Salam KC,
Saya Rizal Mohd, ingin berkongsikan cerita saya sewaktu saya tinggal di KL selama hampir sepuluh tahun. Kisah ini berlaku di Bukit Jelutong, Selangor. Bukit Jelutong terletak atas sedikit dari Shah Alam dan di Bukit Jelutong ini dulu pernah ada satu kes yang mana seorang wanita Mongolia bernama Altantuya telah dibom seluruh badannya di atas bukit. Memang terkenal tempat ini dengan kes-kes seram.
Jadi berbalik kepada kisah saya, ini berlaku sekitar enam atau tujuh tahun dahulu. Saya bersama dua lagi orang kawan saya baru sahaja habis menonton filem "Kum Kum" waktu hampir 1 pagi. Selepas menonton filem memang tugasan saya kena menghantar mereka balik ke rumah. Salah seorang teman saya tinggal di Puncak Perdana, jadi laluan ke rumahnya, kita harus jalan melalui Bukit Jelutong.
Waktu saya memandu dan sambil menghisap rokok, mulut saya gatal. Saya berkata kepada kawan saya yang sedang duduk seorang di belakang, “Eh Mar, nanti kau balik kan, bila kau tutup pintu rumah, kau akan nampak pocong kat belakang pintu...” Saya dan kawan yang sedang duduk di sebelah saya gelak. Sambil gelak, tiba-tiba kami terdengar suara seperti seekor itik sedang menjerit di sebelah kiri kereta!
Semua terdiam. Saya tengok kawan di sebelah dan memberi isyarat menandakan apa bunyi suara itu? Dia pun menjawab isyarat "Entah..." disusuli dengan tangan saya yang berada di luar tingkap kereta sambil memegang rokok, rasa ditepis seolah-olah ada tangan yang menepis sehinggakan rokok saya terjatuh. Saya pun buat bodoh sambil teruskan memandu. Sambil-sambil memandu, sambil melihat cermin di sebelah kanan.
Pada waktu malam memang kosong jalan itu, jadi apa yang kita boleh nampak dari cermin kecil tepi kereta cuma lampu-lampu jalan yang telah kami lepasi. Sambil-sambil tengok cermin, saya perasan yang cermin saya daripada nampak lampu jalan, tiba-tiba gelap selama beberapa saat! Selepas itu nampak lampu jalan semula, seolah-olah ada benda hitam di tepi kereta yang tutup pemandangan cermin kanan saya.
Kawan saya yang duduk di belakang terus mengesotkan bahu dan kepalanya di tengah-tengah kereta dan berbisik kepada saya, “Zal, benda itu ada kat belakang...”, terus meremang segala bulu roma saya. Saya tidak mahu rasa panik sebab masih lagi memandu. Saya tanya dia, “Hitam eh?” Dia menjawab, “Ah ah hitam...” Saya teringat pesanan pakcik saya jikalau benda itu berada di dalam kereta, baca surah 3 Qul, selepas itu hentak tangan kanan di mana-mana bahagian kereta. Saya pun buat. Alhamdulillah, benda itu pun hilang.
Semua masih panik dalam kereta, hanya mampu diam saja dalam perjalanan itu. Selepas itu di satu bahagian kami dah ternampak sebuah lori di depan kereta saya. Saya pun ikut saja lori itu, nak potong tak berani sebab di situ cuma ada dua lorong sahaja, satu pergi dan satu balik. Tiba-tiba sewaktu tiba di sebuah selekoh, saya terperasan lori itu seperti cuba mengelak sesuatu. Tidak pasti apa yang ia cuba elak, cuma nampak dari belakang lori itu seperti terhoyong-hayang sekejap.
Saya pun tengok lori itu berhenti selepas selekoh itu dan saya sempat memotongnya. Setelah memotong jalan, saya ternampak di sebelah jalan di sebelah kanan, ada sosok tubuh seorang wanita yang sedang berpakaian serba putih baju kurung tanpa berkepala sedang berdiri di tepi jalan. Saya pun istighfar dan memandu terus. Mujur ia tidak ikut kami pulang.
Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya!
Comments