Assalammu'alaikum...
Kisah ini berlaku ketika saya berkhidmat sebagai krew kabin sebuah syarikat penerbangan di Malaysia. Kami bekerja tak kira waktu. Adakalanya kami mula bekerja seawal 3 pagi. Kejadian seram ini berlaku kepada kami ketika bertugas pada awal pagi itu.
Selepas sesi taklimat bersama pihak pengurusan, kami berlima yang bertugas pada waktu itu terus berjalan menuju ke pesawat. Keadaan memang sunyi pada waktu itu, maklumlah masih awal. Sampai di terminal, kami terus bergegas masuk ke dalam pesawat untuk memulakan tugas. Kami masuk dari pintu hadapan. Dari situ kami ternampak kelibat seorang perempuan berpakaian seragam seperti kami di kawasan belakang pesawat dengan cahaya lampu suram.
Kami berpandangan sesama sendiri dan masing-masing kehairanan kerana kesemua kelima-lima anak kapal masih baru hendak melangkah ke dalam pesawat. Langkah kami terhenti sambil memerhatikan kelibat wanita berpakaian seragam tersebut dari jauh bergerak dari bahagian kiri dan kanan pesawat seolah-olah sedang sibuk bekerja. Salah seorang dari kami mencadangkan supaya kami menunggu di luar. Kami semua bersetuju.
Kami menunggu di luar kapal terbang sehinggalah kakitangan katering tiba untuk menghantar makanan. Mereka membuka pintu kapal terbang dari luar dan cuma pada ketika itulah kami masuk semula ke dalam pesawat. Mereka tidak menjumpai sesiapa di bahagian belakang pesawat. Kami bertanya berkali-kali dan mereka memang tak nampak sesiapa. Kami sekali lagi berpandangan sesama sendiri. Selepas itu kami pun meneruskan tugas seperti biasa.
Cerita ini kami sampaikan kepada kakitangan lain dan menurut mereka memang ada seorang kaki tangan kabin meninggal membunuh dirinya sendiri di dalam kapal terbang tersebut. Beliau mengerat nadinya sendiri dan menurut khabar angin, kerana putus cinta.
Sekian wassalam...
Commentaires