke arah tandas di tingkat satu yang pintunya terbuka dan biliknya gelap. Kami bertiga terdengar seperti ada orang menepuk tangan tiga kali. Bunyinya jelas sampai ada sedikit bergema di dalam tandas tersebut. Adik saya yang sedang duduk di bahu sofa terus terdiri. Kami bertiga dengan lekas terus berlari menaik tangga untuk bersama yang lain.
Itu sahaja kisah saya. Alhamdullilah, tidak ada perkara serius berlaku selepas itu. Maaf jika kisah ini tidak seram tetapi dengan kedengaran bunyi saja memang menyeramkan bagi kami...
Terima kasih!
Comments