Assalamualaikum KC,
Nama saya Intan. Saya berumur 34 tahun, telah berumahtangga selama tujuh tahun dan belum lagi dikurniakan zuriat. Saya suri rumahtangga sepenuh masa. Ini kisah hidup saya yang terjadi selepas saya berkahwin sehingga ke hari ini. Arwah nenek suami saya tukang berubat di salah sebuah kampung di Indonesia. Sebagai seorang tukang ubat, arwah nenek suami saya ada memelihara beberapa makhlus halus yang berdamping dengannya.
Sebelum saya bernikah dengan suami, mak mertua saya berterus-terang dengan saya yang keturunan mereka ada “yang menjaga”. Waktu itu saya tidak terfikirkan apa-apa selagi benda ini tidak mengganggu saya. Selepas saya dan suami mendapat rumah kami, mak mertua dan adik ipar (bernama Ros) serta suaminya tinggal dengan kami. Pada masa itu, kehidupan saya berubah 360 darjah.
Makhlus halus ini sudah terlampau sebati dengan keluarga suami saya. Mereka akan “datang” ke rumah saya dan meresap ke dalam tubuh badan adik ipar saya untuk berkomunikasi dengan mak mertua saya. Saya jadi runsing dengan apa yang berlalu. Sekarang mak mertua dah pindah ke rumah sewa nya dan saya ingat masalah ini tidak akan timbul lagi. Tetapi makhluk halus ini akan sentiasa meresap ke dalam tubuh badan adik ipar saya jika suami beliau tidak ada di rumah.
Yang buat saya tertekan, setiap kali “mereka” meresap ke dalam badan adik ipar saya, “mereka” ada saja mengadu kepada mak mertua saya tentang kesihatannya SETIAP HARI! Kalau sekali dua saya tidak kisah, ini setiap hari "mereka" akan ceritakan tentang Ros. Setiap kali mereka mengadu tentang Ros, mak mertua saya mengharapkan saya melakukan sesuatu untuk Ros seperti memasakkan bubur, urutkan badannya, sediakan ubat, sidai dan lipatkan kain bajunya dan suaminya. Saya naik rimas!
Saya hanya mampu marah dan mengamuk dalam hati tetapi saya seolah-olah tidak dapat membantah dengan suruhan makhluk ini. Saya mengadu kepada suami saya, namun dia seolah-olah tidak prihatin. Suami akan cakap, “Awak pergi layan buat apa?” Suami seolah tidak faham seperti apa yang “mereka” suruh saya buat, bukan atas kehendak saya. Makhluk ini setiap kali ia datang, minta air, minta rokok, mahu makan itu dan ini dan entah macamana saya akan turutkan seperti robot yang dikawal untuk melakukan apa yang disuruh.
Saya penat! Ini rumah saya tetapi saya diperlakukan seperti orang gaji yang tidak berbayar! Mereka dapat menguasai pemikiran dan hati saya dan mulut seperti dikunci untuk jangan membantah. Kalau iman tidak kuat, saya mungkin akan terjun dan bunuh diri. Saya sudah tidak tahan lagi. Makhluk-makhluk ini semua mengaku yang "mereka" beragama Islam dan solat. Jika saya baca Ayat Kursi pun tidak ada kesan kepada "mereka".
Saya minta perlindungan dari Allah supaya jangan diganggu dengan makhluk-makhluk ini tetapi tidak boleh dielakkan kerana ini adalah keturunan suami saya. Saya tidak tahu hendak buat apa lagi. Ini rumah saya. Kadang-kadang "mereka" akan mengikuti saya ke mana-mana dan mereka tahu apa yang saya bualkan bersama teman-teman saya. Maka itu saya tidak berani hendak jumpa mana-mana pakar tentang perkara ini kerana risau “mereka” akan dapat tahu dan mungkin buat saya gila satu hari.
Saya ada ceritakan tetang masalah ini kepada kawan baik saya. Dia mengatakan mungkin adik ipar saya mempunyai kondisi bipolar atau dua personaliti berbeza. Namun apabila saya cuba rakam suaranya ketika dia menurun, baru kawan baik saya percaya apa yang saya beritahunya selama ini. Mungkin juga dalam tubuh adik ipar saya ada saka keturunan.
Itu saja masalah saya. Terima kasih KC...
Comments