Salam Sejahtera KC & Geng-Geng Momok, Saya adalah Foo Say Kheng, berasal dari Kelantan dan sekarang berhijrah ke Melaka.
Saya ialah peminat setia KC dari Misteri Jam 12 hingga Malam Seram. Walaupun suka mendengarnya, saya tetap tak berani dengar pada waktu malam. Kebiasaannya, saya hanya dengar daripada Youtube. Saya mempunyai 1 kisah misteri semasa saya masih bertugas di salah satu kilang di Johor, pada tahun 2013.
Untuk gambaran KC, kilang ni mempunyai 3 Blok bangunan. Blok A ialah tempat production + main office, Blok B dan Blok C hanya production. Masa itu, saya diberi masa dalam masa 2 bulan untuk memasukkan program dan setting mesin yang baru beli untuk mengantikan mesin lama. Dari 8.00 am hingga 6.00 pm mesin baru itu perlu jalan production. Oleh sebab tu, saya hanya boleh menggunakan mesin baru itu untuk setting / masuk program dari Pukul 6.00 pm hingga 10.30 pm (iaitu selepas masa production). Hanya Blok B & C yang beroperasi hingga pukul 10.30pm. Pada masa itu, apa yang dalam fikiran saya ialah saya mesti pastikan mesin baru ni boleh digunakan tanpa sebarang masalah dalam 2 bulan. Setiap hari bekerja, saya akan bekerja seorang diri di Blok A dari 6.00pm hingga 10.30pm. Sebelum balik, saya kena matikan lampu dan kesemua bekalan elektrik serta kunci pintu Blok A.
Pada suatu malam, saya masih sama, seorang diri menyiapkan mesin di Blok A. Oleh kerana bateri handphone dah hampir flat, saya pun biarkan hand phone charge di office. Untuk pengetahuan KC, saya takkan dengar deringan hand phone dari tempat mesin baru. Semasa saya asyik bekerja, saya berasa terkejut kerana ternampak 2 orang rakan sekerja saya dari Blok B berdiri di depan saya. Kebiasaanya meraka akan datang untuk ambilkan pelekat produk yang hanya boleh dicetak di dalam office. Untuk pengetahuan KC, pekerja kena minta pelekat dari kerani semasa office hour tapi kekadang meraka terlupa. Mereka bertanya pada saya :
"Kenapa awak tak jawap panggilan?".
Saya memberitahu mereka yang saya charge hand phone saya di Office dan saya memang tak dengar deringan hand phone. Soalan seterusnya membuat saya meremang bulu roma,
"Siapakah perempuan yang jawap hand phone awak tadi?"
Saya terus menegur mereka jangan buat lawak pada masa malam, dan ia tak lucu. Salah satu rakan kerja saya memberitahu saya, dia telah 3 kali call hand phone saya dan saya tak jawap. Tetapi panggilan ke-4, ada seorang perempuan yang jawap. Inilah perbualan mereka.
Perempuan : "Awak cari siapa?"
Rakan Kerja A : "Saya cari Foo, nak suruh dia cetakkan pelekat produk."
Perempuan :"Oh Foo, dia ada di sini. Awak tunggu sekejap, saya akan pergi panggil Foo untuk jawap hand phone."
Rakan kerja A saya menunggu selama beberapa minit, tetap tak ada yang jawap. Jadi, rakan kerja A letak telefon dan bercadang untuk datang ke Blok A. Meremang bulu roma saya apabila, saya nampak memang ada 3 missed call dan paling saya terkejut ialah saya nampak ada panggilan yang dijawap, dan memang betul kata rakan kerja A. Malam tu, saya terus cetakkan pelekat produk dan suruh mereka tunggu saya matikan lampu, bekalan elektrik dan kunci pintu Blok A. Rakan kerja A menangis dan tak dapat teruskan kerja dan dibawa balik oleh abangnya. Malam tu, saya terus balik rumah walaupun sebelum 10.30pm. Tak sanggup lagi saya nak terus tinggal di office seorang diri. Walaupun begitu, saya tetap cuba siapkan kerja saya dengan menggunakan masa makan dan rehat petang. Selepas hari itu, memang ramai pekerja Blok A yang kena histeria walaupun pada waktu siang. Dan hampir setiap hari, akan 1-2 orang pekerja perempuan yang kena histeria, hinggalah top manangement terpaksa panggilkan ustaz untuk datang baca-baca. Selepas itu, tak ada lagi masalah pekerja perempuan kena histeria.
Selepas tu baru saya dengar cerita yang pihak kilang telah membuang 3 kontena lama yang di belakang Blok A dan mungkin salah satu kontena itu ialah tempat tinggal "benda" tu. Sebab "dia" dah kehilangan tempat tinggal dan ganggu pekerja di Blok A. Itu saja kisah misteri saya. Semoga KC sihat selalu dan lebih berjaya lagi dalam kerjaya sekarang. Malam Seram memang terbaik. Daripada Foo Say Kheng
Comments