Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram!
Saya Shafiq, ingin menceritakan pengalaman seram saya semasa duduk di rumah seorang diri dan ketika keluarga saya keluar untuk membeli barang-barang keperluan. Saya tinggal di sebuah kondominium yang terletak di kawasan Taman Batu Permai di Kuala Lumpur.
Ketika pengalaman seram ini terjadi, saya hanya tinggal seorang diri kerana terpaksa membuat kerja rumah seperti membersihkan itu dan ini. Ikutkan hati memang malas saya hendak buat dan lebih suka ikut keluarga keluar. Namun apakan daya, tanggungjawab sebagai seorang anak harus dilaksanakan.
Sedang membuat kerja rumah, tiba-tiba tekak saya terasa haus. Saya pun berhentikan membuat kerja rumah untuk beberapa waktu untuk mengambil minuman di dapur. Saya berjalan hendak pergi ke dapur yang terletak tidak jauh dari ruang tamu. Ruang tamu rumah saya boleh dikatakan agak besar juga.
Sedang saya berjalan masuk ke dapur, Ya Allah terkejut saya apabila ternampak seorang perempuan yang memakai baju yang lusuh seperti berdarah dengan rambutnya yang panjang melepasi bahu sedang berdiri di tepi cermin dapur saya. Apabila saya ternampak makhluk itu, saya menjerit lalu berlari masuk ke dalam bilik dan menelefon keluarga saya untuk bertanyakan mereka di mana dan berapa lama mereka akan pulang semula.
Sambil saya membuat panggilan menerusi telefon bimbit, saya terdengar seperti ada orang yang sedang mencakar pintu bilik saya dari luar. Saya tidak endahkan bunyi itu dan terus menelefon anggota keluarga saya. Malangnya yang lain tidak mengangkat panggilan saya kecuali mak. Itupun setelah saya hubungi beberapa kali.
Saya bertanya pada mak saya di mana dia berada dan berapa lama dia akan pulang. Mak menjawab yang dia sedang berjalan pulang ke rumah. Saya terus rasa lega, namun masih tidak berani untuk keluar dari bilik. Akhirnya apabila terdengar bunyi pintu utama rumah dibuka, baru saya beranikan diri untuk keluar. Sehingga hari ini saya masih tidak memberitahu anggota keluarga saya apa yang terjadi pada malam tersebut kerana tidak mahu menakutkan mereka. Alhamdulillah tiada gangguan susulan selepas itu. Mungkin makhluk itu hanya menyinggah...
Commentaires