top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Kisah Seram Ketika Berjalan Raya

Assalamualaikum KC,


Nama saya Izzat dan saya ada cerita yang ingin saya kongsi bersama yang telah terjadi sekitar lapan tahun dahulu semasa saya dan rakan-rakan keluar berjalan raya mengunjungi rumah masing-masing. Cerita ini saya berkongsi kepada umum bukan untuk membuka aib sesiapa tetapi sekadar untuk menasihati agar pembaca blog Malam Seram tidak melakukan kesilapan yang sama seperti kami. Ceritanya begini.


Kami semua keluar beraya seramai lima belas orang. Kawasan rumah kami semua terletak di kawasan Woodlands, jadi dekatlah hendak pergi ke semua rumah. Sekadar berkongsi, kami tidak mengunjungi ke semua rumah. Rasanya tak larat nak pergi sehingga lima belas rumah dalam sehari. Kami berada di rumah ketiga sekitar jam 6 petang dan kami dan kami lepak di sana selama sejam. Kami beredar kira-kira pukul 7 malam untuk ke rumah seterusnya.


Sekitar jam 9 malam, kami pun meninggalkan rumah keempat kami pada hari itu dan berjalan pergi ke rumah salah seorang dari kami di kawasan Admiralty pula. Tiba-tiba salah seorang kawan saya bernama Diana, berkata perutnya terasa sakit dan kami terpaksa berhenti seketika, kerana dia rasa sakit teramat sangat sambil menyangkung di tepi jalan. Dia seolah-olah terasa satu macam kesakitan yang membuatnya sukar untuk bangun kerana menurutnya, perutnya terasa bisa sekali.


Seingat saya ketika di sekolah, Diana selalu sakit perut tetapi kali ini lain macam sedikit sehingga hampir sejam kami menunggu di sisinya. Waktu itu kami semua berada di kawasan di mana sekelilingnya agak gelap dan sunyi. Setelah sekian lama, Diana tidak tahan dan terpekik kesakitan. Kami terpaksa memapahnya ke rumah seorang kawan di antara kami yang berdekatan. Yang perempuan semua mengangkatnya dan membaringkannya di atas katil manakala kami yang lelaki semua duduk di ruang tamu.


Beberapa ketika kemudian, seorang kawan saya bernama Maisarah tiba-tiba terpekik dan berlari keluar dari bilik kawan saya sambil menangis dan berkata dia ternampak sesuatu di dalam bilik. Maisarah mempunyai kelebihan melihat benda-benda ghaib. Dia memberitahu kami bahawa dia ternampak seorang wanita berambut panjang dari kepala ke lantai, rambutnya tutup setengah mukanya, lagi setengah boleh terlihat muka yang sangat hodoh serta bermata merah.


Kami semua dah panik, terpaksa panggil seorang ustaz dan keluarga Diana untuk turun ke rumah kawan saya. Bila ustaz sampai, ustaz membawa Diana keluar dari bilik dan mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Ustaz bertanya pada Diana di mana makhluk itu berada dan dia berkata ia sedang berada di belakang ustaz! Berdiri bulu roma kami semua apabila mendengarnya!


Selepas sekian waktu ustaz membaca ayat-ayat suci, akhirnya Diana berkata makhluk itu sudah hilang. Ustaz berkata yang makhluk itu sebenarnya dah ikut kami semua sejak kami keluar dari rumah kawan kami sekitar waktu Maghrib dan ia telah menyerang salah seorang daripada kami yang lemah semangat dan berada di tempat yang gelap dan sunyi. Ustaz menambah, ketika itu sedang berlangsungnya Bulan Hantu yang disambut oleh masayarakat Tionghua, jadi tidak elok kalau kami berada di luar pada waktu senja atau lewat malam.


Melalui pengalaman kami, barulah kami sedar kenapa ibu bapa kami sering bising tentang keluar ketika waktu senja atau Maghrib, mahupun pulang lewat malam, kerana kami semua berisiko tinggi diserang oleh makhluk-makhluk yang tidak dapat kami lihat. Itu sahaja kisah saya dan selamat malam...

295 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page