top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Peristiwa Jalan Bukit Tujuh

Assalamualaikum KC,


Saya Che Muhd Raihan seorang peminat setia Malam Seram yang berasal dari Gua Musang, Kelantan. Saya ada satu cerita tentang pengalaman kawan saya, merupakan seorang pemandu teksi yang melalui kawasan Jalan Bukit Tujuh yang terletak di sempadan Kelantan dan Pahang. Ceritanya begini.


Pada satu malam kawan saya baru selesai menghantar penumpangnya ke Pahang. Semasa dalam perjalanan hendak pulang dari Pahang ke Gua Musang di Kelantan, dia telah melalui Jalan Bukit Tujuh. Kawasan Bukit Tujuh ini memang banyak cerita-cerita seram yang pernah diceritakan oleh pengguna jalan tersebut. Kalau yang dari Kuala Lumpur hendak pulang ke Kelantan mesti akan melalui Jalan Bukit Tujuh ini.


Berbalik pada cerita kawan saya. Semasa dia menuju ke Jalan Bukit Tujuh, dia ternampak seorang lelaki tua sedang mengayuh basikal di tepi jalan. Apabila dia ternampak orang tua sedang mengayuh basikal itu, dia berasa kasihan dengan pakcik tersebut dan ingin menolong menghantarnya pulang ke rumah. Bayangkan jalan yang gelap dan tiada tiang lampu jalan untuk memancarkan cahaya bagi pengguna jalan. Di sebelah kiri dan kanan pula merupakan hutan. Perjalanan hanya bertemankan cahaya dari lampu kereta.


Kawan saya berhenti di tepi pakcik itu dan bertanya ke mana arah tujunya. Pakcik itu pun menjawab, "Pakcik nak balik ke rumah di depan sana..." Kawan saya pun menjemput pakcik itu naik kereta dan pakcik itu pun setuju. Basikalnya ditinggalkan di tepi jalan. Dalam perjalanan pulang itu kawan saya ajak berborak dan bertanya pakcik itu dari mana dan hendak ke mana dan pakcik itu menjawab yang beliau dari rumah kawannya dan hendak pulang ke rumahnya.


Pakcik itu bertanya balik kepada kawan saya dan kawan saya menjawab yang dia baru saja lepas menghantar penumpang dan ingin menuju pulang ke rumah. Mereka berdua berborak-borak kosong kerana ingin hilangkan rasa bosan. Tiba-tiba kawan saya bertanya kepada pakcik itu, "Pakcik... Pakcik tak takut ke lalu jalan ini seorang diri? Dahlah gelap, lampu suluh pun tak ada..." Pakcik itu menjawab, "Pakcik dah terbiasa..."


Kawan saya bertanya lagi, "Pakcik dulu kat jalan ni pernah ada satu kes kemalangan penunggang basikal maut akibat dilanggar oleh lori dari arah belakang dan kepalanya tercabut..." Pakcik itu menjawab, "Ha ah dulu ada, pakciklah orang yang dilanggar tu..." Kawan saya membalas, "Ye ke Pakcik? Tak percayalah saya..." Pakcik itu hanya tersenyum sambil mencabut kepalanya dan letak di atas papan pemuka kereta dan berkata, "Macam ni ke nak?"


Kawan saya membalas dengan selamba kerana tidak perasan, "Ha ah ye betul Pakcik macam tu lah!" sambil pakcik itu mengangkat kepalanya dan cantumkan semula ke badannya. Pakcik itu hanya tersenyum dan mereka berdiam diri (waktu ini kawan saya tak perasan lagi yang pakcik itu bukan manusia). Sampai di satu tempat, pakcik itu menyuruh kawan saya berhenti dan tinggalkannya di tepi jalan. Kawan saya pun berhenti dan turunkan pakcik itu dan kawan saya berlalu pergi.


Setelah itu, kawan saya menghubungi teman-teman kami yang lain dan ajak lepak kerana dia ada satu cerita menarik yang hendak dikongsikan. Sampai di kedai makan dia pun duduk dan menceritakan apa yang terjadi. Kawan saya yang seorang lagi bertanya macamana wajah pakcik itu dan kawan saya menceritakan apa yang dia ingat menerusi pengalaman duduk dalam kereta bersama pakcik itu.


Seorang lagi teman terus mengeluarkan sekeping gambar dan tunjukkan kepada kawan saya yang tumpangkan pakcik itu. Kawan saya yang tumpangkan pakcik tadi berkata, "Haa betullah pakcik ini dah meninggal rupanya..." Teman yang menunjukkan gambar padanya pun bertanya, "Engkau tumpang siapa tadi?" dan kawan saya baru perasan yang dia tumpangkan pada awalnya bukanlah manusia. Selepas kejadian itu kawan saya terus demam selama seminggu.


Sekian...


P.S. Untuk pengetahuan semua, Jalan Bukit Tujuh sekarang ini sudah tidak boleh dilalui lagi dah ada lebuhraya yang baru siap dibina di tepi Bukit Tujuh...

3,955 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page