Assalammu'alaikum KC dan semua pembaca blog Malam Seram,
Saya Mimi dari Roban, Sarawak. Saya ingin mengetengahkan satu pengalaman misteri yang berlaku pada saya. Pada tahun 2009, saya telah mendapat tawaran bekerja di Semenanjung Malaysia atau lebih tepat lagi, di Institut Kemahiran Belia Kuala Kubu Bharu, Selangor. Pada tahun yang sama juga, saya telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran secara Pendidikan Jarak Jauh di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Oleh kerana semangat untuk belajar masih berkobar-kobar, saya pun menerima tawaran tersebut. Isnin hingga Jumaat saya bekerja waktu pejabat seperti biasa manakala pada hujung minggu, saya akan pergi belajar. Begitulah rutin kehidupan saya.
Masih saya ingat pada hari tersebut kelas saya habis lewat kerana pensyarah membuat ujian kuiz di dalam kelas. Jam pada masa tersebut menunjukkan pukul 6:30 petang. Saya ambil keputusan untuk menggunakan Lebuhraya LATAR kerana perjalanan lebih singkat dari UiTM Shah Alam menuju ke kawasan Hulu Selangor melalui lebuhraya tersebut. Lebuhraya tersebut masih baru dibuka pada waktu itu dan R&R (Rehat & Rawat) masih sepi. Kebiasaan pemandu-pemandu cuma singgah untuk ke tandas dan menumpang solat. Masih belum ada lagi kedai-kedai makan di awal pembukaan lebuhraya ini. Kiri kanan masih lagi hutan tebal.
Pada mulanya perjalanan saya lancar seperti sediakala, sambil saya bernyanyi dan menghiburkan diri dengan lagu-lagu yang berkumandang di siaran radio. Usai sahaja melalui tol Kuang, ada satu kereta Hilux yang berada di arah bertentangan memberi isyarat lampu "high beam" ke arah saya. Di fikiran saya mungkin ada road block atau kemalangan di hadapan kerana kebiasaan di Malaysia, pemandu-pemandunya amat perihatin sekali sekiranya berlaku dua perkara ini di jalan raya. Saya memandu lagi seperti biasa di lorong kedua. Tidak lama kemudian, ada satu kereta dari arah sehala iaitu di lorong paling kanan memecut kereta saya sambil penumpang di sebelah pemandunya iaitu seorang wanita menujuk ke arah belakang kereta saya. Saya jadi takut kerana pada hemat saya ini mungkin penjenayah. Pernah saya terbaca di suratkhabar kejadian samun berlaku di lebuhraya yang sunyi seperti ini. Tapi yang peliknya wanita tersebut berkali2 menunjuk ke arah belakang kereta saya.
Saya mengerling ke arah cermin sisi kereta saya dan jantung saya bedegup kencang apabila melihat seakan kain selendang melayang terbang di tiup angin menutupi sebahagian cermin duduk belakang kereta saya. Bulu roma saya mencanak naik, kepala saya seakan kembang bagaikan belon yang ditiup. Tiba-tiba terdengar dentuman yang kuat di atas bumbung kereta. Dalam keadaan menggigil ketakutan saya pecut kereta sambil dengan lajunya tangan mengubah siaran radio kepada bacaan surah suci Al-Quran. Mata saya menjeling ke arah tempat duduk penumpang di belakang. Betapa hodohnya rupa lembaga tersebut! Matanya merah menyala sambil mulutnya menyeringai memandang ke arah saya.
Mulut saya berkumat-kamit mengikuti bacaan Ayatul Kursi yang berkumandang dengan nyaringnya di dalam kereta saya. Saya dapat rasakan yang lembaga tersebut betul-betul berada di tepi saya kerana saya dapat merasakan hembusan nafasnya di telinga kiri saya. “Arghhhh...." katanya dengan suara yang amat garau dan menakutkan. Saya kuatkan lagi suara radio lantas saya buka tingkap kereta di bahagian tempat duduk penumpang di belakang sambil saya menjerit sekuat hatinya... ”ALLAHU AKBAR” berkali-kali sehingga lembaga tersebut sudah tidak kelihatan. Saya tiba di pekan Rawang sekitar pukul 7.30 malam. Saya singgah sebentar di kedai makan untuk menenangkan diri. Setelah saya mula cool down saya meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Kuala Kubu Bharu.
Keesokan harinya, saya bercerita tentang kejadian tersebut dengan rakan-rakan di tempat kerja. Salah seorang rakan saya mengatakan memang banyak kejadian aneh berlaku di lebuhraya tersebut sejak pembukaannya. Ramai pemandu yang lain telah diganggu oleh sosok lembaga berkenaan. Menurut beliau juga, penampakan tersebut mungkin merupakan mangsa wanita yang dirogol dan dibunuh kemudian mayatnya dicampak di kawasan hutan berkenaan. Rohnya tidak tenang dan mengganggu pemandu yang melalui kawasan lebuhraya tersebut. Sekiranya benar apa yang diperkatakan, saya mendoakan semoga arwah tenang di alam sana. Wallahu'alam bissawab. Sejak kejadian itu, saya tidak pernah lagi melalui lebuhraya tersebut selepas jam 5.00 petang.
Sekian terima kasih...
Comentarios