Assalamu'alaikum,
Nama saya Kak Ros dari Woodlands Avenue 5 di Singapura. Saya nak berkongsi pengalaman meneman suami sewaktu dia dimasukkan ke salah sebuah hospital di Singapura tidak lama dahulu. Ini bukan kali pertama suami saya perlu dirawat di hospital. Tetapi pengalaman yang ini agak mengerikan. Pada hari itu, sekitar jam 7.30 malam, suami Kak Ros dipindahkan dari klinik ke wad berkenaan. Wad 6A, bilik 33, paling hujung sekali, jauh dari kawasan jururawat melakukan tugasan administrasi mereka.
Sampai saja di situ, perasaan semacam saja. Lampu bilik agak kelam. Hotel bajet lagi cantik Kak Ros rasa. Nampak macam bilik terbiar dan peralatan agak lama kalau dibandingkan dengan bilik-bilik di tingkat yang lain. Saya dapat buat perbandingan sebab suami saya sering keluar masuk hospital ini. Selesai hal-hal administrasi, masuk waktu Isyak. Niat hati nak solat Isyak tapi macam malas sekali.
Tiba jam 10.30 malam, saya kuatkan hati mengambil wuduk. Lagipun pukul 11 malam nanti suami Kak Ros akan ditolak ke bilik X-Ray. Dalam bilik itu lengkap dengan almari, peti ais dan katil sofa untuk penjaga pesakit. Jika hendak melakukan solat, kakak harus membelakangkan almari. Sebelah kiri kakak pula merupakan barisan tingkap sepanjang tembok.
Setelah siap memakai telekung, kakak pun berdiri menghadap kiblat dan lafaz niat fardhu Isyak. Angkat saja takbiratul ihram "Allahu Akbar", telinga Kak Ros terdengar almari di belakang kakak bergegar! Betul-betul bergegar seperti ada orang terperangkap di dalam! Kakak kuatkan hati dan teruskan juga solat. Baca perlahan-lahan setiap lafaz bacaan. Tiba-tiba macam deruan angin dan suara orang menangis. Mendayu-dayu dari belakang kakak melintas sebelah kiri dan kemudian senyap. Kakak tetapkan hati teruskan solat.
Selesai saja solat, kakak bertanya pada suami kalau ada terdengar apa-apa sebentar tadi. Dia tersenyum dan jawab "Ya!" Ya Allah! Pada mulanya niat hati nak tinggal saja dalam bilik waktu suami ke bilik X-Ray. Kakak batalkan niat itu dan ikut suami walaupun agak memenatkan juga nak ikut berjalan ke sana. Malam itu juga kakak minta untuk ditukarkan bilik. Kakak beritahu jururawat apa yang kakak alami. Katanya mungkin pesakit di bilik sebelah. Tak mungkin pesakit nak gegar dinding malam-malam gitu sampai almari bilik suami boleh bergegar! Jururawat itu membuka almari untuk melihat. Kalau ada apa-apa pun, boleh ke dia nampak? Katil sofa Kak Ros tolak ke sisi katil suami.
Besoknya kakak cuba intai sebelah. Ada bilik utiliti dan kemudian pantri jururawat. Ah! Mungkin suara jururawat agaknya malam tadi. Memang jadi rutin di hospital, bila tukar syif, jururawat pada syif baru akan datang perkenalkan diri. Setelah jururawat perkenalkan diri, dia pun memberitahu kakak tentang pertukaran bilik. Dia pun nak tahu kenapa. Jadi kakak beritahunya bahawa kakak terdengar suara-suara misteri pada malam sebelumnya. Kakak cakap mungkin dari bilik utiliti dan suara pekerja berbual. Hati kakak tersentak lagi bila jururawat itu berkata dalam bahasa Inggeris, "Tapi Puan kami tak bukak pintu bilik utiliti itu selepas pukul 9 malam!" Terdiam kakak!
Nasib baik petang hari kedua itu suami Kak Ros dapat dipindahkan ke wad bawah. Alhamdulillah... Begitulah pengalaman Kak Ros. Pengalaman pertama yang tak dapat dilupakan. Mungkin tak menakutkan pada yang lain tapi bagi kakak yang baru pertama kali mengalaminya, dah cukup mengerikan. Tak mahu kakak alaminya lagi. Selamat Malam Seram!
Yang benar,
Kak Ros dari Woodlands Ave 5
Comments