top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Kisah Misteri Dari Cik N (Kisah 1 - Cincin)

Saya Cik N dari Shah Alam. Saya memang sering mengalami peristiwa-peristiwa yang menyeramkan dari kecil hingga kini. Saya akan berkongsi empat kisah dan pengalaman yang terjadi kepada saya bermula dengan kisah yang akan saya ceritakan di bawah.


(Nota Penyunting: Kisah-kisah seterusnya akan bersambung di hari-hari yang mendatang, Insya Allah...)

******************************************************************************************** Ayah saya suka berkebun di belakang rumah pangsa lama kami. Kami tinggal di sebuah kem tentera di utara Malaysia. Ketika itu, saya dalam darjah 4 atau 5. Kami adik-beradik selalu juga turut membantu beliau membersih dan menanam sayuran di situ. Satu hari, anak-anak jiran yang sering bermain-main di sekitar kebun kami terjumpa sebentuk cincin dan ditunjukkan kepada saya yang kebetulan berada di sana. Cincin itu sangat kotor. Tetapi, di sebalik kotoran tanah itu, saya dapat melihat coraknya yang berbentuk emas lama. Lalu, saya naik ke rumah mengambil berus dan baldi kecil air dan duduk menghadap kebun, sambil memerhatikan mereka semua terus bermain dan berlari-lari keriangan. Dengan perlahan-lahan dan berhati-hati, saya berus cincin itu dengan khusyuk sehingga saya tidak sedar kehadiran makcik jiran atas rumah saya yang turut berada di belakang memerhatikan saya. Wah! Emas lama tu! Mesti mahal…” Makcik itu bersuara secara tiba-tiba dan hampir sahaja memeranjatkan saya. Saya biarkan sahaja makcik itu dan masih terus membersihkan cincin itu. Bila ia hampir bersih, saya mulai terkejut….. Cincin itu?!!... Dengan sekuat hati, saya campak cincin itu jauh-jauh! Kenapa campak?!!” Makcik itu memandang saya dengan wajah yang sangat marah. Saya terus berlari naik ke rumah tanpa menghiraukan makcik itu. Biarlah dia nak buat apa. Sempat juga saya terpandang anak-anak lelaki makcik itu bertebaran di kawasan semak tempat saya campakkan cincin tadi. Sebenarnya, sampai ke akhirnya cincin itu tidak ditemui. Saya tahu cerita itupun apabila emak saya bertanya tentang kisah itu. Mungkin makcik itu mengadu kepada emak agaknya. Elok lah tu. Biar dia tak jumpa. Kalau tidak, entah apa yang akan berlaku pula. Sudahlah ketika itu, makcik itu sedang mendukung bayinya yang baru berumur setahun lebih. Kisah cincin itu mengheret ingatan saya kepada peristiwa yang berlaku beberapa minggu sebelum itu. Pada satu malam, saya ternampak ruang tamu rumah saya terang-benderang walaupun jam sudah menunjukkan pukul 3 lebih pagi. Mungkin ayah sedang menonton televisyen agaknya. Disebabkan esok cuti, saya pun ingin turut menonton bersamanya. Mungkin ada perlawanan bola. Sambil menggosok-gosok mata, saya memandang ke ruang tamu dari arah pintu bilik saya. Tetapi apa yang saya dapat lihat adalah seorang perempuan berbaju putih dan berambut panjang kehitaman. Dia sedang menghadap pintu lungsur dan seolah-olah sedang bersedia terbang dari situ. Tentu saja saya terkejut! Siapa perempuan itu? Tiba-tiba, perempuan itu menoleh ke arah saya. Bukan dengan pandangan mata yang tajam dan gigi yang menyeringai tetapi dengan air muka yang sangat sedih dan sayu. Mimpikah aku? Saya tergamam, dalam fikiran saya ligat mencari-cari jawapan siapakah wanita itu? Hantukah? Kenapa dia tidak menyeramkan tetapi sedih? Abah dah tahukah tentang wanita itu? Macam mana dia boleh berada di situ? Apa tujuan dia berada di situ? Dia sedang mencari seseorang ke? Dia memandang saya seketika dan terus berpaling ke pintu lungsur semula. Air mukanya kosong, seolah-olah terlalu sedih dan pasrah. Seolah-olah dia tidak peduli keadaan saya yang masih memandangnya sungguh-sungguh. Sebelum dia betul-betul terbang keluar melalui pintu itu, dia menoleh ke arah jari-jemarinya. Di jari manisnya itulah saya terlihat sebentuk cincin lama kekuningan yang tampak agak menyerlah. Lebih kurang tiga hingga lima saat jugalah kami sama-sama memandang cincin itu. Akhirnya perempuan itu terus terbang perlahan-lahan meninggalkan ruang tamu yang kembali gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Saya tergamam semula.


Mimpikah aku?


(Berakhir kisah pertama)

219 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page