Salam sejahtera KC dan pembaca blog Malam Seram,
Nama saya Krishna, berbangsa India dari Seri Kembangan Selangor. Saya adalah peminat Malam Seram dan juga rancangan radio kendalian KC sejak sepuluh tahun dahulu sebab saya kerja pada syif malam sebelum ini.
Saya ingin kongsikan pengalaman saya semasa berekspedisi di Cameron Highlands bersama teman sekerja pada Februari 2019. Kami seramai lebih 30 orang menggunakan sebanyak 10 kereta tiba di Cameron Highlands dari ibukota KL.
Selepas "check-in" di hotel, saya rasa tidak begitu selesa dan tertidur. Saya tersedar dan mendapati saya keseorangan di bilik dan dua teman saya tiada di situ. Jam menunjukkan 7 malam, lampu bilik tidak menyala. Saya terus menyalakan lampu bilik dan menelefon teman saya. Mereka berkata sedang mandi di kolam renang di hotel. Cepat-cepat saya mandi, bersedia dan turun ke kolam renang. Saya kurang aktiviti air sebab ada asthma lagipun Cameron Highlands sejuk cuacanya.
Malam itu, kami semua membuat keputusan untuk makan malam di sebuah kedai "steamboat". Hujan renyai membuat kami lewat untuk sampai ke kedai itu. Sampai di kedai, meja pula penuh. Kami terpaksa tunggu giliran kami. Saya masih rasa tidak tenteram, masa itulah rasa macam nak pergi "membuang". Cari punya cari, tandas kedai itu ada di bahagian belakang di mana pelanggan kena keluar dari kedai, naik bukit kecil guna tangga-tangga kecil.
Saya tidak sempat beritahu teman-teman saya, dan saya pergi seorang diri. Waktu lebih kurang 11 malam. Sampai di tandas, saya tunaikan hajat dengan rasa penuh lega. Ketika keluar dari tandas, saya terkejut kerana ada seorang pakcik tua berdiri di depan pintu kubikel tandas di mana saya melepaskan hajat. Dia mula bertanya saya dari mana. Saya pun begitu lurus, cerita semua dari mana, adik-beradik berapa orang, tinggal di mana dan semua informasi. Kemudian pakcik itu pun cakap, dia nak minta izin untuk beredar sebab anak dia mungkin tercari ke mana pergi dirinya. Pakcik itu berjalan dan masuk ke dalam kawasan hutan belakang tandas tersebut dan menghilang.
Saya memang tidak fikir bukan-bukan. Tapi saya tak dapat nak rasa keenakan makan malam sebab masih keliru sampailah teman saya mengatakan tingkah-laku saya seperti tidak menentu malam itu. Saya mengarahkan semua balik hotel dan kurang bercakap. Dalam perjalanan balik ke hotel, saya terkejut apabila melihat seorang perempuan cantik duduk di sebelah saya dalam kereta. Masa itu saya beritahu teman saya yang memandu untuk terus ke hotel tanpa berhenti di mana-mana. Malang tak berbau, seorang lagi teman terpaksa membeli air minuman untuk bermalam dan terpaksa berhenti kereta di sebuah kedai 24 jam.
Saya marahkan teman saya yang memandu tadi. Sejurus sampai di parkir, saya enggan turun dari kereta. Tangan saya sebenarnya digenggam erat oleh perempuan yang duduk di sebelah saya. Saya dikatakan dirasuk dan mula bercakap dengan suara perempuan sambil mengilai. Nasib baik ada seorang teman kami yang masih menunggu kereta kami di lobi hotel. Dia kuat semangat dan memang kuat solat. Saya ditinggalkan seorang diri dalam kereta apabila kami tiba semula di hotel, di mana tiada seorang pun mampu masuk kereta itu. Sampai teman kami yang kuat semangat itu berjaya masuk dalam kereta, dikatakan saya memang dirasuk, lama juga perbualan "saya" yang dirasuk dengan teman saya itu. Saya tidak ingat apa yang dibicarakan.
Beberapa ketika, saya sedar. Terus dibawa ke bilik. Saya tertidur, tapi sebenarnya saya dikatakan tidak tidur, berjalan ke hulu ke hilir dan saya dikatakan berulang kali menyebut "saya panas". Tapi, kami di Cameron Highlands tempat yang sejuk dan kipas pun memang dihidupkan. Teman sebilik katakan saya memang berpeluh, pelik juga. Tiba-tiba ada orang ketuk pintu bilik kami, saya dikatakan memberitahu teman saya, "Jangan dibuka, itu bukan orang. Kau pergi tidur..." Memang betul, teman saya cuba periksa gunakan kanta di pintu. Memang tiada orang. Selepas itu, saya tertidur dengan lena.
Keesokan pagi, saya bangun dengan tenang tapi teman-teman lain semua dikatakan tidak dapat tidur. Mereka semua "nampak" lembaga di semua bilik tidur. Apa yang lebih mengerikan, ada sesetengah yang dihempap, loceng pintu dibunyikan, dan ada yang terasa sengal-sengal di badan.
Kami terpaksa berhentikan ekspedisi kami. Setelah makan tengahari kami beredar dari situ dan pulang ke rumah masing-masing. Mungkin betul atau tidak, yang dirasuk tidak dikacau pun. Tapi yang tidak dirasuk pula dikacau. Kemungkinan kami percaya, perempuan cantik di kereta itu mungkin "makhluk" yang baik sebab hotel itu ada gangguan lain.
Terima kasih dan selamat tengah malam...
Comments