Assalamualaikum KC,
Nama saya Kayrul, berasal dari Selangor, Malaysia. Saya ingin menceritakan kisah yang berlaku di tempat kediaman yang saya menetap sehingga kini. Sebelum itu, kisah ini berlaku pada tahun 1996 dan ia diceritakan oleh Ibu saya.
Pada tahun tersebut, berlaku sebuah kemalangan di hadapan kuarters saya melibatkan sebuah lori dan juga sebuah basikal. Mangsa yang mati adalah penunggang basikal, seorang budak perempuan iaitu anak kepada jiran saya yang menetap di blok kuarters yang lain. Kasihan kerana kejadian berlaku pada waktu pagi semasa budak itu mahu pergi ke sekolah dengan basikalnya. Mangsa juga meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan kepalanya berkecai sehingga ternampak otaknya.
Dipendekkan cerita, saya tidak pasti beberapa hari atau minggu selepas kemalangan ngeri tersebut, Ibu saya menceritakan kepada saya bahawa jiran saya yang boleh saya panggilnya sebagai "pakcik" yang juga menetap di blok yang lain pulang pada waktu malam. Lalu, ibu menceritakan yang pakcik itu ternampak ada seorang budak yang tidak jelas sosok tubuhnya kerana pada waktu itu gelap kerana sudah tengah malam menunggang basikal mengelilingi semua kuaters.
Jadi, pakcik itu berasa pelik, tidak mungkin ada budak akan bermain-main dengan basikal pada waktu tengah malam sebegini. Selepas itu, sesuatu yang mengejutkan berlaku. Selepas pakcik itu memerhatikan budak itu yang asyik bermain basikal untuk beberapa ketika, budak itu melakukan sesuatu perkara yang amat pelik atau mustahil. Pakcik itu menceritakan bahawa dia nampak budak itu terus naik ke atas tangki air dan bermain basikal di atas bumbung tangki tersebut!
Tangki itu berada di kolong blok. Jadi, pakcik itu berasa terkejut sebab takkan ada orang mahupun budak yang waras akan naik basikal dan bermain di atas tangki pada waktu malam pula. Jadi, selepas pakcik itu ternampak budak yang sedang main basikal atas tangki itu terus menjerit, "Woi!!!" Budak yang ada di atas tangki itu terus turun daripada tangki itu dan berlari lalu hilang macam itu saja!
Selepas kejadian tersebut kecoh semua kuaters bercerita pasal apa yang berlaku yang dialami oleh pakcik tersebut. Persoalannya, siapakah budak misteri yang bermain basikal pada waktu malam itu sehingga sanggup memanjat tangki air dan bermain basikal di atas bumbung tersebut? Adakah ia ada kaitan dengan kes kemalangan seorang budak yang berlaku di hadapan kuaters tempat tinggal saya?
Wallahu'alam. Sebagai tambahan cerita, apa yang saya dengar, ibu saya menceritakan bahawa arwah budak yang meninggal akibat kemalangan itu sewaktu hayatnya, memang sangat suka bermain dengan basikal.
Terima kasih dan selamat malam...
Comments