Assalammualaikum DJ KC dan pembaca blog Malam Seram,
Saya Shah, berasal dari Pontian, Johor. Saya nak ceritakan tentang satu kisah yang tidak dapat saya lupakan dan kesilapan yang pernah saya buat satu ketika dahulu kerana terlalu taksub dengan "Isim Kuda Kepang".
Saya dan dua orang kawan saya iaitu Syafiq dan Asyraf, telah memiliki isim ini setelah kami melibatkan diri dalam salah satu kumpulan kuda kepang di tempat kami. Jadi bila ada upacara tarian yang biasanya dianjurkan atas permintaan keluarga pengantin selepas majlis di waktu siangnya, kami akan sediakan peralatan seperti alat-alat muzik untuk memainkan lagu kuda kepang, pakaian, topeng dan beberapa barang lain sebelum persembahan bermula pada malam selepas majlis. Itu serba sedikit mukadimah.
Ceritanya begini. Waktu itu saya dan beberapa sahabat sekampung dalam lingkungan umur 16 hingga 17 tahun duduk berbual-bual sementara menunggu masuk waktu Maghrib. Sedang kami berbual, dua orang kawan saya menyatakan hasrat untuk memiliki isim kuda kepang. Saya tahu serba sedikit tentang persiapan untuk melakukan upacara pemujaan memanggil isim dan berdamping dengan kita. Jadi si Asyraf pun menawarkan sesuatu kepada dua orang kawan saya yang berhajat itu, iaitu untuk mengadakan upacara memuja isim pada malam tersebut di jembatan yang terletak di hujung kampung.
Si Asyraf berkata: "Malam ini kita buat upacara memuja, aku tahu cara-caranya, kalau korang betul-betul hendak, malam ni pukul 10 kita jumpa dekat jembatan di penghujung kampung sebab situ tidak ada orang lalu pada sebelah malam dan tak kan ada yang nampak dan tahu apa yang kita buat..." Mereka bersetuju. Biasalah kalau iman kita tidak kuat dan sifat ingin mencuba sudah menguasai diri, kita lupa yang kita ada pantang larang dalam agama.
Jadi Syafiq pun bertanya: "Siapa yang nak siapkan barang-barang untuk malam ni? Lagu?"
Saya membalas: "Tentang barang kau jangan risau, aku siapkan. Lagu kita guna radio saja sebab aku ada kaset yang boleh putar lagu tarian kuda kepang..."
Saya pun menawarkan diri untuk menyediakan peralatan untuk upacara tersebut seperti minyak kasturi, bunga cempaka, kemenyan dan beberapa barang lain yang saya tak boleh sebutkan. Selepas bersetuju, kami pun pulang dan dijangka akan berjumpa semula dekat jembatan di penghujung kampung pada sebelah malamnya.
Tepat jam 10 malam kami pun sampai di jambatan yang kami rasakan sesuai untuk melakukan upacara. Kami menaiki tiga buah motosikal. Saya membawa Asyraf. Kawan saya yang berhajat pada awalnya juga menunggang bersama dengan seorang kawan lagi. Syafiq pula menunggang seorang diri, jadi kesemuanya ada dalam lima orang. Tanpa kami sedari, rupanya malam itu adalah malam Jumaat. Sejujurnya kami bukanlah berani sangat. Tapi bila keinginan dan sikap berlagak sudah menguasai diri, hilang terus rasa takut.
Berbalik pada cerita, kami pun siapkan apa yang patut. Asyraf membakar kemenyan. Saya memagar jembatan dengan bunga cempaka dan Syafiq menyapukan minyak kasturi pada tapak tangan, dahi dan hidung kawan saya yang dua orang lagi. Maka upacara pun bermula.
Asyraf mengasapkan wajah kawan kami yang berdua itu dengan kemenyan. Setelah diasapkan, saya berkata:
"Apa jua yang kau dengar, apa jua yang kau rasa, jangan sesekali bangun dari tempat duduk. Jangan sesekali buka mata. Pejam saja. Nanti dia akan datang mendampingi kau..."
Setelah mereka diberitahu tentang syarat semasa upacara, Syafiq menempatkan seorang daripada mereka di satu penghujung jembatan dan lagi seorang di hujung yang lagi satu. Mereka duduk sambil memejam mata seperti yang diarahkan tadi. Saya mula memainkan lagu kuda kepang menggunakan alat radio yang saya bawa. Kami bertiga duduk di tengah-tengah jembatan menjaga upacara pada masa itu.
Malam itu sunyi, hanya bunyi cengkerik dan alunan muzik kuda kepang kedengaran pada masa itu. Di sebelah jembatan itu ada satu pokok besar yang jaraknya dalam 20 meter dari kami. Tiba-tiba, Asyraf berkata sambil berbisik kepada saya dan Syafiq:
"Aku dengar sesuatu lah dekat pokok besar tu, bunyi kuda..."
Saya pun menjawab: "Haaa dia dah datang lah tuu. Takpe kita tunggu lagi..."
Masa sudah hampir satu jam upacara berlangsung.. Saya pun bangun untuk menambah kemenyan.. Tiba2 sesuatu yang kami tak jangka berlaku...
Syafiq memanggil saya dengan nada suara berbisik:
"Shah... Shah... Kau tengok Asyraf ni.. Kenapa dengan dia ni?" tanya Syafiq dalam keadaan cemas.
Saya melihat Asyraf dalam keadaan duduk tapi matanya terpejam sambil melenggok-lenggokkan kepalanya mengikut lagu kuda kepang yang sedang bermain di radio..
Saya berkata kepada Syafiq : "Isim Asyraf dah masuk lah tu, takpe biar dia layan, nanti aku baikkan"
Saya memang tahu cara-cara untuk memulihkan seseorang yang sedang dalam kawalan isim ketika dalam persembahan. Saya belajar dari ketua kumpulan saya dalam kumpulan tarian kuda kepang yang kami sertai.
Berbalik pada situasi pada waktu itu, kawan saya yang lagi dua orang tadi sedang tenang duduk bersila di tempat yang kami letakkan mereka tadi.. Tapi si Asyraf dah mula berdiri dan menari mengikut lagu. Yang membuatkan saya dengan Syafiq pelik, Asyraf bukan menari tarian kuda kepang tetapi sedang menari tarian Jawa! Syafiq yang pada awalnya duduk berhampiran dengan Asyraf terus berlari dan menghampiri saya dan berkata:
"Kenapa Asyraf tak menari macam selalu? Ini lain macam daa nii.. Aku risau lah..."
Saya pun membalas: "Takpe, kita tengok dulu. Mungkin takde apa-apa..."
Semakin rancak lagu yang dimainkan di radio, semakin rancak tarian si Asyraf. Dalam setengah jam si Asyraf menari, tiba-tiba dia berhenti. Dengan mata yang terpejam tadi, dibuka seluas-luasnya sambil memandang saya dan Syafiq sambil tersenyum. Dia berjalan ke arah salah seorang kawan kami yang sedang duduk bersila. Sambil itu saya memberitahu mereka agar jangan buka mata ataupun bangun dari tempat duduk.
Mereka menganggukkan kepala. Si Asyraf mendekati salah seorang dari mereka tetapi yang peliknya, saya dan Syafiq dapat melihat perubahan memek muka Asyraf berubah dari senyum bertukar kepada bengis dan marah. Si Asyraf berundur dan mula bertukar arah ke arah di mana asap kemenyan sedang berkepul-kepul terbang ke udara. Dia mendekati asap tersebut dan nak tahu apa yang dia buat selepas itu? Dia makan bara kemenyan yang sedang membara itu! Setelah itu dia berpaling ke arah salah seorang kawan saya dan mendekati dengan perlahan. Apa yang terjadi selepas itu sangat membuat kami cemas dan pelik.
Setelah mendekati salah seorang dari kawan saya itu, Asyraf mula memegang kepala kawan saya dan terus memeluknya dari belakang. Dia angkat dan pusing-pusing beberapa kali. Dan terus campak kawan saya ke arah hadapan. Kawan saya mendesah kesakitan. Saya dan Syafiq terus pergi ke arah kawan saya yang dicampak itu. Kami dah mula rasa takut. Kawan saya yang lagi seorang turut terima perbuatan yang sama. Saya cuba untuk pulihkan Asyraf tetapi tidak berjaya, malahan saya ditolak sehingga jatuh.
Lalu saya berkata kepada Syafiq: "Ini dah lain ni, ini bukan apa yang kita inginkan. Dari tarian tadi dah mula rasa lain. Sekarang dia bertindak macam ni pulak. Telefon abang dia! Cepat!"
Abang Asyraf merupakan salah sorang ahli kumpulan kuda kepang yang kami sertai, tetapi dia ada pengetahuan dalam hal mistik dan perubatan. Tak lama kemudian dia bergegas datang. Abang Asyraf bertanya dengan keadaan marah tentang apa urusan kami datang ke situ dan saya ceritakan apa yang kami cuba lalukan. Abang Asyraf memarahi kami dan mengatakan:
"Korang tahu tak apa yang korang dah buat? Ini tempat dia, dan korang dah kacau tempat dia. Pokok besar tu, itu tempat dia. Tengok apa dah jadi..."
Lalu abang Asyraf membacakan sesuatu dan jari telunjuknya menunjuk ke arah Asyraf yang sedang berdiri tegak dengan wajah yang bengis. Yang peliknya, perkara yang memeranjatkan kami terjadi apabila pokok besar yang tadinya berada dalam jarak 20 meter tadi tiba-tiba berada betul-betul dekat sebelah jembatan dekat tempat kami melakukan upacara pemujaan itu tanpa kami sedari.
Terkejut kami tetapi syukur Alhamdulillah tak lama selepas itu Asyraf terbaring lemah. Kami mendapatkannya sambil saya menampar-nampar perlahan pipinya supaya dia membuka mata. Alhamdulillah Asyraf dah sedar. Kami diarah untuk kemaskan tempat itu dan beransur pulang.
Abangnya Asyraf berdiri di tepi rel jembatan sambil mengeluarkan sebatang rokok sambil menunggu kami membersihkan apa yang patut. Saya menghampirinya dan bertanya apa yang terjadi sebenarnya sambil saya tidak henti-henti meminta maaf atas apa yang terjadi.
"Kau dah kacau tempat dia sebab tu dia marah. Dia masuk dalam badan adik aku. Dia sakitkan sesiapa sahaja yang ada dekat dengan dia..." kata abangnya Asyraf sambil memandang ke arah aliran air di bawah jambatan.
Tiba-tiba dia memanggil kami dan bertanya soalan yang membuatkan kami bergegas meninggalkan tempat itu. "Woi korang, sini sekejap. Kau nampak tak apa yang aku nampak?" sambil memandang ke arah aliran air di bawah jambatan. Kami pun melihat bersama-sama. Alangkah terkejutnya apabila kami melihat satu makhluk berbungkus seperti jenazah yang dikafankan iaitu pocong, sedang baring dan bergerak mengikut aliran air di bawah jambatan. Apa lagi, kami berlari meninggalkan tempat itu dan terus pulang ke rumah masing-masing.
Keesokan harinya kami semua demam panas, mungkin sebab terkejut dengan apa yang kami lihat. Setelah kejadian itu, kami tidak lagi membuat perkara yang tidak berfaedah seperti itu. Kami serik sangat-sangat. Alhamdulillah, saya dan kawan-kawan lain sudahpun membuang isim yang kami simpan selama ini. Ada langkah-langkahnya yang tak perlu saya ceritakan. Bila teringat balik, nak ketawa pun ada, tapi cukuplah setakat itu.
Terima kasih kerana sudi berkongsi kisah saya. Wassalam dan Selamat Malam Seram!!!
Comments