Salam sejahtera KC,
Nama saya AJ. Saya hendak berkongsi pengalaman menakutkan semasa saya belajar di UUM. Saya ditempatkan di kolej penginapan luar kampus iaitu di Bukit Kachi. Untuk pengetahuan semua kawasan Bukit Kachi merupakan kawasan bekas hutan dan dahulunya pernah diduduki pihak Komunis semasa zaman perang. Kawasan Bukit Kachi ini dikatakan seram kerana banyak kejadian yang menyeramkan. Apa yang saya alami hanya sebahagian kecil dari pengalaman saya sebab kalau hendak diceritakan, memang terlalu banyak. Namun buat masa ini saya akan berkongsi satu kejadian yang terjadi pada saya.
Apabila masuk semester ketiga saya berpindah bilik. Saya tetap menetap di aras yang sama, cuma bilik kali ini lebih dekat dengan tandas. Dalam satu bilik sepatutnya ada dua orang pelajar yang ditempatkan bersama-sama. Ditakdirkan pada masa itu teman sebilik saya belum berpindah ke bilik saya yang baru ini, kerana saya mendapat tahu bahawa dia menetap dengan seorang teman dalam kolej penginapan yang terletak di dalam kampus. Maklumlah pelajar yang mendapat kolej penginapan di dalam kampus lebih mudah untuk bergerak sekitar kampus. Kami yang berada di luar kampus perlu menaiki bas yang telah dikhususkan untuk keluar dan masuk persekitaran kampus. Disebabkan saya menetap bersendirian, saya rasa sangat selesa dan saya pula bukanlah jenis yang penakut.
Pada satu malam, lebih kurang jam 10 malam, saya baru saja selesai menonton sebuah filem melalui komputer riba dan baru bercadang hendak mandi. Selesai mandi, saya bersiap-siap untuk masuk tidur. Saya hidupkan lampu meja belajar supaya keadaan bilik tidak terlalu gelap. Kedudukan katil saya pula berdekatan dengan meja belajar. Bila saya tidur, kedudukan kepala saya akan menghadap meja tersebut.
Tiba-tiba saya terdengar seperti ada kertas jatuh di atas lantai. Saya tersedar dan terus serta-merta saya terbangun dan lihat ke arah meja belajar, tetapi pada masa yang sama saya tahu saya tidak meletak kertas di atas meja tersebut. Reaksi saya pada masa itu cuma "Oh ok..." Saya pun ambil keputusan untuk tidur tetapi tiba-tiba saya terdengar seperti ada ketukan pada tingkap. Saya terkejut sebab macamana boleh ada orang ketuk sedangkan bilik saya terletak di aras 4? Saya ambil keputusan untuk biarkan saja dan terus tidur.
Malam berikutnya lebih kurang jam 1 pagi, saya terbangun dan mendapati air minuman yang saya simpan di dalam bilik sudah kehabisan. Saya terpaksa turun ke bawah dan isi di dispenser air yang disediakan di kolong blok. Semasa melangkah keluar dari bilik, saya dapati bahawa terdapat sekumpulan pelajar termasuk ketua blok berada di aras saya. Bila saya nampak mereka, mereka arahkan saya untuk masuk kembali ke dalam bilik. Saya hairan namun timbul rasa tidak puas hati kerana air saya sudah kehabisan dan saya perlu turun ke bawah untuk mengisi bekas air yang berada dalam genggaman tangan saya.
Saya tidak peduli dan terus turun tangga. Dalam benak fikiran saya, mungkin mereka hendak buat kejutan untuk meraikan hari lahir seseorang. Tapi kenapa ada pelajar lelaki sedangkan blok saya ini blok untuk pelajar perempuan? Fikir punya fikir, tiba-tiba sesuatu perasaan seperti mengejutkan saya. Jangan-jangan ada pelajar perempuan yang terkena histeria agaknya. Sampai saja di kolong blok, saya mendapat jawapan yang bermain di fikiran saya pada awalnya. Saya terdengar suara seseorang sedang menjerit. Terkejut saya dibuatnya dan meremang bulu roma saya, namun niat untuk mengambil air tetap diteruskan. Dengan pantas saya hantar pesanan Whatsapp kepada teman-teman yang lain, kecoh seketika dibuatnya.
Lama juga saya berada di kolong blok itu, mungkin dalam sekitar setengah jam. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk kembali ke bilik. Sampai di aras bilik saya, perkara yang terjadi masih belum diselesaikan tetapi tidak dengar lagi suara orang menjerit-jerit seperti pada awalnya. Saya terus masuk ke dalam bilik dan cuba untuk tidur. Ternyata sukar untuk saya tidur semula kerana saya masih lagi boleh terdengar anggota jawatankuasa blok saya masih berada di luar. Saya kurang pasti pukul berapa masalah itu dapat diselesaikan, mungkin sekitar jam 3 pagi agaknya. Saya cuba ingat semula, adakah episod ketukan di tingkap punca kepada kes histeria yang terjadi?
Terima kasih dan selamat malam!
Comments