Assalamu'alaikum KC dan pembaca blog Malam Seram!
Nama saya Goku dan saya ingin bercerita pengalaman seram semasa saya masih kecil. Untuk pengetahuan semua, pengalaman saya terjadi lebih 10 tahun yang lalu. Ini pengalaman keluarga yang amat menyeramkan untuk kami.
Sewaktu saya kecil, saya dan abang tidur dengan Ummi dan Abah kerana kami selalu diganggu bermacam makhluk di dalam rumah lama kami dahulu. Saya sebenarnya mempunyai beberapa kisah untuk dikongsi tapi untuk kali ini saya hanya menceritakan satu kejadian sahaja.
Pada malam kejadian itu, nenek saya berada di rumah kami kerana gilirannya untuk tidur di sini. Dia tidur dalam bilik saya dan abang. Malam itu saya belum tidur, tetapi Ummi, Abah dan abang saya sudah tidur pada masa itu. Entah kenapa tetapi tiba-tiba saya rasa macam kurang sedap, seolah-olah dapat rasakan kehadiran sesuatu dalam bilik kami.
Tak lama kemudian saya merasakan ada sesuatu yang menolak belakang tubuh saya. Memandangkan saya tidur di sebelah katil Ummi dan Abah di bahagian bawah dan beralaskan tilam tipis, saya pun pusing memandang bawah katil dan ternampak satu lembaga hitam berambut panjang dan tidak berpakaian. Badan benda itu sepenuhnya hitam. Lalu saya terpekik ketakutan dan terkejut sehingga Ummi terbangun. Pada masa yang sama, katil Ummi saya dihentakkan dari bawah dan katil seolah-olah bergegar.
Ummi saya terus memanggil saya untuk naik ke atas katil. Badan saya tiba-tiba menjadi panas dan kerana teriakan saya pada awalnya, seluruh anggota keluarga saya terbangun. Nenek saya yang telah masuk ke dalam bilik untuk melihat apa yang terjadi, membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an ke dalam air dan menyuruh saya minum air itu. Abah saya pula melaungkan azan di seluruh rumah untuk menghalau apa sahaja yang masih berkeliaran di dalam rumah kami. Mujur tidak ada apa-apa perkara yang berlaku terjadi lagi pada malam itu.
Terima kasih dan Selamat Malam Seram!
Comments