Salam buat semua,
Kisah yang aku nak kongsikan kali ini berlaku kira-kira 13 tahun dulu ketika aku belajar di sebuah institut pengajian tinggi. Ini kali pertama aku jejakkan kaki ke hostel setelah sekian lama tinggal dengan mak ayah sampai habis SPM. Bila dah pertama kali duduk berdikari, semua benda kena buat sendiri seperti membasuh dan gosok baju dan mengemas bilik. Biasanya di rumah mak yang buatkan. Blok asrama yang aku duduk ketika itu berbentuk segi empat. Ada Wing Utara, Wing Barat, Wing Timur dan Wing Selatan. Bilik aku berada di tingkat dua Wing Timur, bilik nombor 6.
Aku suka bilik itu sebab bila bangun pagi dan buka tingkap, ternampak gunung berkabus tak jauh di sana. Gunung yang cukup popular di Malaysia dengan kisah lagendanya. Tidak jauh dari bilik aku, adalah bilik nombor 4 yang sering menjadi perbualan hangat penghuni blok ketika itu. Sebab apa? Sebab bilik nombor 4 ini sahaja yang tak ada penghuni, pendek kata, dikosongkan! Secara strategik, pihak pengurusan hostel kemudian meletakkan tanda “surau” di atas pintunya. Yang peliknya, ia tak pernah langsung digunakan sebab masjid tak jauh dari kolej.
Macam-macam spekulasi tentang bilik tersebut dibawa dari satu mulut ke mulut. Aku jenis yang senang tidur. Lepas Isyak saja mesti aku tidur, dan selepas tengah malam mulalah terjaga. Hampir setiap hari macam itu, dah jadi macam rutin. Bila tengah malam terjaga, aku biasanya akan belajar dan ulangkaji pelajaran, basuh ataupun menggosok baju. Pada tahun itu, pihak kolej mengharamkan seterika sendiri dibawa ke hostel. Hanya boleh gunakan seterika yang disediakan oleh pihak kolej sahaja. Setiap blok asrama setiap tingkat memang ada bilik pantri khas untuk gosok baju dan masak air panas. Tapi masalahnya budak-budak blok aku ni jenis malas nak ke pantri. Jadi, adalah yang gatal tangan ambil seterika dengan papan alas dan bawa ke depan bilik masing-masing.
Di depan setiap bilik ada suis elektrik, jadi aku pun merantau mencari seterika dan rupa-rupanya salah satu ada di depan bilik nombor 4 itu. Malas aku nak cari yang lain, aku guna saja seterika itu. Sedang aku menggosok baju kemeja, tiba-tiba aku terdengar pintu bilik nombor 4 diketuk dari dalam. Kuat dan jelas. Mencarut kuat aku ketika itu. Tapi aku ni jenis separuh berani. Separuh lagi kalau ada benda yang muncul memang aku pecut terus! Hahahahaha. Aku tak endahkan dan fikir, gosok baju lebih penting jadi aku teruskan menggosok.
Bam! Bam! Sekali lagi pintu itu diketuk dari dalam. Masa ni aku dah mula cuak. Jantung memang berdetak dengan laju. Aku pandang bawah pintu, dan ternampak seperti ada cahaya lampu. Masa itu aku terfikir, mungkin ada orang di dalam agaknya. Entah macamana aku boleh pula melutut nak meneka apa yang berada di dalam dengan melihat dari bawah pintu itu. Mengucap panjang aku bila aku ternampak ada mata sedang memandang aku juga. Selepas itu juga ada darah terpercik keluar dari bawah pintu itu, mengalir keluar dengan banyak. Aku dah tak boleh tunggu lagi. Aku capai semua baju aku yang tak siap gosok lagi. Seterika pun aku tak tutup suisnya. Terus berlari masuk bilik. Humban baju aku atas kerusi dan lompat naik atas katil, berselubung bawah selimut.
Esoknya aku demam. Nak bangun pergi klinik pun aku tak larat. Aku ceritakan apa yang berlaku dengan rakan sebilik aku saja. Seminggu berlalu, aku terus jadi budak paling popular di blok itu. Cepat betul cerita tersebar. Kemudian, mulalah keluar pelbagai cerita dan pengalaman dari budak blok itu yang terdengar macam-macam bunyi. Dari bilik nombor 4 setiap tingkat yang berbeza. Kalau pandang ke arah blok dari luar pada waktu malam, memang boleh nampak bilik nombor 4 di tingkat 1, 2, 3 dan 4 tidak berlampu dalam satu baris dari atas ke bawah. Tapi, entah kenapa pada satu malam, kesemua bilik itu berlampu dan bercahaya.
Aku baru balik dari bilik kawan aku di blok sebelah ketika itu. Bila aku pandang ke arah blok, aku sangkakan bilik itu sedang digunakan. Tapi, bila aku lalu depan bilik itu nak ke bilik aku, aku tengok ke arah bawah pintu, tak ada cahaya lampu pun! Gelap saja Baru aku nak menapak masuk ke dalam bilik, satu jeritan yang sungguh nyaring macam perempuan menjerit kedengaran dari dalam bilik nombor 4 itu. Sambil itu, pintu bilik tersebut diketuk-ketuk dari dalam. Aku ingatkan aku seorang saja yang dengar, ramai penghuni bilik lain keluar tengok apa yang terjadi. Termasuklah rakan sebilik aku. Masing-masing pandang ke arah bilik nombor 4 itu.
Budak bilik nombor 3 awal-awal lagi berlari keluar menjauhi bilik tersebut sebab mereka antara yang paling dekat. Yang lebih memeranjatkan bilik nombor 4 di tingkat 1, 3 dan 4 pun berlaku benda yang sama juga. Ada jeritan dari dalam dan pintu diketuk-ketuk dengan kuat. Tak lama selepas itu, warden asrama datang bersama-sama seorang ustaz dan beberapa anak buahnya. Warden meminta kami semua berkumpul di dataran bawah di tengah-tengah blok. Masa ini kami dapat mendengar macam-macam bunyi. Bunyi menjerit di tingkat 3, bunyi mengerang di tingkat 2, bunyi orang berlari di tingkat 1.
Kedengaran suara Ustaz membaca Ayat Kursi dengan kuat di tingkat 2. Bunyi-bunyi itu pula beralih sekejap di arah sana, sekejap di arah sini. Kitab suci Al-Qur'an yang berada dalam genggaman tangan ketika itu dah tak termampu nak dibaca sebab takut sangat. Lama juga pertarungan antara makhluk itu berlaku. Kira-kira jam 3 pagi barulah semuanya berjaya dibersihkan. Setelah beberapa hari kejadian, barulah kami dapat tahu bahawa ada benda yang menghuni bilik nombor 4 itu. Setiap aras ada penghuninya. Penghuninya tak suka diganggu.
Pelajar pula suka buat bising, terutama sekali pada waktu malam. Ada perjanjian sebenarnya yang dah dibuat antara tuan tanah kolej tersebut dengan makhluk asal tempat itu, sebab itu bilik itu dikosongkan. Ada pelajar yang main permainan "Spirit of the Coin" dalam bilik nombor 4 di tingkat 4 rupanya. Sebab itu, makhluk itu mengamuk. Selepas kejadian itu, pelbagai siri seram bilik nombor 4 berlaku di kolej itu. Kalau bukan terjadi di blok aku, pasti berlaku di blok lain. Kolej itu ada 6 blok asrama kesemuanya. Semuanya ada 4 aras. Semua aras bilik nombor 4 dikosongkan. Itu perjanjian antara tuan tanah dengan "puteri". Siapa "puteri" itu? Sampai sekarang ianya masih menjadi misteri...
Terima kasih dan Selamat Malam Seram!
Macam pernah baca cerita ni di facebook group Kelab Cerita Hantu Malaysia.. Apa2 pun cerita ni terbaeekk, serammm..