Assalammualaikum KC dan para pembaca blog Malam Seram,
Nama saya Yus. Pengalaman misteri yang hendak saya kongsikan berlaku di salah sebuah kem di kawasan Joo Koon di Singapura.
Gangguan Pada Hari Pertama
Pada tanggal 4 Mac 2019, saya telah dikehendaki menemani seorang rekrut ke Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk masalah tertentu. Setelah selesai semua urusan, saya pun pulang ke kem dan sampai sekitar 1155 minit malam. Saya harus melalui satu lorong atau laluan ke bilik saya. Laluan itu terang benderang tetapi terasa agak sunyi pada malam tersebut. Sedang saya melepasi lorong tersebut, bahu saya terasa berat semacam. Saya tidak fikirkan apa-apa kerana mungkin terlampau penat.
Saya terus ke bilik dan menyalin pakaian tanpa membersihkan diri terlebih dahulu. Sewaktu saya sedang mencari pakaian di dalam beg, terdengar suara seperti tikus dari arah luar tingkap yang terbuka luas dalam nada yang tinggi dan agak lama bunyinya. Jarak antara saya dan tingkap hanya dua tapak. Saya agak tersentak dan terus tanya rakan saya yang sedang baring di belakang dalam bahasa Inggeris, "Eh Ryan, kau ada dengar tak bunyi tadi? Sejak bila bilik bunk kita ada tikus?" Dengan muke yang mengantuk dia geleng kepala. Saya tidak endahkan bunyi tersebut kerana kawasan bilik kami terdapat longkang yang agak besar dan mungkin ada tikus cuma saya tak pernah nampak selama ini. Saya terus salin pakaian dan capai mi segera untuk dimasak.
Oleh kerana saya tidak mahu mengganggu rakan saya tidur, saya ke bilik rakan yang lain, Khai, yang masih terjaga. Kami berbual-bual sambil saya menghabiskan mi segera. Dalam tak sedar, sudah masuk satu lebih pagi. Setelah selesai makan, saya membersihkan apa yang patut dan masuk semula ke bilik Khai. Pada waktu itu Khai sedang bangun untuk ke tandas, tinggal saya seorang di dalam bilik. Sebaik dia keluar dari bilik, kedengaran suara tikus itu lagi tetapi kali ini kedengaran betul-betul di hadapan tingkap bilik Khai. Dalam hati tertanya, takkan tikus itu lari ke kawasan bilik Khai. Sejurus Khai masuk semula ke dalam bilik, saya menanyakan kalau-kalau dia ada terdengar bunyi tikus tetapi dia kata dia tak mendengar apa-apa. Saya dah mula rasa ada sesuatu yang tak kena, saya minta Khai untuk temankan saya ke tandas untuk membuang air.
Sewaktu saya sedang membuang air, terdengar lagi bunyi tikus itu, tetapi kali ini lebih dekat. Sesudah itu Khai berjalan ke tempat menghisap rokok dan saya cekalkan hati untuk masuk ke dalam bilik saya keseorangan. Beberapa saat sebelum pintu bilik dibuka, terdengar sekali lagi bunyi tikus dari arah yang sama tetapi kini kedengaran begitu jauh. Saya memarahi Khai, kerana sangka saya ini mesti kerjanya hendak menakut-nakutkan saya. Apakan tidak, setiap kali saya keseorangan dalam bilik saya terdengar bunyi itu. Bila ada orang, bunyi itu tidak muncul.
Khai: "Bodoh... bukan akulah..."
Saya: "Betul serius aku dengar dari bilik aku tadi, punya kuat, takkan sekali pun kau tak dengar?"
Khai: "Tadi kau ada nampak budak India gemuk dekat luar?"
Saya: "Kawasan bunk kita mana ada budak India gemuk? Setahu aku kalau adapun, tapi badannya kurus. Cuba tengok kalau betul ada orang dekat luar sebab tingkat bawah cuma unit kita, kalau dia nak naik tingkat dua kita boleh tangkap dia naik tangga..."
Khai keluar tetapi tidak ada sesiape yang berada di luar. Kami pun baring menghadap tngkap. Sedang saya bermain dengan telefon bimbit, Khai terus memandang ke arah saya.
Khai: "Yus, yangi itu kau dengar?"
Saya: "Bodoh, jangan main-main lah..."
Khai "Serius aku dengar, tapi aku dengar jauh tau..."
Saya: "Serius jauh? Yang last aku dengar tu memang macam jauh..."
Kami terdiam. Lat beberapa minit, die ambil bantal kepalanya dan membelakangkan badannya dari tingkap.
Khai: "Yus... Yus... Cepat kita tukar tempat..."
Saya: "Kau dah kenapa?"
Khai: "Tukar aje cepat. Besok aku ceritakan..."
Saya: "Takde... Kau ceritakan dulu baru aku pusingkan badan..."
Khai: "Aku nampak bayang hitam lari-lari lah kat depan tingkap kita ni. Aku nak pergi hisap rokok lah..."
Saya: "Kau jangan macam-macam, kau hisap kat dalam bilik aje..."
Nak dipendekkan cerita, kami menuju ke arah tingkap dan ternampak seperti ada bayangan hitam sembunyi di balik luar tembok bilik kami. Kami terus tutup tingkap dan cuba lelapkan mata. Kami bersengkang mata sampai hampir pukul 4 pagi kerana rasa tidak sedap hati.
Gangguan Hari Ketiga
Hari kedua tiada gangguan kerana mungkin ramai yang tidur dalam kem pada malam itu. Pada hari yang ketiga merupakan hari Rabu. Saya sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak dalam pukul sepuluh lebih malam. Sebaik hendak memulakan solat, Khai menjenguk saya dari luar bilik, saya dengan mood berseleroh terus membuat bunyi suara tikus seperti yang kami dengar dua malam yang lepas. Khai memarahi saya kerana seperti mengejek suara itu. Saya tidak memikirkan apa-apa dan terus menunaikan solat.
Sedang saya membaca doa iftitah, tiba-tiba jelas kedengaran bunyi tikus itu lagidi tingkap sebelah kiri saya! Pade masa itu solat saya sudah tidak khusyuk. Saya macam hendak membatalkan solat dan buka tingkap untuk periksa benda apa yang mengganggu kami hingga ke saat ini. Tetapi saya cekalkan hati dan meneruskan solat. Rakaat pertama dan kedua masih boleh bertahan, pada rakaat ketiga ia bunyi lagi! Sejurus itu saya batalkan solat, keluar bilik dan memberitahu Khai yang saya dengar lagi.
Kerana hati saya rasa tidak sedap, saya pergi menuju ke arah sekumpulan rakan yang sedang menghisap rokok. Yang lain sudah tahu mengenai gangguan yang saya dan Khai alami sebelum ini. Sedang kami berborak-borak tentang kejadian kelmarin, keenam-enam kami terdengar seperti burung yang mempunyai kepak yang besar, berkepak dengan kuat sebanyak dua kali seperti sedang terbang dari lantai kami ke atas. Bunyi itu datang dari arah kawasan kantin yang terletak beberapa meter di hadapan kami yang mempunyai beberapa pokok-pokok besar di sebelah belakangnya.
Kami semua masuk ke bilik masing-masing. Khai, saya dan seorang lagi tidur di bilik yang sama. Selang beberapa minit kami mematikan lampu untuk masuk tidur, saya dan Khai terdengar seperti bumbung almari kami diketuk dan digerakkan. Kami terus mengambil keputusan untuk memutarkan surah-surah suci menggunakan telefon bimbit kami. Gangguan tersebut terus-menerus berlaku tetapi kami tetap tidak endahkan. Lama- kelamaan, rangka katil Khai diketuk.
Khai: "Yus, tengok katil aku bergerak..." Pada mulanya saya fikirkan dia sedang buat-buat cerita, tetapi setelah diperhatikan betul-betul, seperti ada sesuatu yang menggerakkan katilnya. Tiba-tiba ketukan pada rangka katil Khai menjadi semakin kuat. Kami terus keluar bilik kerana gangguan yang semakin teruk, meninggalkan rakan kami yang sedang tidur. Kami cuba tenangkan fikiran dengan menghisap rokok di kawasan petak merokok yang telah disediakan. Setelah habis, kami pun pulang ke bilik semula. Sebaik kami masuk ke dalam bilik dan menghidupkan lampu, rakan kami yang sedang tidur terbangun dalam keadaan berpeluh. Dia berkata dalam masa sepuluh minit yang kami keluar bilik, dia mimpi sebuah lembaga yang seram berpakaian putih berleher panjang.
Dipendekkan cerita, saya dan Khai menggabungkan katil kami dan menukar surah Yassin kepada surah-surah Ruqyah yang lain. Selang beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi ketukan dan juga almari kecil kami digerak-gerakkan. Tiba-tiba terasa seakan ada sesuatu di bawah katil saya sedang menggerakkan rangka katil yang membuatkan badan saya bergerak-gerak, diikuti dengan katil Khai. Khai tergerak hati untuk berpaling ke belakang dan ternampak seorang budak yang sedang bertenggek di atas almari kecil memerhatikan kami berdua. Setelah ditegur, benda itu seperti terbang keluar dari tingkap bilik kami. Alhamdulllah, setelah itu tiada gangguan yang berlaku, mungkin makhluk itu hanya menyinggah ke dalam bilik kami...
Terima kasih dan Selamat Malam Seram!
Comments