top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Padah Bermain "Spirit of the Coin"...

Selamat malam KC dan juga pembaca blog Malam Seram! Nama saya Yashwin dan saya ingin berkongsi kisah seram yang berlaku di sekolah saya. Saya berasal dari Johor Bahru, Johor dan saya rasa pengalaman ini tidaklah menyeramkan sangat, namun pada pandangan saya, amat menakutkan.


Kisah ini berlaku pada tahun 2013 di salah sebuah sekolah menengah yang tidak perlu saya kongsikan namanya kepada umum. Masa itu saya seorang pelajar di tingkatan 2. Ada sekumpulan pelajar perempuan yang sama kelas dengan saya telahpun merancang untuk bermain permainan “Spirit of the Coin”. Tanpa pengetahuan guru-guru, mereka telah merancang untuk bermain pada waktu rehat. Pada satu hari, salah seorang pelajar perempuan dalam kumpulan tersebut, namanya Qhairiah, telah membawa keperluan tertentu untuk bermain permainan itu. Mereka semua telah bersedia untuk bermain permainan itu di sekolah pada waktu rehat pada hari tersebut.


Pukul 10:10 pagi, bunyi loceng berbunyi dan waktu rehat telah tiba. Semua pelajar keluar dari kelas untuk berehat. Pada masa itu, sekumpulan pelajar perempuan tersebut beredar ke destinasi iaitu di belakang sekolah. Belakang sekolah saya ada padang dan di tepi padang itu terdapat tangga untuk naik ke bilik muzik. Mereka telahpun ke sana untuk bermain permainan tersebut.


Di dalam kumpulan itu, ada kira-kira lapan hingga sembilan orang pelajar perempuan yang telah bersetuju untuk bermain permainan tersebut. Bila mereka tiba di tepi tangga, Qhairiah keluarkan semua barang seperti kad yang telah diconteng dengan perkataan "Yes" dan "No" serta duit syiling 50 sen. Sebelum memulakan permainan, salah seorang pelajar perempuan daripada kumpulan tersebut, Jasmine, memberitahu yang dia tidak sedap hati akan permainan ini.


Salah seorang dari mereka berkata, “Ah… Tak ada apa-apalah, kau jangan fikir macam-macam...” Selepas itu, Jasmine bertenang dan mereka memulakan permainan. Semua pelajar perempuan meletakkan jari telunjuk di atas duit syiling dan mula bertanya soalan. Seseorang dari mereka, Ani, menanyakan soalan, “Adakah sesiapa bersama dengan kami?” Dia bertanya soalan itu sebanyak dua atau tiga kali. Duit syiling itu bergerak ke kad yang tertera perkataan “YA”. Selepas itu, mereka dapat merasakan ada sesuatu bersama mereka.


Mereka terus bermain selama sepuluh minit dengan menanyakan bermacam soalan. Loceng berbunyi dan mereka masih bermain permainan tersebut. Tiba–tiba, seorang makcik yang bertugas sebagai pembersih di sekolah, ternampak dan menyergah kumpulan pelajar perempuan itu yang sedang bermain permainan tersebut. Makcik itu marah dan menyuruh mereka beredar dari kawasan tersebut.


Setelah itu, mereka pergi ke kelas masing-masing. Pukul 10:45 pagi, mereka masuk ke dalam kelas. Kebetulannya cikgu berada dalam kelas sedang mengajar. Mereka ketuk pintu dan memberi salam. Cikgu menjawab salam dan menyuruh mereka masuk ke dalam kelas. Mereka telahpun duduk di tempat masing-masing dan cikgu meneruskan pengajarannya. Saya pula duduk di belakang kelas dengan teman saya yang berbangsa Cina. Selepas sepuluh minit, Qhairiah rasa tak sedap hati seperti ada sesuatu sedang melihatnya. Tiba-tiba, dia menangis dan kawan-kawan di sebelahnya mula bertanya apa masalahnya. Dia tidak bercakap apa-apa tetapi masih menangis.


Masa itu, saya perasan bukan sahaja Qhairiah tetapi Jasmine juga terkena gangguan. Pada masa yang sama, Qhairiah meraung sekuat-kuatnya seolah-olah dalam kesakitan. Guru yang berada dalam kelas tersebut pula mula panik dan suruh kawan-kawan Qhairiah untuk menenangkannya. Suasana dalam kelas saya memang menakutkan apabila dua atau tiga pelajar perempuan terkena gangguan histeria. Dengan segera, guru telahpun menyuruh pelajar perempuan lain untuk membawa mereka yang terkena gangguan ke bilik kaunseling.


Saat mereka membawa pelajar-pelajar yang terkena rasukan, mereka perlu berjalan melalui koridor yang panjang untuk turun tangga ke bilik kaunseling, kerana kelas saya paling hujung koridor. Kebetulan, jika lalu di koridor, sebelah kiri adalah beberapa buah kelas. Setiap kali mereka lalui satu kelas, beberapa pelajar perempuan di dalam setiap kelas tersebut mula menjerit dan terkena histeria.


Keadaan pada hari itu amat kecoh sangat sehingga pihak sekolah terpaksa memanggil seorang ustaz untukl memeriksa. Menurut ustaz, ada seseorang telahpun memanggil syaitan ke sekolah kami. Untuk pengetahuan semua, terdapat lebih kurang dua puluh orang pelajar perempuan terkena gangguan rasukan. Ada seorang pelajar lelaki India tingkatan 3 terkena rasukan sampaikan membuat tarian yang menakutkan.


Salah seorang rakan sekelas saya, seorang pelajar perempuan berbangsa India, terkena rasukan selepas dia ternampak sosok tubuh hitam yang tinggi dan kurus di belakangnya apabila berada di kawasan tepi kantin. Bila dia ternampak benda itu, dia terus pengsan dan dua orang cikgu serta beberapa pelajar perempuan cuba mengangkatnya tetapi tidak dapat kerana badannya punyalah berat. Salah seorang pelajar membawa ustaz yang sama dan ustaz telahpun membaca beberapa surah. Tiba-tiba budak itu bangun dan menyuruh ustaz berhenti membaca dengan nada suara yang menakutkan.


Uztaz membaca kuat sambil menitis air bacaan ke arahnya. Budak itu lantas pengsan dan ustaz suruh pelajar perempuan tersebut untuk membawa budak itu ke bilik kaunseling. Guru disiplin sekolah saya telahpun menyiasat kelas saya kerana kelas saya yang terkena dahulu. Selepas itu, pengetua sekolah memanggil sekumpulan pelajar perempuan tersebut untuk menyiasat dan akhirnya mereka mengaku akan kesalahan mereka bermain permainan "Spirit of the Coin".


Mereka dimarahi pengetua dan guru disiplin. Ustaz tersebut cuba sedaya-upaya untuk membantu pelajar perempuan yang terkena rasukan. Ustaz menyuruh pengetua sekolah memutarkan surah-surah tertentu pada setiap hari untuk menghilangkan gangguan tersebut. Perkara seram ini berlaku selama dua minggu dan sampai ke saat ini, saya masih akan teringat peristiwa hitam itu. Bak kata, jangan bermain dengan api. Itulah pengalaman saya.


Terima kasih dan selamat tengah malam...



295 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page