Salam KC,
Nama saya Ziyan. Saya ada sebuah kisah yang agak menyeramkan bagi saya. Kisah-kisah mistik memang saya suka, pendek kata sesuatu yang sebati dengan jiwa saya. Kisah ringkas saya seperti ini. Saya seorang perokok. Kalau saya hendak merokok, saya takkan hisap di khalayak ramai. Biasalah, tak manis kan apabila orang lain nampak orang perempuan merokok kan? Nanti kena kecam. Lagipun saya pun tidak suka orang tahu saya seorang perokok.
Saya bekerja di sebuah bangunan lama di Depot Road, Singapura. Untuk pengetahuan semua yang tidak berada di Singapura, kawasan ini berdekatan dengan peristiwa di mana Allahyarham Leftenan Adnan Saidi tewas apabila bertempur dengan tentera Jepun di Bukit Chandu yang terletak sekitar kawasan Pasir Panjang. Kawasan Depot Road ini terletak berhampiran dengan Pulau Sentosa dan estet perumahan Telok Blangah. Sudah tentu pasti ada yang pernah mendengar kisah-kisah seram yang terjadi di kawasan-kawasan ini. Paling biasa kedengaran kisah ternampak kepala terbang atau penampakan kakak cantik oleh penduduk-penduduk yang menetap di Telok Blangah.
Berbalik kepada kisah saya. Perkara ini terjadi sekitar pukul 6 lebih petang setelah habis waktu bekerja dan saya hendak beredar pulang. Namun sebelum pulang, tekak rasa kelindan untuk menghisap rokok. Saya kalau hendak merokok, akan pergi tempat yang tidak ramai orang lalu-lalang. Jadi saya berjalan ke blok yang agak lama dan juga berdekatan dengan tempat saya be kerja. Saya memang selalu merokok di sudut senaman yang terletak di bawah blok itu.
Saya pun berjalan menuju ke sudut kegemaran saya seperti biasa. Sudut kegemaran saya ini agak sunyi dan ruang senaman serta taman permainan yang ada di situ juga kelihatan sudah agak lama memandangkan kawasan itu merupakan antara estet perumahan yang pertama dibina di Singapura sekitar tahun 50an. Saya lantas duduk di salah sebuah bangku di situ yang berbumbung betul-betul bersebelahan dengan ruang senaman tersebut. Saya pun tanpa berlengah terus hidupkan sebatang rokok dan mula menghisap.
Bila dah habis, saya mula membelek telefon bimbit untuk melihat app di mana kami dapat mencari maklumat jadual perkhidmatan bas awam dan pukul berapa ia akan tiba. Ada lagi dua belas minit mengikut apa yang tertera di app tersebut. Jadi saya mula hidupkan lagi sebatang rokok sebagai pengisi masa. Tempat yang saya duduk pada waktu itu, di belakang saya merupakan semak-samun dan ada pokok-pokok besar.
Tiba-tiba saya terdengar ada suara seperti seseorang sedang ketawa kecil. Saya sangkakan ada orang yang mungkin sedang lalu di sana. Bila mata saya mula meninjau keadaan sekeliling tidak nampak pula seorang manusia yang lalu di situ jadi saya buat tak endah saja. Tidak lama kemudian terdengar lagi bunyi ketawa kecil itu dan saya terus buat tak endah sambil menghabiskan menghisap rokok. Sementara itu, saya mula berdiri hendak meletak barang-barang dalam beg sambil telefon bimbit saya di tepi.
Entah macamana, telefon bimbit saya terjatuh, padahal saya tidak melanggarnya. Lebih tepat lagi saya tidak rasakan yang saya terlanggarnya sehingga ia terjatuh ke lantai. Bila saya tunduk hendak mengambil telefon bimbit yang berada di atas lantai tersebut, saya terdengar lagi ketawa kecil yang saya katakan awal tadi. Kali yang ketiga itu, saya dah mula rasa lain macam sambil bulu roma meremang! Saya berdiri dan terus mencapai beg saya.
Bila saya masukkan tangan ke dalam beg, saya terpandang di salah satu pokok besar yang berada betul-betul di hadapan saya dan saya nampak ada sosok putih dengan mata yang bercahaya terang seperti lampu memandang saya! Saya terus mengucap dan lekas-lekas pusing namun saya tergamam dan terpaku di situ seolah-olah tidak boleh bergerak! Hendak pekik pun tidak mampu. Dalam hati saya berkata, "Minta maaf kalau aku kacau kau. Bukan niat aku. Tolong lah, aku hendak balik..."
Sejurus saya katakan dalam hati, bunyi suara yang sedang ketawa kecil itu kedengaran lagi, dan pada waktu itu ia seolah-olah sedang ketawa betul-betul di sebelah saya! Saya terus pekik dan berlari menuju ke perhentian bas. Sejak itu saya tidak berani menghisap rokok di situ lagi dan mencari tempat lain yang lebih sesuai serta tidak menyeramkan.
Sekian, selamat malam.
Terima Kasih KC!
Comments