top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Pengalaman Di Sekolah Menengah (Bahagian Pertama)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...


Nama saya Fikry dan kini berumur dua puluh tahun. Di sini saya ngin berkongsi kisah seram semasa saya masih lagi bersekolah di sekolah menengah, kira-kira dua tahun sebelum menduduki peperiksaan SPM. Sebelum itu, saya ingin beritahu yang kisah yang saya alami ini berlaku di dua tempat yang berbeza. Terpulang kepada semua untuk percaya atau pun tidak. Kalau tidak percaya, anggap saja sebagai hiburan semata-mata.


Pengalaman pertama yang saya alami ketika berumur tiga belas tahun. Baru habis UPSR. Mula-mula ayah yang menghantar saya ke sebuah sekolah tahfiz. Saya hanya ikutkan sahaja, maklum seronok juga sekolah jauh dari rumah. Sekolah ini terletak di negeri Kelantan. Saya rasa tidak perlu disebut lebih terperinci di mana kawasannya. Kisah ini berkenaan dengan asrama di sekolah tersebut.


Asrama sekolah tahfiz ini bukan macam asrama yang lain, iaitu mempunyai kemudahan dan prasarana yang lengkap. Sekolah tahfiz yang ayah saya masukkan ini memang boleh dikatakan daif sangat serta serba kekurangan dari segi kemudahan dan kelengkapan pembelajaran untuk para pelajar. Bangunan sekolah kami hanya sebuah saja tetapi bertingkat, lebih tepat lagi tiga tingkat tingginya, termasuk bilik asrama yang berada di tingkat paling atas.


Untuk pengetahuan semua, bangunan sekolah tahfiz ini memang sudah agak lama didirikan. Saya pun kurang pasti berapa tahun lamanya. Yang pastinya, memang kisah seram di asrama ini banyak juga yang dialami, lantas diceritakan oleh pelajar senior dari masa ke semasa. Antara kisah yang diceritakan berkenaan dengan gangguan-gangguan yang terdapat di beberapa sudut di asrama.


Yang pertama, berkenaan dengan tangga blok asrama di sebelah kiri bangunan. Blok asrama walaupun sebuah tetapi memang besar. Asrama ini ada dua anak tangga untuk pelajar turun dan naik. Pelajar asrama sering akan menggunakan tangga sebelah kanan, yang dianggap laluan utama untuk naik ke asrama. Tangga di sebelah kiri tidak ramai yang gunakan. Tangga sebelah kiri ini memang banyak cerita seram yang dialami.


Seorang pelajar bernama Nik, selalu pulang ke asrama selepas jam 10 malam. Padahal pelajar senior sudah berpesan, jangan pulang selepas jam 10 malam dan jangan jalan di tangga sebelah kiri itu selepas jam 12 malam. Si Nik memang jenis degil dan tak makan saman. Dia tetap keluar macam biasa. Pada satu malam dia balik selepas jam 10 malam. Memang tangga sebelah kanan telah dikunci oleh pegawai warden. Kebetulan tangga sebelah kiri tidak dikunci.


Nik tidak ada pilihan lain dan terpaksa naik ke bilik melalui tangga sebelah kiri. Sampai di tingkat dua, dia terasa macam ada sesuatu mengikutnya dari belakang. Tapi dia tidak hiraukan dan buat tidak tahu saja. Tiba-tiba dia terdengar bunyi tangisan sesuatu. Bukan tangisan wanita tetapi lebih kepada kanak-kanak kecil. Nik memang dah mula rasa takut. Dia lari naik tangga cepat-cepat, namun malang baginya.


Hampir sampai di tingkat paling atas, dia ternampak ada bungkusan kecil berwarna putih ti atas sebuah tong sampah bersebelahan dengan tangga. Rupanya bungkusan itu merupakan seorang bayi yang mukanya sangat hodoh dengan mata merah. Bayi misteri itu daripada menangis, terus ketawa bila ternampak Nik. Apa lagi, Nik pun terus menjerit dan rebah di situ. Keesokannya Nik dijumpai bukan di tepi tangga di mana dia rebah. Pelajar-pelajar lain terjumpanya terbaring di bawah tangga di tingkat bawah. Yang seramnya, di sebelah tubuh Nik ada kain putih kecil!


(bersambung...)



2,210 views1 comment

Recent Posts

See All

1 Comment

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating

wau seram nye


Like
bottom of page