Assalamualaikum KC,
Nama saya Bang Lim dan saya ada pengalaman seram berlaku lima tahun yang lalu sewaktu saya bekerja sambilan sebagai pemandu valet. Khidmat kami menghantar orang yang mabuk dan kereta mewahnya ke rumah dengan selamat. Waktu tugas pula tidak menentu, tetapi selalunya bermula jam 10 malam dan berakhir sebelum 5 pagi. Kami mempunyai seorang pemandu untuk menjemput kami selepas tugas selesai. Ini kisahnya... Pada satu malam Sabtu, kira-kira jam 3 pagi, saya di dalam kereta pemandu yang menjemput kami bersama dua lagi rakan setugas dalam perjalanan ke Coronation Road untuk menjemput seorang lagi teman setugas sebelum berakhirnya tugas kami. Setibanya di Coronation Road, kami pun menunggu pemandu valet terakhir untuk dihantar pulang. Sedang menunggu rakan kami, lampu kereta pun kelihatan dan pastinya itu teman yang kami nantikan. Fuh... Kereta Porsche yang teman kami pandu. Setelah habis dan selamat pelanggan pulang, kami pun beredar dari sana dan bermulalah pengalaman seram.
Kami berlima dalam kereta. Tiga yang lain termasuk pemandu berbangsa Cina dan di sebelah kiri saya seorang Serani. Lorong rumah privet yang kami lalui, jalannya cuma mempunyai dua laluan kecil dan lampunya agak malap. Jadi saat itu saya sangat awas dan selalu melihat jalan kerana si pemandu seorang ini suka lalai. Bila saya fokus, kira-kira jarak seratus meter, saya ternampak ada wanita di tengah-tengah jalan menghala ke arah kereta kami. Saya pun cakap, "Alamak! This girl got money, go drink, no money pay cab ahhh?" kerana kelihatan dia berjalan dalam keadaan tidak stabil.
Saya pun ulangi sekali lagi, "Eh what is she up to?" Semua dalam kereta terdiam! Jadi bila semakin dekat saya pun meninggikan suara sebab saya ingat semua tertidur, "You all see or not that girl?" Saya kedepankan tubuh saya ke arah pemandu dan dia menjawab "You crazy ahh? Where got girl? There's nobody what!" Semakin dekat, saya yang macam orang tak betul dan menjerit, "HOI HOI HOI!!! U WANT TO BANG HER AHHH!"
Masya Allah bila dah depan betul-betul dekat bonet kereta, dengan jelas saya nampak beliau memakai baju kurung batik berwarna cokelat, rambut paras perut dan wajahnya saya nampak sebelah sahaja. Lagi sebelah ditutupi rambutnya yang terhurai. Rupanya sama macam dalam filem seram "Pengabdi Setan" yang ditayangkan pada tahun 1980. Mata putih besar!
Saat dia di hadapan bonet dan hampir teman saya melanggar, dengan sepantas kilat dia ke arah kiri dan bila saya toleh ke belakang, beliau berjalan dengan kakinya kengkang ke kiri ke kanan dan laju seperti pelesit. Sebiji macam cerita hantu Jepon Ju-On! Perasaan hairan menjadi musykil, perasaan takut tidak terasa tapi yang pasti yang saya nampak bukanlah seorang manusia. Selepas keluar dari Coronation Road menghala ke Bukit Timah, kawan Cina saya yang duduk di depan rupa-rupanya pun ternampak juga, tapi bila saat dia nampak dan saya pun menegur, dia terus pejamkan mata kerana dia dapat rasa itu bukan manusia. Tambah beliau, hari itu adalah hari terakhir pintu neraka tutup. Pendek kata, ketika itu merupakan bulan hantu kepercayaan orang-orang Cina. Yang pemandu pula selamat tidak dibuka hijab, jikalau dia pun ternampak, mungkin saya tidak dapat kongsi pengalaman saya.
Terima kasih dan wassalam...
Comments