top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Makhluk Belaan Nek Sia...

Assalamu'alaikum KC dan pembaca blog Malam Seram...


Nama saya Aliyana, 24 tahun, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. Saya bukanlah peminat cerita seram kerana saya seorang yang penakut, tetapi saya suka menonton rancangan Malam Seram melalui YouTube dan setiap kali saya menonton, anak buah saya akan jadi mangsa saya dan temankan saya menonton. Setiap kali menonton atau mendengar cerita seram, saya akan terbawa dalam kehidupan seharian saya. Walaupun KC selalu mengingatkan supaya jangan mudah percaya dan terikut-ikut, tapi saya memang penakut.


Di sini saya ingin menceritakan pengalaman saya ketika diminta menjaga rumah. Rumah ini milik seorang nenek kaya yang berusia 74 tahun. Nenek itu memiliki lima orang anak, dan dua anak perempuannya tinggal bersama suami masing-masing. Manakala di antara ketiga-tiga anak lelakinya, satu menetap di Australia, satu lagi menetap di Indonesia mengikut isterinya dan anak lelaki bongsunya baru dua tahun tinggal bersamanya di kampung selepas kematian suaminya dua tahun lepas, bersama isteri dan empat orang anaknya.


Saya memanggilnya dengan panggilan "Nek Sia" (bukan nama sebenar) dan perhubungan kami agak rapat. Dari umur saya sebelas tahun, saya selalu ke rumah Nek Sia kerana dia merasa sunyi tinggal bersendirian di rumah apabila suaminya keluar ke kebun. Saya pula memang suka bermanja dengan nenek kerana saya tidak mempunyai nenek. Kedua-dua belah atuk dan nenek dari ayah dan ibu saya telah lama meninggal dunia. Jadi Nek Sia dan suaminya tempat saya bermanja. Nek sia dan suaminya walaupun terkadang pelik tingkah lakunya tapi mereka sangat baik kepada saya. Mereka antara orang yang paling kaya di kampung saya. Mereka selalu memberi hadiah makanan sedap dan baju-baju yang cantik untuk saya.


Orang kampung selalu melarang saya mendekati mereka dan memberitahu bahawa mereka ada membela sesuatu, tetapi saya tidak percaya kerana Nek Sia melayan saya dengan baik. Setiap kali saya pergi ke rumah mereka tidak ada apa-apa yang pelik berlaku, cuma saya tak pernah melihat Nek Sia dan suaminya solat, berpuasa atau bercakap perihal agama. Mereka cuma akan berpuasa setiap hari Khamis sepanjang tahun. Yang peliknya harta Nek Sia makin bertambah. Banyak hasil yang diraih dari tanah kebunnya. Banyak lagi kekayaan yang mereka miliki yang tak dapat saya ceritakan pada semua.


Saya sedikitpun tidak mendengar nasihat orang lain, kerana keluarga saya sendiri tidak pernah melarang saya. Ibu dan ayah sibuk bekerja dan hampir setiap hari saya tinggal bersendirian di rumah. Selepas pulang dari sekolah, saya akan ke rumah Nek Sia dan menghabiskan masa dengannya. Selepas saya masuk alam sekolah menengah, saya jarang pergi ke rumahnya kerana sekolah saya bermula jam 7.10 pagi dan akan habis jam 12.40 tengahari. Selepas itu ada kelas tambahan dari jam 2 hingga 3.30 petang. Sekolah dan rumah agak jauh, sementara menunggu bas sekolah, saya akan pergi ke pekan dengan kawan-kawan atau ke perpustakaan. Sabtu pula, saya ada aktiviti kelas atau sekolah yang lain. Pada hari Ahad, saya akan berehat atau menolong kakak menjaga anaknya. Jadi jarang sekali saya dapat menemui Nek Sia. Mungkin dua hingga empat kali maksimum dalam sebulan kami akan berjumpa.


Kejadian menakutkan ini berlaku ketika saya di tingkatan lima sewaktu cuti semester pertama. Nek Sia datang ke rumah dan meminta saya untuk menjaga rumahnya, katanya dia harus menjenguk temannya yang sakit di Tawau bersama anak bongsu dan keluarganya selama semalaman. Nek Sia kelihatan resah dan seperti dalam ketakutan. Ketika itu saya bertanya kepada Nek Sia kenapa tak suruh Pak Salleh kerana selalunya Pak Salleh yang akan menjaga rumah mereka jika mereka hendak pergi ke mana-mana dan tidak pulang semalaman. Tapi Nek Sia tetap mahu saya yang menjaga rumahnya. Saya pun bersetuju setelah puas dia memujuk saya. Dia berikan saya kunci dan berpesan supaya saya tidak meninggalkan rumahnya. Saya bertanya kenapa tetapi dia cuma diam.


Saya beritahu ibu saya nak abang temankan saya tetapi ibu memberitahu, abang akan terus ke lapangan terbang selepas habis bekerja untuk menjemput tunangnya yang akan pulang dari Kuala Lumpur, dan menghantarnya ke rumah orang tuanya. Saya ajak ibu tetapi ibu tak boleh sebab ayah akan balik jam 10 malam setiap hari dari tempat kerjanya dan seseorang harus berada di rumah. Saya tak ada pilihan, kecuali pergi ke rumah Nek Sia bersendirian. Ibu cuma berpesan kalau ada apa-apa berlaku atau rasa takut sangat, agar menghubunginya.


Rumah itu tak jauh sebenarnya dari rumah saya, tetapi ia terasa jauh disebabkan kampung saya banyak pokok-pokok dan semak-samun. Ditambahkan lagi, pokok pisang yang ditanam berbaris memanjang di persekitaran jalan. Pokok kekabu juga banyak terdapat di kampung saya. Rumah-rumah di kampung saya tidak tersusun dan berselerak. Bila saya sampai, saya membuka pagar dan pintu rumah sambil memberi salam. Saya hidupkan suis lampu dan kipas. Saya masuk dapur dan hidupkan lampu. Saya naik atas saya hidupkan satu lampu saja sebabnya tingkat atas tak ada orang gunakan sebab saya akan tidur di ruang tamu. Jadi saya tak hidupkan semua.


Saya duduk di ruang tamu dan melihat jam di telefon bimbit sudah 9.03 malam. Setengah jam kemudian, saya mendapat panggilan dari ibu, dia tanya saya ok ke tak dan samada saya berasa takut. Saya jawab rasa takut adalah sedikit tapi tak ada apa. Kata ibu kalau ada apa-apa cepat-cepat hubunginya. Saya tengok kiri, tengok kanan, pusing belakang tengok dapur sunyi. Dari rasa takut bertukar pula menjadi rasa bosan. Mujurlah saya ada membawa buku novel. Saya pun membaca buku, tetapi disebabkan terlampau sunyi, saya hidupkan peti televisyen. Suaranya saya kuatkan agar tidak berasa begitu sunyi.


Jam dah masuk pukul 11 malam. Saya dah mula rasa bosan membaca novel lantas saya bangun kerana tekak terasa kering. Saya pun jalan menuju ke dapur dan membuka peti sejuk, tuang air ke dalam cawan dan dalam perjalanan menuju ke ruang tamu, saya terdengar seperti seseorang menghembuskan nafas dengan kuat betul-betul di depan pintu bilik yang paling hujung sekali. Di ruang tamu ada tiga bilik dalam satu baris. Di sebelahnya pula ada tangga dan ruang kecil tempat Nek Sia selalu bentangkan tikar mengkuang. Saya nak buka pintu bilik tapi telefon di ruang tamu berbunyi. Saya pun percepatkan langkah untuk menjawab panggilan.


Panggilan tersebut rupanya dari Nek Sia. Katanya dia meminta saya untuk asapkan kemenyan dan menyiram tanah di dalam bekas menggunakan air yang dikikiskan kayu cendana di dalam bilik yang paling hujung. Saya bertanya kenapa tapi dia tak jawab, dia cuma berkata, "Tolong nenek..." Saya pun masuk ke bilik tersebut dan pasang lampu. Saya nampak kain kuning yang dibentangkan dan kain hitam yang digunakan untuk menutup tingkap. Di situ juga ada piring tembaga di dalamnya ada cairan merah seperti darah dan bekas kemenyan. Di dalam bilik tak ada perabot, kipas pun tiada, cuma lampu saja yang ada.


Saya cari pemetik api tetapi saya tak jumpa nak panaskan bara untuk kemenyan. Di tingkat atas ada satu bunyi yang kuat seperti pintu bilik yang dihempas. Saya terkejut dan letakkan bekas kemenyan. Saya siramkan air cendana ke dalam bekas tanah dan saya keluar dari bilik. Bila saya buka pintu, saya terasa badan saya ditiup angin. Bila saya toleh ke belakang, saya lihat kain yang dibentangkan berkibaran. Saya rasa pelik kerana di dalam bilik itu tidak ada kipas dan kipas di ruang tamu jauh dan tak mungkin anginnya sampai ke dalam bilik itu. Pintu jendela semua ditutup.


Saya cepat-cepat keluar dan duduk di ruang tamu, waktu itu saya takut sangat. Di luar rumah, anjing tak henti-henti menyalak. Saya kuatkan suara televisyen. Dengan jelas saya mendengar selain suara televisyen, saya juga terdengar suara perempuan mengilai. Saya perlahankan suara televisyen dan kedengaran suara mengilai itu datang dari arah bilik yang hujung, bilik yang sama saya disuruh asapkan kemenyan. Saya jadi takut sangat hendak periksa ataupun tidak. Suara itu sekejap ada dan sekejap hilang. Saya ambil telefon saya dan cuba hubungi ibu. Ibu tak menjawab, saya cuba beberapa kali tapi ibu masih tak jawab.


Tiba-tiba telefon rumah berbunyi, saya menjawab dan mendengar suara Nek Sia. "Terima kasih..." katanya dan dengan jelas, saya mendengar suara Nek Sia ketawa, lalu dia putuskan talian. Saya terdiam. Selepas seketika rumah itu menjadi sunyi sepi. Saya beranikan diri berjalan perlahan menuju ke bilik tersebut. Saya perlahan-lahan membuka pintu dan saya tersedak oleh bau yang amat busuk. Lampu di dalam bilik itu berkelip-kelip. Saya pandang dalam bilik, saya tak nampak apa-apa. Namun selepas saya mendongak ke atas, alangkah terkejutnya saya! Satu makhluk seperti Pontianak, rambutnya panjang, mukanya buruk dan cengkung, matanya merah dan terbeliak memandang saya, kainnya seperti kekuningan dan kotor.


Saya teriak sekuat hati dan berlari ke pintu utama rumah. Waktu itu saya seperti ditarik dan dihempaskan ke lantai sampai saya mengerang kesakitan. Saya mendongak dan melihat makhluk menyeramkan itu terapung-apung di depan pintu bilik, terbang perlahan ke arah saya. Dalam masa yang sama saya mendengar suara orang memanggil nama saya sambil mengetuk-getuk pintu. Dengan jelas saya mendengar suara ibu saya memanggil nama saya, sebelum saya pengsan tak sedarkan diri.


Kata ibu saya, selepas dia melihat panggilan bertubi-tubi dari saya, ibu mengajak ayah pergi ke rumah pakcik untuk menemani mereka ke rumah Nek Sia. Kebetulan waktu itu ramai anak-anak bujang teman anak lelaki pakcik saya ikut sekali ke rumah Nek Sia. Sewaktu mereka sampai, mereka mendengar suara saya menjerit dan mereka beramai-ramai cuba memecahkan pintu. Selepas beberapa kali mencuba akhirnya mereka berjaya. Kata ibu mereka juga terhidu bau busuk yang kuat sangat dan mereka terkejut melihat saya terbaring di atas lantai tak sedarkan diri.


Selepas itu saya dibawa ke hospital dan saya mengalami retak tulang di bahu sebelah kiri dan luka ringan di kepala serta lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan saya. Sehari kemudian pakcik saya membawa seorang pakar dan saya menceritakan semuanya kepada beliau. Pakar mengajak ayah dan pakcik saya pergi ke rumah Nek Sia. Kata pakar, rumah itu sudah dipagar dan ada penjaganya. Pakar itu juga memberitahu bahawa tuan rumah ada membela sesuatu untuk mendapatkan kekayaan dan dia juga tak pasti tapi kemungkinan tuan rumah sengaja menyuruh saya menjaga rumahnya untuk menjadi makanan atau mangsa makhluk belaannya.


Kata pakar jika seseorang membela sesuatu makhluk, lebih-lebih lagi untuk tujuan kekayaan, pasti ada tukarannya. Ada juga pantang larangannya antaranya tidak boleh solat, berpuasa dan lebih-lebih lagi bersedekah. selepas kejadian yang menimpa saya tersebar luas satu kampung, orang kampung mula memulaukan Nek Sia dan keluarganya. Nek Sia jarang sangat keluar rumah. Tidak ada apa-apa penjelasan ataupun permintaan maaf yang saya terima tapi saya bersyukur tidak ada apa-apa yang lebih buruk terjadi kepada saya.


Terima kasih daripada saya Aliyana di Kota Kinabalu, Sabah...

169 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page