Assalamualaikum KC,
Nama saya Qystyna tapi lebih mesra dipanggil Mek. Saya menetap di Cameron Highlands, Pahang. Sejak sebelum saya dilahirkan lagi ibu abah saya sudahpun ada sebuah kedai makan masakan panas di Johor. Kedai mak ayah saya sederet dengan kedai kepunyaan orang Thai di penghujung unit.
Boleh dikatakan masakan ibu saya sedap dan tidak boleh dinafikan kerana sedapnya masakan ibu, ramai yang kunjungi kedainya. Ibu saya tukang masak dan tidak mempunyai tukang masak yang lain, hanya ibu saya yang masak masakan panas seperti Tom Yam dan sebagainya di kedainya. Ketika saya kecil, saya banyak mendengar perbualan ibu abah saya mengenai gangguan-gangguan yang terjadi sama ada di kedai kami mahupun di rumah.
Semasa kecil, saya suka tidur di depan televisyen. Peti televisyen kami terletak berdekatan dengan laluan ke dapur. Jadi setiap malam ibu abah saya tidur di bilik mereka, dan saya akan tonton setiap malam dan akan terlelap di depan televisyen. Saya kalau tidur, sekiranya rumah saya terbakar pun saya tak akan sedar.
Pada satu malam saya tertidur di luar sebab penat bekerja dengan ibu abah di kedai. Semenjak saya bersekolah rendah dah mula bekerja dengan ibu dan abah dan dah diajar untuk berniaga dari kecil. Malam itu saya tidur seperti biasa tanpa menyedarkan diri seorang diri di depan televisyen.
Keesokan harinya ibu dan abah saya bertanya pada saya, semasa saya tidur adakah saya terdengar apa-apa bunyi, dan saya mengatakan tidak sebab saya tidur tak ingat dunia. Saya pun bertanya kenapa? Ibu dan abah saya berkata semalam mereka terdengar seperti ada benda terjatuh kuat di atas meja makan di dapur kami, seakan-akan kipas yang berada di atas siling meja makan di dapur terjatuh ke atasnya.
Meja makan kami jenis kaca yang tebal, tapi yang peliknya pada malam itu ibu dan abah saya keluar jenguk ke dapur tiada apa yang terjadi pun, semuanya okay. Ibu dan abah saya yang tidur di dalam bilik boleh terdengar, saya tidur di depan televisyen tidak mendengar apa-apa pun! Walhal tersangat dekat tempat saya tidur dengan tempat yang ibu abah saya terdengar pada malam itu.
Selepas itu bermulalah terjadi gangguan seperti ada bau bangkai di dalam rumah kami, ibu saya sampai panjat atas atap hendak tengok mana tahu ada bangkai tikus ke atau kucing yang mati di atas atap tapi langsung tidak ada apa-apa. Lama-kelamaan ibu saya merasakan seperti ada sesuatu di dalam perutnya. Macam ada sebiji telur. Apabila saya pegang dan rasakan dengan jari jemari saya, memang macam sebiji telur. Pergi hospital periksa itu dan ini, saya pun dah terlupa apa diagnosis doktor.
Ibu saya mula sakit teruk, kadang-kadang sesak nafas dan bermacam lagi kesakitan yang beliau alami. Yang hanya dalam ingatan ibu saya hanya ingat kematian saja. Saya masih ingat bagaimana jatuhnya airmata seorang ibu yang menahan sakitnya akibat perbuatan orang yang dengki! Siapa lagi yang dengki, kalau bukan kedai jiran kami yang dari Thai tu! Kadang-kadang kedai kami ditutup sebab ibu tidak boleh memasak kerana dah terlalu sakit sangat.
Kami membawa Ibu berjumpa seorang ustaz, bernama Ustaz Zul di Segamat, Johor. Alhamdulillah ibu saya sekarang dah sihat dan kami tidak lagi buka kedai makan. Kalau ikutkan kisah saya ini panjang, itu bukan kali pertama dan bukan terakhir ibu saya merana angkara sifat dengki manusia. Memang lumrah membuka kedai makan semua ini memang akan ada yang dengki dengan kita.
Terima kasih dan Selamat Malam Seram!
Comentarios