Assalamualaikum,
Nama saya Khayla (bukan nama sebenar) dari Selangor. Terima kasih kerana ketengahkan emel yang saya kirimkan. Saya ingin menceritakan pengalaman saya sendiri.
Atuk saya asalnya dari negara jiran. Beliau datang ke Malaysia sebelum tanah Melayu merdeka. Ketika berumur hampir 100 tahun, Atuk sakit tenat. Dan pada ketika itulah saya mendapat tahu bahawa Atuk saya mempunyai pendamping ataupun kami panggil saka. Atuk makan banyak, kuat marah dan pembengis.
Selepas saka tersebut dibuang, Atuk saya terus meninggal. Pada malam pertama, tiada kejadian aneh berlaku, namun saya telah bermimpi arwah atuk datang pada saya dalam keadaan berkafan, hangus dan terbakar. Mukanya hitam dan berasap. Kain kafannya kotor, penuh lumpur dan tanah. Dalam mimpi saya, Atuk mahu memberikan sesuatu, namun saya tidak menghulurkan tangan untuk menyambut apa yang ingin diberikan. Mimpi yang sama juga berulang pada hari kedua dan ketiga.
Saya pelik. Saudara-mara yang lain ada yang bercerita bermimpi Atuk dalam keadaan yang suci, bersih dan tenang. Berbeza dengan mimpi saya. Namun saya rahsiakan mimpi saya dari semua termasuk ibu bapa saya.
Malam keempat selepas arwah Atuk meninggal dunia, dalam samar cahaya ketika hendak tidur, saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Apabila saya membuka mata, Atuk berada di hujung kaki saya. Tidak mengendahkan gangguan tersebut, saya tukar posisi saya dari telentang ke posisi mengiring. Apabila saya membuka mata, muka arwah Atuk yang hangus terbakar betul-betul berada di hadapan muka saya. Tidak tahan diganggu saya terus hidupkan lampu dan terus tidur seperti biasa dan masih bermimpi mimpi yang sama.
Sejak itulah saya mula ternampak Atuk yang telah meninggal dalam keadaan yang sama seperti dalam mimpi. Saya boleh nampak arwah di mana sahaja walaupun pada siang hari. Ketika saya sedang mandi, saya nampak arwah berdiri di sudut bilik air. Ketika saya duduk saya nampak arwah berdiri di sudut ruang tamu. Perkara ini berlanjutan sehinggalah pada hari ketujuh setelah pemergian arwah.
Pada hari ketujuh, apabila bangun pagi, tangan saya di sebelah kanan terasa seperti dibakar. Mula-mula rasa melecur cuma terasa di hujung jari, tetapi semakin naik di pergelangan tangan. Tangan saya rasa sakit melecur namun luaran tangan saya elok. Semakin saya biarkan, rasa sakit tersebut merebak sehingga keseluruhan lengan. Sakit yang amat sangat. Saya menangis kesakitan dan terpaksa menceritakan apa yang berlaku kepada keluarga saya.
Ayah terus membaca doa pada air kosong dan sapu pada tangan saya, tetapi langsung tidak rasa lega. Ayah bawa saya jumpa imam masjid, minta pertolongan beliau. Imam tersebut membalut lengan saya dengan tuala yang direndam dengan air yang telah dibacakan surah Yassin. Namun masih sakit. Akhirnya, ayah bawa saya ke rumah seorang ustaz pakar perubatan Islam untuk dirukyahkan.
Saya diazankan pada kedua-dua belah telinga. oleh Ustaz di sebelah kanan dan ayah di sebelah kiri. Pada ketika itu, rasa sakit pada lengan saya beransur kurang. Setelah selesai sesi rukyah, Ustaz berikan saya satu botol air besar untuk dicuci muka, disiramkan pada kaki dan disiramkan pada tangan yang sakit. Ustaz juga sempat berpesan, jika saya ternampak lagi arwah Atuk, sedekahkan surah Al-Fatihah supaya arwah lebih tenang. Sehingga sekarang saya tak tahu apa yang terjadi. Ustaz enggan menceritakan apa yang terjadi. Namun, kesan dari peristiwa yang saya alami, kadang-kadang saya masih mampu melihat makhluk halus.
Sekian, terima kasih...
Comments