(Kisah bersambung dari bahagian kedua semalam...)
Gangguan juga turut berlaku di bangunan sekolah asrama saya. Seorang pelajar senior pernah memberitahu yang tandas di tingkat bawah memang keras. Kalau dah pelajar senior sendiri yang cakap, memang ada sesuatu di tandas itu. Ustaz pernah juga beberapa kali menghalau benda itu tetapi ia tetap degil dan terus tinggal di situ. Antara gangguan yang pernah berlaku, ada seorang pelajar dulu suka cuci baju pada waktu malam. Pelajar senior dah berpesan jangan cuci baju waktu malam. Lebih-lebih lagi di tandas itu.
Tandas itu mempunyai mesin basuh baju. Di tandas tingkat atas memang tidak ada. Pelajar ini degil dan tetap pergi juga. Sampai satu masa, sedang dia mencuci baju, tiba-tiba lampu tandas itu menjadi malap. Pelajar tersebut memang tidak terkejut pun sebab dia ingat lampu rosak. Dalam lat beberapa saat je, matanya mula kabur dan dia ternampak ada titisan menitik ke atas besen yang mengandungi bajunya.
Pada mulanya dia sangkakan air, tapi bila dipandang betul-betul titisan itu, Astaghfirullahal'azim, rupanya darah yang menitis. Hairan juga macamana boleh ada darah di situ. Sejurus dia tahu ada titisan darah, bau hapak mula menyelubung dan dia terasa seolah ada bayangan dari atas yang menutupi tubuhnya. Bila dipandang ke atas, Masya Allah, pelajar itu ternampak pontianak dengan muka hodoh dan taring yang tajam panjang! Taring itu pula ada darah yang menitis. Pelajar tersebut terkejut dan terus pengsan. Keesokan harinya, baru pelajar senior terjumpanya terlentang tidak sedarkan diri.
Pengalaman lain pula terjadi kepada warden bangunan sekolah. Bukan pelajar saja yang terkena gangguan makhluk halus, warden pun tidak terkecuali. Malahan lagi teruk dari pelajar. Pengalaman ini diceritakan oleh mantan warden pertama dan disampaikan melalui pelajar senior. Katanya di bilik pejabat warden ada penunggu. Menurutnya, ada satu lagi bilik di penghujung pejabat itu merupakan laluan hantu pocong. Warden selalu terkena kacau.
Memang mantan warden ini bukan jenis yang penakut. Dia sentiasa berpegang pada ajaran dari kitab suci Al-Qur'an. Imannya memang kuat dan bekerja di situ lebih dari lima belas tahun di bangunan sekolah asrama saya. Dia berhenti dan bersara pada tahun berikutnya saya memasuki sekolah asrama ini. Pada mulanya saya memang tidak percaya sehinggalah sampai kepada pengalaman dari warden berikutnya yang bernama Ustaz Najmuddin.
Ustaz ini aku suka sebab dia memang tak begitu garang dan kami membawa telefon bimbit ke sana sini pun dia tidak marah. Semasa belajar dulu, peraturan membawa telefon bimbit belum lagi diperketatkan. Jadi pelajar boleh membawa tetapi kena pandai sorok-sorok juga terutama dari mudir dan Ustaz Hakimi yang paling garang masa itu. Masuk saja sekolah itu memang gerun melihat ustaz ini. Mukanya memang sama macam singa. Hahaha...
Ustaz Najmuddin memang jenis tidak bercakap banyak. Namun saya percaya kewujudan hantu bila dia sendiri yang ceritakan pada saya dan teman-teman yang lain. Memang kami rapat dengan ustaz ini. Hampir setiap hari jugalah kami lepak di biliknya kalau tidak ada kelas. Sampai satu masa, dia buka cerita tentang bilik itu. Itupun sebab salah seorang kawan saya yang mula. Dia cerita apa entah sampai ustaz pun berkongsi pengalamannya. Sudahlah tempat yang dia menceritakan dan kami berada ketika itu memang tempat kejadian benda itu berlaku. Disebabkan semua teman sibuk khusyuk hendak mendengar, saya pun turut sekaki.
(Bersambung...)
留言