top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Makhluk Merangkak Di Pusat Pengajian...



Assalammu'alaikum buat para peminat Malam Seram di Singapura ataupun di luar negara. Saya ucapkan salam sejahtera kepada KC dan semua. Saya ingin dikenali sebagai Eddy dan saya menetap di Johor Bahru selama sembilan belas tahun. Saya tinggal dengan keluarga dan merupakan anak ketiga dari empat orang beradik. Cerita yang hendak saya ceritakan ini tidaklah seseram mana tapi pengalaman ini boleh dikatakan penampakan pertama yang agak ngeri bagi saya.


Pengalaman saya ini berlaku sekitar lima tahun lepas, sewaktu semester pertama di salah sebuah institusi pengajian. Saya rasa semua orang tahu di cerita di sebalik institusi itu sekiranya saya menyebut namanya. Dalam institusi pengajian tersebut, ada dua atau tiga kolej yg boleh dikatakan keras. Pada waktu itu kami cuma pelajar menumpang sahaja untuk satu semester, kira-kira dalam jangkamasa lapan bulan Buat pengetahuan umum, bangunan kolej di institusi pengajian itu semuanya dikenali dengan nombor. Jadi kolej saya bernombor 15 dan asrama saya di tingkat tiga. Bilik saya pula terletak di hujung sekali dan berhadapan dengan pokok-pokok tinggi kalau tingkap dibuka.


Nak dijadikan cerita, sewaktu musim peperiksaan praktikal, saya dan seorang kawan saya, Farid, keluar ke gerai makan di luar institusi pengajian pada salah satu malam, kerana kafe di sana tak semuanya murah seperti di gerai-gerai atau kedai-kedai makan di luar. Saya kenalah berjimat bajet kerana masih bersekolah dan belum bekerja ketika itu. Kami makan di luar institusi pengajian, adalah gerai jalanan yang didirikan beberapa meter dari kawasan pagar gerbang B.


Selepas makan, kami harus pulang sebelum pukul 12 malam kerana selepas itu,

yang mengawal pagar bukan dari pihak sekuriti pusat pengajian tetapi pegawai polis yang telah ditugaskan untuk mengambil alih. Lagipun pada esoknya saya ada ujian praktikal. Sewaktu perjalanan pulang hati saya merasakan ada sesuatu perkara tidak baik yang akan berlaku. Saya beritahu Farid yang saya tidak sedap hati, namun kaki tetap juga teruskan perjalanan hingga terus ke asrama. Tiba-tiba untuk pertama kali dalam hidup, saya terlihat makhluk berlalu di depan mata saya sendiri!


Selepas melewati pagar ke asrama, beberapa meter kemudian ada perhentian bas dan di sebelahnya ada beberapa tangga terus ke asrama perempuan dan seterusnya ke asrama lelaki di belakangnya. Saya terlihat makhluk itu ada di bawah jaring longkang sedang merangkak keluar sewaktu saya melintas tangga terus ke asrama. Ia bergerak agak pantas! Saya sempat terlihat wajahnya hitam dan matanya merah, dan apa yang memeranjatkan saya lidahnya terjelir panjang. Ia menoleh melihat saya sambil mengerang dengan kuat sebelum beredar pergi dengan laju sekali.


Selepas saya ternampak makhluk itu, saya terus hilang semangat. Muka saya pucat lesi sampai Farid memapah saya balik ke asrama. Keesokan harinya, saya buat peperiksaan praktikal dengan keadaan yang kurang sihat. Sejak peristiwa itu, saya boleh merasakan kehadiran makhluk itu. Kadangkala saya ternampak imbasannya di tempat kerja tetapi dalam waktu yang singkat, ibarat ia bermain cak-cak dengan saya. Itu sahaja pengalaman saya, terpulang buat semua sama ada hendak percaya ataupun tidak.


Sekian, Assalammu'alaikum...

181 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page